Selasa, 16 April 2019 | 11:00am
Memiliki kediaman selesa impian setiap individu. - Arkib NSTP
Memiliki kediaman selesa impian setiap individu. - Arkib NSTP

Aspirasi rakyat, inisiatif kerajaan

MEMILIKI kediaman selesa impian setiap individu. Kediaman juga dilihat sebagai simbol kemegahan bagi sesetengah individu. Isu mengenai kemampuan bukan sahaja hebat dibincangkan dalam kalangan pembuat dasar di negara membangun malah hangat diperkatakan di negara maju.

Seseorang individu dikatakan akan mempunyai masalah kemampuan jika perbelanjaan yang perlu diperuntukkan untuk perumahan melebihi 30 peratus daripada jumlah pendapatan. Peruntukan perbelanjaan perlu, selain daripada perumahan demi memenuhi kelangsungan hidup.

Maka keseimbangan antara pendapatan oleh isi rumah terhadap perbelanjaan memainkan peranan penting bagi menjamin baki pendapatan yang diperoleh cukup untuk simpanan.

Namun, disebabkan perbelanjaan terhadap bukan perumahan terlalu tinggi di sesetengah bandar seperti Kuala Lumpur, Johor Bahru dan Pulau Pinang menyukarkan isi rumah memiliki rumah ditambah lagi dengan harga rumah yang tinggi.

Justeru, tidak hairanlah mengapa berlakunya longgokan rumah tidak terjual yang mencatatkan rekod 929 unit rumah siap dibina bernilai RM1.23 bilion pada 2017 dan terus meningkat pada 2018 kepada 40,916 unit membabitkan nilai RM27.39 bilion, dengan 78 peratus hartanah kediaman tidak terjual, adalah hartanah kediaman berharga RM250,000 dan ke atas.

Johor adalah negeri tertinggi mencatatkan statistik kediaman yang tidak terjual diikuti Selangor dan Kuala Lumpur. Senario ini jelas menunjukkan kebimbangan kepada kita kerana ketiga-tiga negeri ini adalah pusat tumpuan utama rakyat. Keadaan ini akan terus berlaku jika kerajaan tidak cakna permasalahan ini.

Jaminan kebajikan, kualiti hidup

Keprihatinan kerajaan terhadap masalah rakyat berkait dengan isu kemampuan diterjemahkan oleh kerajaan kepemimpinan baharu dengan merangkakan perbelanjaan 2019 menerusi bajet yang dibentangkan pada 2018, dengan menumpukan kepada jaminan kebajikan dan kualiti hidup rakyat.

Tumpuan utama diberikan kepada golongan B40 dan M40. Pelbagai inisiatif dirangka menerusi Bajet 2019 yang diperuntukkan, antaranya, pengawalan kepada perbelanjaan oleh setiap isi rumah. Kajian membuktikan sebahagian besar mereka yang mempunyai pendapatan RM2,000 ke bawah lebih cenderung membelanjakan pendapatan untuk makanan, pengangkutan dan perumahan, iaitu hampir 95 peratus pendapatan digunakan untuk memenuhi keperluan harian tanpa meninggalkan baki simpanan.

Jadi tidak hairanlah kenapa bajet pada kali ini menyasarkan subsidi minyak kepada isi rumah yang memiliki sebuah kenderaan berkapasiti enjin 1,500 cc dan ke bawah atau pemilik motosikal berkapasiti enjin 125cc.

Selain itu, galakan kerajaan terhadap penggunaan pengangkutan awam ditingkatkan dengan peruntukan RM240 juta untuk pemberian pas bulanan RM100 tanpa had perjalanan meliputi perkhidmatan rel dan bas RapidKL.

Penambahbaikan terhadap sistem pengangkutan awam akan digiatkan lagi agar sistem pengangkutan awam lebih efisien dan efektif, sekali gus mengurangkan kos tambang kepada yang lebih kompetitif. Namun, segala tindakan yang dirangka ini perlulah ikhlas dan bukanlah semata-mata agenda politik untuk meraih simpati rakyat.

Tindakan ini perlulah dipantau pelaksanaannya seiring aspirasi rakyat untuk menghuni di kediaman yang bukan sahaja mampu dibeli, malah kualiti pembinaan dan kemudahan disediakan adalah yang terbaik bagi menjamin taraf hidup sosial ditingkatkan.

Kajian ke atas semua projek menerusi Bajet 2018 perlu dilihat secara menyeluruh keberkesanannya. Barulah projek baharu berkait dengan perumahan dibentangkan dalam Belanjawan 2019 lalu. Ini adalah kerana didapati PR1MA tidak mampu memenuhi sasaran menyediakan 500,000 rumah pada 2018 seperti diharapkan.

Harga ditawarkan pihak PR1MA walaupun pada RM300,000, ia masih lagi di luar kemampuan isi rumah menyebabkan harga rumah di sesetengah kawasan bagi projek PR1MA dikaji semula. Bagaimanapun, kerajaan masih lagi memperuntukkan RM1.5 bilion dalam Bajet 2019 bagi projek perumahan mampu milik, termasuk projek PR1MA. Tindakan proaktif setiap pihak terbabit, misalnya pihak bank juga adalah pihak terpenting yang mampu merealisasikan aspirasi bakal pembeli rumah.

Antara pinjaman perumahan

Tanpa pinjaman menarik menyebabkan impian tidak dapat dipenuhi. Oleh itu, kerajaan juga membantu isi rumah berpendapatan RM2,300 sebulan memiliki rumah pertama dengan mewujudkan dana ditubuhkan Bank Negara RM1 bilion untuk rumah mampu milik berharga RM150,000 ke bawah.

Bank turut serta bagi dana ditubuhkan ini boleh diperoleh di AmBank, CIMB Bank, Maybank, RHB Bank dan BSN dengan kadar pembiayaan serendah 3.5 peratus. Pada tahun ini sehingga Disember 2020, kerajaan juga mengecualikan duti setem sehingga RM300,000 ke atas surat cara pindah milik dan perjanjian pinjaman.

Pinjaman kakitangan kerajaan di bawah Lembaga Perumahan Sektor Awam (LPPSA) turut dilanjutkan daripada 30 tahun kepada 35 tahun bagi pembiayaan pertama dan 25 tahun kepada 30 tahun bagi pembiayaan kedua.

Kerajaan juga turut menggalakkan pemaju memberikan diskaun 10 peratus ke atas harga rumah bagi projek yang sudah siap dibina. Cadangan pembelian rumah secara crowd funding (pendanaan awam) adalah inovasi menyelesaikan masalah perumahan, namun penelitian perlu agar pelaksanaannya nanti tidak merugikan mana-mana pihak terbabit.

Jika dilihat dari pelbagai inisiatif ditonjolkan kerajaan menerusi bajet lalu, maka isi rumah perlu lebih agresif meninjau peluang disediakan ini. Saranan menambah sumber pendapatan perlu disahut bersungguh-sungguh.

Selain itu, corak perbelanjaan perlu diubah. Kerjasama semua pihak perlu agar apa yang terancang dapat disempurnakan seperti mana sepatutnya.

Penulis adalah Pensyarah Jabatan Pengurusan Hartanah, Fakulti Senibina, Perancangan & Ukur UiTM Perak, Bandar Seri Iskandar Bota, Perak

Berita Harian X