Khamis, 11 April 2019 | 11:00am
Mohammad Ashraf Hassan atau Acap yang sudah selama tiga minggu hilang ketika menyertai Gopeng Ultra Trail 2019. - Foto NSTP
Mohammad Ashraf Hassan atau Acap yang sudah selama tiga minggu hilang ketika menyertai Gopeng Ultra Trail 2019. - Foto NSTP

Kehilangan Acap perlu jadi pengajaran

Minggu ini sudah masuk minggu ketiga kehilangan pelari Gopeng Ultra Trail 2019, Mohammad Ashraf Hassan atau Acap. Pelbagai usaha pencarian dilaksanakan oleh pihak berkuasa dan sukarelawan yang berkampung di kaki Bukit Batu Putih, namun usaha gigih ini masih belum membuahkan hasilnya.

Bersamalah kita berdoa agar dia berjaya ditemui seterusnya dapat kembali bersama keluarga tercinta. Dewasa ini, acara larian lasak semakin popular dalam kalangan rakyat Malaysia. Ini didorong oleh penerapan budaya hidup sihat, kemeja-T dan medal kejohanan yang menarik serta trend semasa dalam kalangan masyarakat masa kini.

Sehubungan itu, tidak mustahil saban minggu pelbagai kejohanan larian dianjurkan di seluruh negara. Antara acara larian lasak yang popular di Malaysia ialah Borneo Ultra Trail Marathon, Deuter Trail Run dan Gopeng Ultra Trail.

Kejohanan Gopeng Ultra Trail (GUT19) sudah masuk edisi ketiga dan amat popular dalam kalangan penggiat rekreasi lasak di negara kita. Tambahan pula ia dianjurkan di Sungai Itek, Gopeng yang menjadi lokasi utama aktiviti whitewater rafting di Malaysia. Maka, tidak mustahil kejohanan ini berjaya menarik penyertaan lebih 500 peserta dari dalam dan luar negara.

Insiden kehilangan Mohammad Ashraf sewaktu menyertai GUT19 ini ternyata menyedarkan rakyat Malaysia, terutama golongan penggiat mengenai risiko yang wujud dalam aktiviti rekreasi lasak yang mencabar ini.

Melalui artikel ini, saya akan mengupas tujuh perkara yang dapat kita jadikan iktibar dalam insiden GUT19 ini. Aktiviti rekreasi lasak termasuk trail run adalah aktiviti berisiko tinggi. Aktiviti itu dilaksanakan di alam semula jadi, membabitkan aktiviti larian lasak, mendaki, dan meredah hutan dalam lingkungan yang luas (antara 10km hingga 100km).

Risiko aktiviti rekreasi lasak

Risiko adalah sebahagian elemen penting dalam aktiviti rekreasi lasak. Tanpa risiko, aktiviti rekreasi lasak hanyalah aktiviti santai tanpa sebarang cabaran. Program yang terlalu tinggi risikonya berbanding kemahiran peserta akan mengundang kemalangan; manakala program yang terlalu rendah risikonya berbanding kemahiran akan mengundang kebosanan.

Untuk menjamin kepuasan dan keselamatan peserta, risiko dalam sesuatu kejohanan rekreasi lasak haruslah terkawal dan bersesuaian dengan tahap kemahiran peserta. Kepentingan penilaian risiko tahap risiko sesebuah kejohanan rekreasi lasak boleh diukur dengan menggunakan Risk Assessment & Management System (RAMS) yang dibangunkan oleh Haddock pada 1993.

Sistem ini membolehkan penganjur mahupun peserta untuk menganalisis elemen penyebab kemalangan (manusia, alam sekitar dan peralatan) dan seterusnya merancang langkah pencegahan. Saya ingin mencadangkan agar semua penganjur dan peserta supaya mengambil inisiatif memahirkan diri dengan analisis RAMS ini demi meminimumkan risiko kemalangan dalam aktiviti rekreasi lasak.

Sekiranya berlaku kemalangan dalam penganjuran kejohanan, pihak penganjur pastinya dipertanggungjawabkan ke atas insiden berkenaan. Pastikan peserta sudah mengisi borang lepas tanggung (indemnity form), dilindungi dengan insurans khas aktiviti rekreasi lasak, serta arif mengenai tahap kesukaran kejohanan yang akan mereka sertai.

Pastikan peserta melaksanakan pemeriksaan kesihatan secara berkala. Pada masa hadapan, pemeriksaan kesihatan secara rawak juga boleh dilaksanakan oleh pihak penganjur seperti diamalkan dalam penganjuran kejohanan rekreasi lasak di peringkat antarabangsa.

Kepentingan Teknologi Insiden GUT 2019 menyedarkan kita bahawa ia boleh terjadi kepada sesiapa sahaja yang menyertai aktiviti larian rekreasi lasak. Kehadiran seramai 800 penyelamat di segenap inci Bukit Batu Putih dan Sungai Itek, Gopeng masih gagal untuk menemui mangsa.

Sehubungan itu, sudah tiba masanya untuk penganjuran kejohanan rekreasi lasak di Malaysia menggunakan sistem radio-frequency identification (RFID) dan penjejak GPS seperti Tech4Race bagi membolehkan penganjur menjejak lokasi peserta.

Penggunaan teknologi ini pastinya akan membabitkan kos, namun menjimatkan masa memproses keputusan serta memudahkan kerja menyelamat.

Insiden kehilangan peserta GUT19 ini memaparkan sisi murni dalam kalangan rakyat Malaysia. Di samping agensi kerajaan, pelbagai badan rekreasi lasak mahupun individu berusaha berkampung dan terbabit aktif dalam misi pencarian Mohammad Ashraf. Sukarelawan ini berkorban masa dan tenaga tanpa sebarang bayaran demi membantu misi pencarian.

Langkah pencegahan bersepadu

Walaupun misi rasmi ditangguhkan beberapa hari lalu, mereka masih gigih melaksanakan misi pencarian sama ada di darat mahupun di sungai. Inilah kemurnian nilai dalam kalangan rakyat Malaysia. Bersamalah kita mendoakan agar usaha murni pahlawan masyarakat ini membuahkan hasilnya.

Hakikatnya, insiden kehilangan Mohammad Ashraf dalam Kejohanan GUT19 seharusnya menjadi pengajaran kepada semua pihak termasuk diri saya sendiri. Insiden sebegini pernah dan mungkin berulang sekiranya langkah pencegahan yang bersepadu tidak dilaksanakan.

Di pihak kerajaan, kewujudan akta berkaitan rekreasi lasak bakal membolehkan langkah penguatkuasaan dilaksanakan secara sistematik dan berkesan. Pada pihak penganjur, pastikan semua aspek pengurusan risiko dirancang dan dilaksanakan dengan sempurna agar kemalangan dapat dielakkan, manakala pihak peserta perlu memastikan senantiasa cergas fizikal dan mental serta nilailah kemahiran berbanding cabaran yang bakal dihadapi.

Malang sememangnya tidak berbau, namun persediaan awal bakal membantu meminimumkan risiko kemalangan. Bersamalah kita berdoa agar Acap segera ditemui.

Penulis adalah Pakar rekreasi lasak di Malaysia, Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar & Alumni) Universiti Pendidikan Sultan Idris

Berita Harian X