Rabu, 3 Julai 2019 | 11:00am
- Foto Hiasan

Banteras rasuah pulih, tingkat imej negara

DI Malaysia, masalah rasuah dalam kalangan jentera pentadbiran kerajaan acap kali disiarkan dalam media massa, sama ada media elektronik atau media cetak (khususnya kes tangkapan, sebutan kes dan perbicaraan kes rasuah).

Masalah rasuah secara langsung atau tidak langsung akan memberi impak kepada sistem politik, ekonomi dan sosial sesebuah negara. Rasuah menyebabkan kewibawaan kerajaan tercabar dan tercalar (kerajaan yang memerintah dilabelkan sebagai kerajaan berasuah) dan sistem tadbir urus kerajaan akan terganggu (tanpa rasuah aktiviti pentadbiran kerajaan menjadi lambat).

Persaingan tidak sihat antara syarikat berlaku (keutamaan diberi kepada syarikat membayar atau memberi rasuah) dan kos sara hidup secara keseluruhannya meningkat (kos tambahan kepada syarikat kerana perlu membayar atau memberi rasuah dan beban ini dipindahkan kepada pengguna melalui kenaikan harga barangan atau perkhidmatan).

Perbekalan infrastruktur sosial kurang berkualiti (pengurangan kos projek kerana syarikat terpaksa membayar atau memberi rasuah) dan kedaulatan undang-undang terhakis (pendakwaan tidak dikenakan kepada pihak yang membayar atau memberi rasuah dan hukuman dikecualikan atau dikurangkan bagi mereka yang membayar atau memberi rasuah). Akhir sekali, pembangunan masyarakat sivil turut terjejas.

Sikap pekerja yang suka meminta atau menerima rasuah kerana ia jalan mudah untuk mendapatkan wang dan sikap pekerja yang suka menunjuk-nunjuk mengenai harta benda yang ia miliki (life style) walaupun ia tidak mempunyai kemampuan berbuat demikian.

Gaji yang rendah, tiada punca pendapatan lain, tanggungan ahli keluarga yang ramai dan kos sara hidup meningkat juga menyumbang kepada rasuah.

Organisasi yang memberi kuasa (melalui undang-undang atau peraturan) membuat sesuatu keputusan, wujudnya ruang dan peluang (keistimewaan mengakses data dan maklumat).

Tugas hakiki pegawai (pegawai mengetahui dan memahami kelemahan sistem organisasi), perkhidmatan diberi oleh organisasi (pembekal tunggal perkhidmatan), komitmen organisasi dan agensi penguat kuasa yang rendah dalam memerangi rasuah.

Sikap kerajaan yang memerintah harus memikir keazaman politik (political will) yang kuat dalam memerangi atau membanteras rasuah dan amalan konsep patron-client relationship serta rent-seeking yang menggalakkan rasuah.

Usaha memerangi dan membanteras rasuah adalah agenda utama kerajaan. Pelbagai inisiatif dilakukan kerajaan bagi menangani masalah rasuah sama ada melalui penggubalan dasar, penubuhan institusi, penubuhan jawatankuasa khas, penguatkuasaan undang-undang dan peraturan, kempen, latihan, penerbitan buku, majalah dan jurnal, falsafah atau ideologi negara dan sebagainya.

Inisiatif terkini kerajaan adalah penubuhan Jawatankuasa Pemilihan Parlimen bagi memilih Ketua Pesuruhjaya SPRM, Ketua Audit Negara, Peguam Negara dan Ketua Polis Negara, Penggubalan Pelan Anti-Rasuah Nasional (NACP), Penubuhan Pusat Governans, Integriti dan Anti-Rasuah Nasional (GIACC), Penubuhan Jawatankuasa Khas Kabinet Mengenai Anti-Rasuah (JKKMAR), pengisytiharan harta oleh anggota Kabinet dan Ahli Parlimen, tidak ada lagi pengeluaran surat sokongan untuk projek dan kontrak serta Mahkamah Khas bagi kes rasuah (akan ditubuhkan dalam tempoh terdekat).​

Beberapa cadangan boleh ditimbangkan bagi menyokong inisiatif itu. Dari aspek pendidikan, topik/tajuk integriti, rasuah dan kenegaraan hendaklah diajar di tadika, sekolah rendah, sekolah menengah, kolej dan universiti, latihan dalam perkhidmatan, kursus prapersaraan dan sebagainya.

Bahaya rasuah dipromosikan secara berterusan di media massa, premis pejabat kerajaan dan sektor swasta serta tempat yang mudah dilihat oleh orang ramai. Selanjutnya dari aspek pemantauan, ahli politik seperti Ahli Parlimen, Ahli Dewan Undangan Negeri, setiausaha politik, setiausaha akhbar, pegawai khas Menteri dan Timbalan Menteri, ahli jawatankuasa parti politik dan parti politik hendaklah membuat pengisytiharan harta.

Pegawai Syarikat Berkaitan Kerajaan (GLC) bagi Persekutuan dan negeri juga diwajibkan membuat pengisytiharan harta. Penerimaan dana (daripada syarikat atau pertubuhan atau individu) oleh parti politik hendaklah diisytiharkan dari segi jumlah yang diterima dan penyumbang dana berkenaan.

Bagi aspek penguatkuasaan, kerjasama antara agensi kerajaan ditingkatkan dalam aspek pengurusan laporan kes rasuah, penyiasatan kes rasuah, penyediaan bukti kes, penentuan saksi yang terbabit dan sebagainya.

Hukuman ke atas pesalah rasuah dikaji semula supaya hukuman yang dikenakan setimpal dengan kesalahan dilakukan oleh pesalah rasuah.

Sebutan kes, perbicaraan kes dan keputusan kes dipercepatkan bagi memberi hukuman atau keadilan kepada pihak yang terbabit.

Penulis adalah Felo Penyelidikan Kanan Institut Tadbiran Awam Negara (INTAN)

Berita Harian X