Rabu, 5 Jun 2019 | 11:00am
- Gambar hiasan

Mengejar rahmah dalam meraikan kemeriahan lebaran

Aidilfitri diraikan umat Islam di negara ini dengan penuh kegembiraan sambil mendambakan rahmat Ilahi. Selepas sebulan umat Islam menunaikan ibadat sepanjang Ramadan, kini tiba masanya untuk meraikan kejayaan lebaran berasaskan lunas syarak dengan mengelak unsur yang dilarang Islam.

Ini bertepatan firman Allah SWT: “Dan juga supaya kamu cukupkan bilangan puasa (sebulan Ramadan) dan supaya kamu membesarkan Allah kerana mendapat petunjukNya dan supaya kamu bersyukur.” (Al-Baqarah: ayat 185)

Aidilfitri disyariatkan Allah SWT untuk umat Islam merayakannya dengan penuh kesyukuran dan pelbagai amal bakti diredhai-Nya.

Sayyid Qutb melalui Tafsir Fi Zilalil Quran (Di Bawah Bayangan Al-Quran terjemahan Yusoff Zaky Yacob), dalam mentafsirkan ayat ini, menyatakan orang beriman hendaklah mentakbirkan Allah (membesarkan Allah) yang menganugerahkan hidayat dan perlu mereka bersyukur kepada Allah terhadap segala nikmat sempena Ramadan yang mulia.

Pada Syawal yang mulia, kita perlu menyantuni saudara mara dan rakan taulan dengan baik selaras aspirasi Malaysia Baharu yang menerapkan gaya tadbir urus berteraskan nilai rahmah. Ia membawa maksud Islam sebagai cara hidup merangkumi seluruh aspek kehidupan manusia berasaskan misi utama dibawa Rasulullah SAW, untuk mewujudkan suasana negara sejahtera, aman dan damai.

Gagasan Rahmatan lil Alamin ialah pendekatan diperkenal kerajaan yang dirangkum dalam kerangka maqasid syariah dan diterjemahkan melalui model Malaysia. Penerapan gagasan ini boleh membina dan menyuburkan suasana kehidupan harmoni di negara berbilang kaum, bangsa serta agama.

Justeru, dalam konteks Syawal tahun ini, penghayatan syariat sebenar akan melahirkan manusia berakhlak mulia dan berwawasan jauh.

Syawal ialah hari kemenangan bagi umat Islam atas kejayaan menundukkan nafsu sepanjang Ramadan dan semoga Allah SWT membersihkan dosa kita yang lalu ke arah menjadikan kita insan bertakwa.

Ziarah erat silaturahim

Salah satu amalan penting dalam menghidupkan tradisi Syawal ialah ziarah-menziarahi. Budaya ini yang diniatkan kerana Allah SWT dan tiada unsur maksiat, boleh menjadi ibadat yang mulia. Malah, amalan ini perlu dididik pada peringkat kanak-kanak supaya mereka bukan sekadar berkunjung untuk mendapatkan duit raya, tetapi mengeratkan silaturahim antara generasi tua dan muda.

Sambutan Syawal bukan semata-mata untuk bergembira, bahkan juga mencapai keberkatan dan keredaan Allah SWT. Dalam keghairahan menyambut Aidilfitri, kita perlu pastikan tanggungjawab kefarduan terhadap Allah SWT seperti mendirikan solat fardu lima waktu. Moga kegembiraan dan keseronokan hari raya juga dapat dikecapi pada hari akhirat kelak.

Aidilfitri ialah hadiah Allah SWT untuk hamba-Nya sebagai ganjaran kemenangan kerana berjaya melaksanakan ibadat dengan cemerlang dan menundukkan hawa nafsu dalam Ramadan. Umat Islam menyambut Aidilfitri dengan memperbanyakkan bertahmid dan bertasbih sebagai tanda bersyukur kepada Allah SWT, di samping membesar dan memuji Allah SWT di mana jua kita berada.

Umat Islam sentiasa menanti kedatangan Syawal dengan penuh sabar dan syukur. Umat Islam kebiasaannya menyambut serta meraikan Aidilfitri dengan penuh meriah di negara ini merentasi agama dan bangsa. Inilah keunikan dan keistimewaan sambutan Aidilfitri di Malaysia. Walaupun berbeza agama dan bangsa, kita berjaya membina sebuah masyarakat majmuk yang bersatu dan boleh merayakan sesuatu perayaan secara bersama.

Raikan pelbagai keistimewaan

Hakikatnya, setiap perayaan utama di negara ini diraikan bersama dengan pelbagai keistimewaan disediakan seperti pemberian cuti umum kepada seluruh rakyat Malaysia, pemberian bonus kepada penjawat awam serta budaya rumah terbuka dan saling menziarahi di seluruh negara. Situasi ini mewarnai Malaysia sejak sekian lama.

Inilah resipi keamanan dan kesejahteraan ummah yang kita praktikkan sejak zaman nenek moyang kita lagi. Semangat ini kita pupuk dan budayakan dengan mengetepikan kepentingan peribadi dan menjauhkan emosi keterlaluan yang boleh menggugat kestabilan hidup rakyat di negara ini.

Masyarakat majmuk di negara kita, tanpa mengira kaum dan fahaman agama akan turut bergembira di Aidilfitri sambil ziarah-menziarahi dan menghadiri jemputan rumah terbuka diadakan.

Inilah manifestasi kejayaan Malaysia dalam mempromosikan konsep rahmah dalam kalangan masyarakat berbilang kaum dan agama. Sikap toleransi dan kebersamaan pada Syawal menyerlahkan semangat muhibah dalam kalangan rakyat Malaysia.

Akhir kalam, Syawal disambut dengan penuh rahmah daripada Ilahi dan kesyukuran yang tidak terhingga bagi meraikan kemenangan beribadah pada Ramadan dan mencapai ketakwaaan di sisi Allah SWT.

Penulis adalah Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM)

Berita Harian X