Khamis, 21 March 2019 | 11:00am
KEADAAN air sungai yang normal di Sungai Kim Kim yang disahkan selamat di Pasir Putih, Pasir Gudang. - Foto Hairul Anuar Rahim
KEADAAN air sungai yang normal di Sungai Kim Kim yang disahkan selamat di Pasir Putih, Pasir Gudang. - Foto Hairul Anuar Rahim

Sungai nadi kehidupan, bukan untuk dicemari

ISU pencemaran sisa racun perosak dari kebun, sisa kumbahan penternakan dan sisa kimia kilang menjadi semakin meruncing dan amat membimbangkan di negara kita.

Antara kawasan terjejas dengan begitu ketara adalah kawasan tadahan air Cameron Highlands di Pahang dan yang terbaru Sungai Kim Kim di Pasir Gudang, Johor. Ada individu tidak bertanggungjawab, bertahun-tahun mengusahakan kebun haram secara berleluasa sehingga menjejaskan Sungai Terla dan Sungai Ichat di Cameron Highlands.

Sungai ini adalah sumber air utama bagi kawasan tadahan Kuala Terla untuk kegunaan penduduk di sekitar Cameron Highlands. Selain sampah sarap, sisa racun perosak yang terlarang turut dijumpai di kawasan sungai berkenaan. Kajian pihak UKM ke atas sampel air sungai berkenaan telah menemui kandungan racun berbahaya seperti endosulfan, endorine ketone, aldrin dan DDE yang iaitu pencemar organik yang akan kekal dalam alam sekitar.

Sisa ini dikhuatiri akan masuk ke dalam rantai makanan dan akan menjejaskan kesihatan penduduk berhampiran. Air sungai berkenaan sudah terjejas dan dikelaskan sebagai kelas lima iaitu tercemar teruk dan tidak dapat dimanfaatkan. Penduduk sekitar amat terkesan apabila air yang sampai ke kediaman mereka keruh dan tidak yakin akan kebersihannya.

Di Johor, pencemaran Sungai Kim Kim menjejaskan majoriti penduduk di sekitar Pasir Gudang termasuk pelajar dan pasukan penyelamat. Keputusan analisis ke atas sampel dari sungai berkenaan menemui kandungan pelarut organik seperti benzene, toulene, xylene, ethylbenzene dan d-limonene.

Penyebaran gas metana

Sisa buangan kimia yang dipercayai berasal dari kilang itu, menyebabkan penyebaran gas metana secara meluas di kawasan Pasir Gudang. Gas metana adalah gas rumah hijau yang amat kuat, ia tidak dapat dikesan dengan mudah kerana tidak berwarna dan tidak berbau.

Meskipun pada asalnya ia tidak bertoksik, gas yang mudah terbakar ini boleh menyebabkan manusia muntah-muntah, tidak sedarkan diri sekiranya terhidu dalam kuantiti banyak, dan boleh membawa maut disebabkan kekurangan gas oksigen dalam badan.

Selain itu, gas berasid hidrogen sianida yang sangat bertoksik turut dikesan sehingga kawasan Tanjung Puteri. Jumlah keseluruhan penduduk yang mendapatkan rawatan menjangkau lebih 4,000 orang. Semua 111 sekolah dan beberapa institusi pengajian tinggi di Pasir Gudang diarahkan tutup sehingga keadaan udara persekitaran disahkan kembali selamat.

Isu pencemaran di kedua-dua tempat yang disebutkan di atas sebenarnya sudah bermula lebih awal. Apabila sungai tidak lagi mampu menampung sisa buangan yang terlalu banyak, penduduk sekitar terpaksa menanggung kesannya hari ini.

Sebagai langkah pemulihan, proses pembersihan dijalankan oleh pihak berkuasa dan ia masih lagi diteruskan. Pihak sekolah juga turut terbabit dalam pembersihan kawasan sekolah sebelum ia selamat digunakan semula oleh pelajar dan guru.

Sementara itu, siasatan lanjut oleh pihak polis dan agensi berkenaan masih lagi dijalankan bagi mengenal pasti pihak yang terlibat. Sebagai rakyat yang prihatin, kita sewajarnya memberikan masa dan ruang kepada pihak yang terbabit supaya mereka dapat melaksanakan tugas dengan baik dan mendoakan mangsa yang terkesan agar kembali pulih seperti sediakala.

Pihak kerajaan turut berharap agar sungai ini dapat dibersihkan segera dan kembali ke paras selamat seperti sebelumnya. Sebenarnya, sungai adalah hak bersama yang patut dihormati dan dipulihara untuk generasi akan datang.

Sungai yang sedia ada ini tidak akan terjejas sekiranya tiada tangan-tangan pelaku yang mencemarinya. Namun, perbuatan mencemarkan sungai sering diambil ringan dan langkah menjaganya sering dipandang remeh. Ini salah satu kesalahan manusia terhadap alam sekitar yang dilakukan dengan sengaja.

Kesedaran masyarakat

Oleh yang demikian, semua lapisan masyarakat perlu mempunyai kesedaran akan pentingnya penjagaan sungai sebagai nadi kehidupan manusia, dan menanam rasa tanggungjawab dalam mengekalkan kebersihan sungai yang ada.

Menjaga kesejahteraan sungai adalah salah satu usaha pemeliharaan alam sekitar (hifz al-bi’ah) yang juga kesinambungan matlamat tertinggi syariah (maqasid al-syariah) dalam menjaga setiap perkara yang dapat memberi manfaat kepada seluruh manusia (maslahah).

Rakyat Malaysia secara umumnya, perlu aktif menjaga alam semula jadi, terutama mengekalkan kebersihan sungai kerana ia sentiasa menyalurkan sumber kehidupan, iaitu air, kepada kita. Air yang kita minum dan gunakan untuk kebersihan, adalah elemen kehidupan yang sangat penting dalam diri seorang Muslim khasnya, bagi tujuan ibadah dan menjadi manusia yang lebih baik.

Nilai ini dapat dilihat melalui cara kita bertindak terhadap setiap hidupan di sekeliling kita, termasuk cara kita menjaga alam sekitar.

Penulis adalah Felo Penyelidik di Institut Kajian Islam Antarabangsa (IAIS) Malaysia

Berita Harian X