Isnin, 18 March 2019 | 11:00am
KERATAN akhbar BH Ahad.
KERATAN akhbar BH Ahad.

Universiti awam harus ubah model bisnes

LAPORAN BH Ahad semalam berhubung golongan miskin mahasiswa Universiti Malaya (UM) mengikat perut kerana kesempitan wang bukanlah perkara baharu.

Ia bukan hanya berlaku di UM, malah beberapa universiti lain tampil menceritakan masalah sama dialami pelajar masing-masing yang datang daripada keluarga miskin.

Masalah ini bertitik tolak kepada langkah kerajaan sebelum ini dipimpin Datuk Seri Najib Razak, yang sejak beberapa tahun lalu memotong secara drastik peruntukan kepada universiti awam.

UM misalnya sudah menyaksikan peruntukannya dipotong kepada RM500 juta daripada RM1 bilion setahun sebelumnya. Sudah semestinya, pemotongan peruntukan yang begitu mendadak akan memberi tekanan hebat kepada pentadbir universiti.

Berikutan itu, perbelanjaan harus dipotong kerana universiti awam seperti UM tidak mempunyai ruang yang luas untuk menjana pendapatan tambahan atau baharu, bagi menampung kelompongan bajetnya.

Tambahan, bagi UM yang menduduki tempat ke-87 dalam QS Global World Ranking 2019, pemotongan bajet itu membawa dilema yang menyulitkan.

Universiti awam terbaik negara itu tidak mungkin boleh mengurangkan tenaga pengajarnya dengan mendadak atau mengurangkan gaji mereka.

Jika ia melakukan demikian, semestinya agak sukar baginya untuk mempertahankan kedudukan sebagai antara universiti elit di rantau ini. Pilihan yang terbuka kepada pentadbir universiti awam itu hanyalah dengan mengurangkan kos, bukan emolumen atau upah.

Pengurangan subsidi makanan

Antara kos yang dikurangkan ialah subsidi makanan yang selama ini dinikmati oleh mahasiswa yang menginap di kolej kediaman universiti itu.

Kita difahamkan, pada zaman sebelum pemotongan bajet dulu, mahasiswa di kolej kediaman UM hanya perlu membayar sekitar RM6 sehari untuk kediaman, termasuk makanan di kantin yang menyediakan sarapan, makan tengah hari dan malam setiap hari.

Sejak bajet dipotong, UM dan beberapa universiti awam lain tidak lagi mampu menawarkan subsidi berkenaan. Kantin sudah ditutup, digantikan pula dengan gerai yang menjual makanan kepada mahasiswa di kolej kediaman.

Bayangkan, setiap hari mahasiswa perlu risau mengenai sarapan, makan tengah hari dan malamnya, di samping dibebani tuntutan pengajian. Setiap hari mereka terpaksa memastikan ada wang tunai dalam dompet mereka untuk mengisi perut yang kosong.

Kita tidak yakin mereka yang datang daripada keluarga B40 (kumpulan berpendapatan 40 peratus terendah) mampu mempunyai perbelanjaan yang diperlukan walaupun menerima wang Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN).

Malah, ada yang dalam kalangan keluarga miskin tegar, berkongsi sebahagian wang PTPTN itu dengan keluarga di kampung.

Kita bersyukur ada dalam kalangan pelajar yang lebih bernasib baik apabila universiti sendiri, mahupun pihak luar mengatur usaha untuk mengagihkan makanan percuma kepada pelajar miskin ini.

Namun, usaha berkenaan tidaklah boleh menjadi penyelesaian jangka panjang. Pentadbir universiti awam harus menerima hakikat mereka perlu memikir di luar kotak untuk memastikan subsidi kepada mahasiswa miskin dapat disediakan semula.

Salah satu caranya ialah untuk merombak model perniagaannya sekarang.

Kita berpendapat amalan UM sekarang yang mengenakan yuran pengajian pada kadar sama rata untuk semua pelajar (kecuali di program swastanya) tidak harus dikekalkan.

Yuran pengajian tiada beza

Misalnya bagi pengajian perubatan, difahamkan UM hanya mengenakan yuran berjumlah RM17,000 sepanjang pengajian lima tahun bagi seorang pelajar, tidak kira sama ada mereka daripada keluarga miskin atau kaya.

Bayangkan, seorang pelajar perubatan daripada golongan kaya hanya perlu membayar jumlah kecil itu sepanjang pengajiannya berbanding RM500,000 di universiti swasta.

Yuran rendah itu seharusnya hanya ditawarkan kepada pelajar golongan B40 dan mereka yang mampu, harus dikenakan yuran lebih tinggi. Dengan kaedah ini, UM dan universiti awam lain dapat melaksanakan subsidi bersilang bagi menampung keperluan pelajar miskin masing-masing.

Kita berpendapat banyak lagi cara yang boleh difikirkan universiti awam, terutama UM untuk menjana pendapatan baharu bagi memastikan mereka memiliki model perniagaan yang mapan.

Jika Universiti Harvard boleh memiliki dana endowmen sebanyak AS$35 bilion (RM143.2 bilion), untuk menampung perbelanjaan universiti itu, mengapa UM dan universiti awam di sini tidak mampu mengumpul dana sedemikian besar.

Penulis ialah Pengarang Kumpulan BH

Berita Harian X