Selasa, 16 Julai 2019 | 11:51am
Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad melancarkan buku Dasar Keusahawanan Negara 2030 (DKN 2030) di Plenary Hall, KLCC, Kuala Lumpur. - NSTP/Mohamad Shahril Badri Saali
Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad melancarkan buku Dasar Keusahawanan Negara 2030 (DKN 2030) di Plenary Hall, KLCC, Kuala Lumpur. - NSTP/Mohamad Shahril Badri Saali

DKN 2030 peluang belia budayakan keusahawanan

BUDAYA keusahawanan bukan sesuatu yang asing dalam kalangan rakyat Malaysia. Seorang usahawan bukan sahaja menjalankan perniagaan untuk mencari pendapatan bagi menyara diri dan keluarga, sebaliknya usahawan sebenar mempunyai visi dan misi untuk mengembangkan perniagaannya ke peringkat lebih tinggi.

Bidang keusahawanan boleh diibaratkan sebagai anjakan paradigma daripada satu batasan kepada ruang lingkup yang baharu dalam mengubah nasib seseorang untuk lebih berjaya dalam kehidupan.

Sebab itu, saya tertarik dengan Dasar Keusahawanan Negara (DKN) 2030 yang dilancarkan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, baru-baru ini.

DKN 2030 dilancarkan sebagai pelan hala tuju bagi meningkatkan bilangan usahawan yang lebih berkualiti serta mempunyai pemikiran global dan kompetitif.

Sudah pasti, objektif dasar itu ialah bagi mewujudkan satu ekosistem keusahawanan holistik dan berdaya saing sehingga ke peringkat antarabangsa, selain menjadikan sektor perniagaan sebagai kerjaya pilihan oleh rakyat Malaysia.

Perdana Menteri sendiri menyifatkan DKN 2030 adalah langkah wajar dan tepat pada masanya bagi menghadapi suasana ekonomi dunia yang bukan sekadar sengit serta mencabar, malah penuh ketidaktentuan angkara kesan perang dagangan.

Sebagai dasar yang holistik, kerajaan melalui Kementerian Pembangunan Usahawan (MED) perlu fokus untuk membina ekosistem keusahawanan yang inklusif terutama membabitkan generasi muda.

Generasi ini sebenarnya memerlukan pendedahan yang inklusif dan menjadikan keusahawanan sebagai budaya hidup, selari dengan hasrat kerajaan untuk melahirkan 250,000 usahawan dalam tempoh lima tahun.

Tidak salah jika kejayaan usahawan muda yang mencipta nama di dunia perniagaan pada masa kini boleh dijadikan panduan bagi remaja yang sedang tercari-cari haluan kerjaya untuk masa depan.

Sebagai contoh, golongan selebriti seperti Neelofa, Datuk Rosyam Nor serta adik beradik kumpulan KRU yang bukan sahaja berjaya dalam industri hiburan tanah air, malah dalam bidang perniagaan.

Kejayaan mereka mampu menjadi pembakar semangat dan pendorong untuk generasi muda menceburi bidang keusahawanan.

Di samping itu, kerajaan sudah menyediakan satu ekosistem menyeluruh bagi mempersiapkan bakal usahawan menempuh era Revolusi Industri 4.0 (IR 4.0).

Pelbagai institusi sokongan diwujudkan seperti SME Corp, Perbadanan Usahawan Nasional Berhad (PUNB), Malaysia Digital Economy Corporation (MDEC), Majlis Amanah Rakyat (MARA) dan banyak lagi yang berperanan meningkatkan pembabitan rakyat dalam bidang keusahawanan.

Bantuan disediakan tidak terhad dari segi kewangan semata-mata, malah mencakupi aspek latihan, bimbingan dan pementoran.

Semua bagi memastikan kejayaan usahawan muda dalam mengharungi cabaran dalam dunia perniagaan.

Ibarat rantaian kehidupan, usahawan yang berjaya boleh membantu memainkan peranan sebagai pencipta pekerjaan, selain menjadi penyumbang dalam memacu ekonomi negara.

Apa yang pasti, dalam usaha menjadi sebuah negara keusahawanan, perkara paling penting adalah membentuk masyarakat Malaysia yang mempunyai fikiran dan budaya keusahawanan.

Diharapkan generasi muda masa kini tidak lagi menganggap bidang perniagaan sebagai sumber untuk menambahkan pendapatan semata-mata.

Mereka harus bercita-cita menjadikan bidang perniagaan sebagai kerjaya yang mampu membawa kekayaan bukan sahaja kepada diri sendiri, malah juga kepada ekonomi negara.

Justeru, manfaatkanlah DKN 2030 sebagai peluang untuk mengubah kehidupan kepada yang lebih baik.

Penulis adalah wartawan Meja Am Berita Harian

Berita Harian X