Rabu, 1 Mei 2019 | 10:47am

Pekerja bermotivasi lonjak produktiviti

PEKERJA aset terpenting dalam sesebuah organisasi yang berperanan menentukan hala tuju serta matlamat organisasi itu terlaksana dan tercapai.

Apabila seseorang pekerja menyertai sesebuah organisasi, individu itu secara automatik bersetuju taat setia dan menyumbang keringat demi mencapai matlamat organisasi. Oleh itu, pekerja perlu memberi sepenuh komitmen terhadap organisasi, seterusnya meningkatkan produktiviti menerusi tanggungjawab dipikul.

Sempena Hari Pekerja tahun ini yang bertemakan ‘Pekerja Amanah, Aspirasi Negara’, Malaysia perlu beralih daripada pertumbuhan berpacukan input kepada produktiviti, untuk mencapai pertumbuhan ekonomi mampan.

Pekerja amanah dan bertanggungjawab akan meningkatkan produktiviti, manakala aspirasi akan dicapai andainya wujud reformasi dalam fikiran dan tindakan yang memberi manfaat kepada negara.

Dalam hal ini, produktiviti dikenal pasti sebagai pengubah strategi penting, terutama apabila berlandaskan Revolusi Industri 4.0 (IR 4.0) - yang mengubah cara kita bekerja, hidup dan berinteraksi antara satu sama lain.

Selain menggalakkan inovasi, usaha meningkatkan produktiviti berada pada senarai teratas agenda kerajaan di tengah-tengah era perubahan pesat dan teknologi yang menimbulkan gangguan. Matlamat kita agar Malaysia menjadi sebuah negara maju, bergantung kepada keupayaan meningkatkan tahap produktiviti pekerja.

Ini juga prasyarat bagi menentukan pembentukan kerajaan baharu dan rakyat diperintah, yang pastinya akan membuka ruang kepada dasar baharu dan reformasi institusi.

Pada dasarnya, peralihan politik yang berlaku mencerminkan harapan rakyat ke arah ketelusan, akauntabiliti fiskal dan reformasi sosioekonomi yang lebih meluas.

Reformasi ini perlu sekiranya pekerja di Malaysia berhasrat untuk pulih, membangun semula dan muncul kembali sebagai sebuah negara yang bangga dengan pencapaian dan kemampuan untuk bersaing pada peringkat yang paling tinggi, seperti pernah digelar sebagai Harimau Asia suatu ketika dahulu.

Untuk bangkit semula, kita perlu menjajar semula tumpuan dan menyesuaikan strategi. Langkah reformasi ini termasuklah menambah baik tadbir urus, mempercepat inovasi, melonjak produktiviti dan meningkatkan industri dalam rantaian nilai yang lebih tinggi.

Reformasi berani sahut kehendak rakyat

Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, menjelaskan pertumbuhan negara banyak berpacukan input menerusi suntikan modal dan buruh ke dalam ekonomi negara. Jenis pertumbuhan yang meminimumkan kos semakin sukar dikekalkan.

Setiap unit input disuntik kepada ekonomi menghasilkan pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) yang rendah berbanding sebelum ini. Untuk beralih kepada pertumbuhan berpacukan produktiviti, syarikat perlu melabur dalam bidang pembangunan dan penyelidikan (R&D) untuk meningkatkan inovasi dan mengenal pasti produk serta perkhidmatan yang mempunyai nilai tambah tinggi.

Ada keperluan meningkatkan kemahiran tenaga buruh dan membekalkan mereka dengan pengetahuan serta teknologi terkini. Usaha bersepadu ini penting demi menambah baik prestasi produktiviti buruh untuk menjadi negara maju dan inklusif.

Kita perlu berhijrah daripada amalan konvensional, meletakkan negara pada trajektori pertumbuhan yang pantas, selain meningkatkan pencapaian produktiviti.

Tiga lagi bidang keutamaan merangkumi peningkatan kapasiti eksport untuk meluaskan pengantarabangsaan, menambah baik kecekapan pasaran untuk mempromosi persaingan adil dan memudahkan urusan perniagaan bagi mewujudkan iklim perniagaan yang lebih positif.

Usaha ini juga meliputi langkah mempertingkat kesejahteraan hidup rakyat, terutama dalam kalangan isi rumah berpendapatan 40 peratus terendah (B40) dan mencapai pertumbuhan inklusif.

Oleh itu, reformasi berani yang menyahut kehendak rakyat adalah penting untuk mencapai visi menjadi negara maju dan inklusif.

Kajian Separuh Penggal Rancangan Malaysia Ke-11 (RMK-11) dengan Keutamaan dan Penekanan Baharu, bertujuan untuk mereformasi dasar sedia ada dan menggariskan sasaran sosioekonomi yang disemak semula bagi tempoh 2018 hingga 2020. Kajian Separuh Penggal ini mengambil kira aspirasi kerajaan, cabaran ekonomi dan trend global semasa.

Usaha akan ditumpu bagi merangsang pertumbuhan ekonomi, di samping memastikan manfaat lebih besar kepada semua lapisan masyarakat. Prinsip tadbir urus yang baik, institusi mantap serta integriti dan akauntabiliti lebih tinggi, akan diperkukuh untuk meliputi seluruh pentadbiran kerajaan bagi mencegah rasuah, ketirisan, penyelewengan dan salah guna kuasa.

Pandangan pengurusan kontemporari mencadangkan bahawa mentaliti pemikiran silo atau tersendiri mesti dipecah agar pekerja kekal bermotivasi dan gembira datang ke tempat kerja.

Segala komitmen diberikan terhadap organisasi dapat meningkatkan tadbir urus lebih cemerlang dan seterusnya menjana peningkatan produktiviti. Padanan antara keperibadian dan tugas serta jenis pekerjaan adalah penting bagi menjamin kepuasan dalam menjalankan tugas, meningkatkan motivasi kerja dan pencapaian produktiviti tinggi.

Penulis adalah Ahli Panel Perunding Pembudayaan Produktiviti, Perbadanan Produktiviti Malaysia (MPC).

Berita Harian X