Selasa, 12 March 2019 | 11:00am
GAMBAR fail, Kuala Lumpur berada di kedudukan teratas dalam senarai Top 10 di Bandaraya Top 100 Kedudukan Destinasi edisi Euromonitor International 2017. - Foto Yazit Razali
GAMBAR fail, Kuala Lumpur berada di kedudukan teratas dalam senarai Top 10 di Bandaraya Top 100 Kedudukan Destinasi edisi Euromonitor International 2017. - Foto Yazit Razali

Kejuruteraan kos melestari kewangan, pembangunan

Dalam usaha menyediakan perkhidmatan terbaik dan meningkatkan ekonomi negara, pembangunan infrastruktur seperti lebuh raya, jalan raya pelabuhan, kem tentera dan kemudahan pendidikan menjadi keutamaan pihak kerajaan dalam setiap belanjawan tahunan negara.

Penyediaan infrastruktur dilaksana dengan pertimbangan reka bentuk dan seni bina yang baik, namun sering mengabaikan aspek kejuruteraan kos dan pertimbangan kos ketika pendudukan aset yang dibangunkan pihak kerajaan. Ini menyebabkan kerajaan atau pemilik aset terpaksa menanggung kos penyelenggaraan, operasi dan kos tenaga yang tinggi setiap tahun untuk pastikan semua aktiviti perkhidmatan disediakan dengan kadar terbaik untuk kesejahteraan rakyat.

Sebagai contoh, pihak Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) pada 2018 membelanjakan RM147.9 juta untuk membaiki dan menyelenggara rumah pangsa membabitkan kerja-kerja awam, elektrik, mekanikal, kerja lif dan kontrak pembersihan. Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) pada 2016 dilaporkan membelanjakan RM1 bilion untuk penyelenggaraan lebuh raya, membabitkan kerja cerun, jambatan, terowong dan kawasan rehat sepanjang lebuh raya.

Dalam suasana kesuraman ekonomi dunia, langkah rasionalisasi bajet penyelenggaraan kepada agensi kerajaan adalah langkah tepat dan tersusun dalam usaha mengurangkan kebergantungan agensi kepada sumber hasil kerajaan. Kejuruteraan kos adalah proses pengurusan kos projek membabitkan aktiviti penilaian kos dari peringkat perancangan, reka bentuk, pembinaan dan penyelenggaraan aset seperti bangunan, jalan raya, pelabuhan dan hospital.

Pelaksanaan kejuruteraan kos jarang diperbincangkan di negara kita tetapi popular di negara maju seperti Amerika Syarikat, Belanda dan Jepun yang mengenakan syarat pelaksanaan kejuruteraan kos sebelum projek pembangunan dibangunkan pihak kerajaan atau swasta. Langkah pelaksanaan ini mendatangkan hasil menarik apabila kos operasi dan penyelenggaraan dapat dikurangkan antara 30 hingga 40 peratus.

Dalam kajian terbaru dijalankan penyelidik di Norway, pelaksanaan kejuruteraan kos dengan mengambil kira elemen kelestarian seperti pemasangan salur dan takungan air hujan serta pemasangan panel solar dapat meningkatkan lagi keuntungan jangka panjang kepada pihak kerajaan.

Keuntungan jangka panjang ini hanya dapat dinikmati apabila elemen kejuruteraan kos diambil kira pada peringkat perancangan pembangunan projek, iaitu sebelum kelulusan bajet pembangunan oleh pihak kerajaan. Dalam konteks Malaysia, beberapa langkah proaktif dan inovatif dilaksanakan pihak kerajaan sejak 10 tahun lalu dalam menerapkan kejuruteraan kos yang lebih berkesan.

Antara contoh pelaksanaan kejuruteraan kos yang berjaya ialah pelaksanaan bengkel pengurusan nilai yang menjadi kewajipan kepada semua agensi kerajaan yang melaksanakan projek pembangunan bernilai RM50 juta ke atas. Berdasarkan rekod, penjimatan perbelanjaan awam dapat dijimatkan melebihi RM2 bilion sejak teknik pengurusan nilai ini diterapkan dalam semua projek awam sejak 10 tahun lalu.

Fokus tiga bidang utama

Usaha berterusan dalam memastikan kejuruteraan kos dapat terus digandakan untuk memberikan penyampaian perkhidmatan terbaik perlu difokuskan dalam tiga bidang utama kejuruteraan kos utama iaitu audit nilai aset strategik kerajaan, melaksanakan pelan kos kitaran hayatan bangunan dan standardisasi pengurusan kos bagi projek infrastruktur aset seperti lebuh raya dan hospital, terutama membabitkan kaedah Inisiatif Pembiayaan Swasta (PFI).

Audit aset bernilai tinggi perlu dilaksana untuk pastikan aset kerajaan yang strategik dapat dimanfaat bagi menambah sumber kewangan. Kajian menyeluruh meliputi semua aset kerajaan menggunakan teknik pengurusan nilai memastikan aset strategik ini dapat dibangunkan semula atau ditingkat kebolehgunaan dari aspek komersial dan berasas keuntungan.

Misalnya, aset kerajaan dalam zon komersial Kuala Lumpur boleh dilaksanakan pembangunan bercampur, membabitkan pejabat kerajaan, kawasan perniagaan dan kediaman. Proses audit dan kajian pengurusan nilai perlu dilaksanakan dengan teliti dan mengambil kira semua faktor ekonomi pembangunan yang menguntungkan semua pihak.

Kaedah PFI sangat sesuai dengan syarat pihak kerajaan dan swasta diberikan peratusan pemilikan yang sesuai untuk menjamin keuntungan jangka panjang kedua-dua pihak. Pendekatan pengurusan inovatif seperti kos pusingan hayat dalam setiap pembangunan aset dan infrastruktur negara perlu dijadikan budaya dalam masyarakat Malaysia.

Penerapan kos pusingan hayat amat rendah di Malaysia memandangkan perancangan tidak sistematik terhadap kos operasi dan kos penyelenggaraan aset dan infrastruktur negara. Langkah inovatif dan kreatif perlu dilaksana untuk menerapkan kos pusingan hayat bagi pembangunan baharu dengan memberi keutamaan kepada penggunaan tenaga dan penggunaan ruang paling ekonomik dalam memastikan kos operasi dapat dijimatkan.

Semua pihak perlu rasional dan melaksana usaha berterusan untuk memastikan perbelanjaan kewangan negara memberi nilai sepadan terhadap setiap ringgit dibelanjakan. Justeru, teknik kejuruteraan kos sangat penting diterapkan pada semua peringkat iaitu peringkat perancangan, pembinaan dan penggunaan aset untuk membantu melestarikan kewangan negara dengan memberi nilai sepadan dengan keperluan dan fungsian aset kerajaan.

Penulis adalah Pengarah (Ukur Bahan) Fakulti Alam Bina dan Ukur, UTM Johor

Berita Harian X