Sabtu, 30 March 2019 | 11:00am
FOTO hiasan.

Strategi pembudayaan pembelajaran sepanjang hayat

KERAJAAN mengutamakan agenda pembelajaran sepanjang hayat (PSH) bagi memastikan masyarakat mendapat peluang pendidikan merentasi peringkat umur, latar belakang pendidikan dan lokasi pembelajaran.

Perkara ini disokong Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (Pengajian Tinggi) dan Pelan Induk Pembudayaan PSH 2011-2020. 

Di negara maju seperti Amerika Syarikat (AS), United Kingdom dan Korea Selatan, PSH dijadikan elemen pendidikan untuk melahirkan modal insan relevan dengan kehendak industri.

Bagi mencapai status negara maju, PSH menjadi kemestian untuk kerajaan menterjemah pelbagai inisiatif serta memastikan transformasi negara mencapai status ekonomi berpendapatan tinggi. 

UMP Advanced sudah mengam- bil usaha pembudayaan dan pemerkasaan PSH melalui penawaran program secara hujung minggu, waktu pengajian fleksibel dan kecanggihan teknologi masa kini yang membolehkan penawaran program PSH dilaksanakan secara dalam talian.

Menjadi keperluan kepada negara merencana strategi pembudayaan PSH berkesan, supaya akses kepada program dapat diperluaskan melalui pelbagai medium.

Pembelajaran dalam talian

Sebagai permulaan, strategi penting adalah pelaksanaan pembelajaran dalam talian bagi pelaksanaan pengajaran dan pembelajaran (P&P).

Kaedah ini dapat meluaskan akses PSH melalui penggunaan sistem berasaskan web dan perkakasan mobil yang boleh diakses pelajar bila-bila masa, secara dalam talian.

UMP Advanced mula mengorak langkah menggunakan kaedah pelaksanaan program dengan menggunakan teknologi, bagi menyokong modul dijalankan secara dalam bilik kuliah atau konvensional ke dalam bentuk pembelajaran teradun, dengan menyepadukan aktiviti dalam talian untuk meningkatkan pengalaman pembelajaran pelajar.

Pelaksanaan pembelajaran dalam talian ini memasukkan elemen sidang video, sidang audio, nota multimedia, Web 2.0 (interaksi dan pengukuhan maya, Facebook dan media sosial) serta lain-lain bagi menyediakan pembelajaran fleksibel kepada warga industri yang mengikuti PSH, selari perkembangan Revolusi Perindustrian 4.0 (IR 4.0).

Strategi berikutnya melaksanakan kerjasama antara agensi bagi memaksimumkan penggunaan sumber berharga dan memastikan PSH dapat dilaksanakan dengan cekap.

Pada masa ini, beberapa agensi kerajaan di bawah kementerian melaksanakan PSH yang mana setiap agensi mewakili sasaran kumpulan berbeza dan menyediakan program berbeza, selaras misi dan objektif masing-masing.

Sebagai contoh, Kementerian Belia dan Sukan (KBS) menyediakan kursus jangka masa pendek dan panjang bagi belia dan Majlis Amanah Rakyat (MARA) melaksanakan program keusahawanan PSH yang fokus kepada komuniti Bumiputera setempat.

Justeru, dicadangkan perkongsian dan guna sama kepakaran pengajar, infrastruktur dan kemudahan antara agensi PSH bagi mendekatkan komuniti setempat mengembangkan ilmu dan kemahiran mereka. 

Hubungan strategik antara agensi PSH dengan industri dapat memberi faedah bersama menerusi perkongsian program, kepakaran, kemudahan infrastruktur, pemindahan kemahiran dan teknologi.

Program berimpak tinggi

Agensi PSH akan dapat menyalurkan program yang mempunyai permintaan industri dan berimpak tinggi dilaksanakan kepada golongan sasaran, di samping mendapat faedah pemindahan kepakaran dan kemahiran kepada pengajar terbabit.

Dalam usaha membantu masyarakat menyertai PSH, kerajaan perlu menyediakan dana dan ia hendaklah disokong mekanisme pembiayaan bagi golongan pekerja yang terbabit dengan program berkenaan.

Agensi yayasan negeri, syarikat berkaitan kerajaan, pertubuhan bukan kerajaan (NGO), badan antarabangsa dan parti politik dicadangkan mewujudkan dana dan pinjaman kepada golongan sasar.

Untuk membantu menggalakkan majikan membenarkan pembabitan pekerja di dalam program PSH, dicadangkan insentif pengecualian cukai dan kemudahan perbelanjaan modal bagi pembinaan infrastruktur dan kemudahan diperuntukkan kepada majikan yang menyokong agenda program itu.

Kerajaan perlu memberi penekanan kepada kesinambungan dan pengiktirafan PSH dengan memperkukuhkan kerangka sedia ada (P&P, tadbir urus, syarat kemasukan dan penilaian program) dengan mewujudkan Pusat Nasional Jaminan Kualiti dan Pengiktirafan program PSH.

Pusat itu akan menyelaras aktiviti jaminan kualiti dan pengiktirafan program membabitkan institusi pengajian tinggi (IPT) awam dan swasta serta memastikan masyarakat dan industri yakin dengan penawaran program PSH.

Peluang PSH ditawarkan UMP Advanced memperluas akses bagi peningkatan pengetahuan dan kemahiran serta membuka peluang bagi meneruskan pembelajaran lebih tinggi.

UMP Advanced sentiasa peka ke atas definisi dan konsep PSH yang selari aspirasi semasa negara untuk membangunkan masyarakat berilmu, yang memacu negara bagi mencapai matlamatnya menjadi negara maju.

Penulis merupakan Pengurus Kanan Jabatan Akademik dan Rundingcara Pelajar, UMP Advanced.

Berita Harian X