Khamis, 28 Februari 2019 | 11:00am
Perdana Menteri yang juga Pengerusi Pakatan Harapan, Tun Dr Mahathir Mohamad ketika sidang media selepas mempengerusikan Majlis Presiden Pakatan Harapan di Yayasan Kepimpinan Perdana (YKP), Putrajaya, November lalu. Turut sama Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail; Menteri Dalam Negeri merangkap Presiden BERSATU, Tan Sri Muhyiddin Yassin; Ketua Umum Pakatan Harapan, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Tokoh Veteran DAP, Lim Kit Siang. - NSTP/Mohd Fadli Hamzah

Memahami naratif politik kerjasama

DI Malaysia parti politik tidak boleh memenangi pilihan raya dan menubuhkan kerajaan secara bersendirian, melainkan melalui kerjasama. Naratif politik kerjasama ini dipengaruhi faktor elit politik, rumpun etnik dan perkongsian kuasa antara kaum.

Dari segi sejarah, konsep ini mula diaplikasi sebelum pembentukan Perikatan dan Barisan Nasional (BN) lagi, iaitu melalui penubuhan Communities Liasion Committee atau CLC pada 1949. CLC ditubuhkan British sebagai inisiatif mempromosi persefahaman dan kerjasama dalam kalangan elit politik, bagi mencapai konsensus nasional dan pembangunan bangsa.

Penubuhan CLC sangat kritikal ketika itu apabila Tanah Melayu berdepan ancaman ketegangan kaum dan komunis, khususnya apabila Persekutuan Tanah Melayu diperkenal pada 1948. Meskipun CLC sebuah organisasi tidak rasmi, banyak keputusan dicapainya diambil kerajaan untuk mewujudkan persefahaman dan kerjasama antara kaum di Tanah Melayu.

Malah CLC dianggap pencetus kemunculan konsep ‘consociational democray’ (demokrasi permuafakatan) yang seterusnya mencorak landskap politik Malaysia. Naratif politik kerjasama dalam konteks demokrasi permuafakatan, menekankan soal perkongsian kuasa antara kaum.

Kewujudan naratif baharu

Dalam konteks BN, ia memanfaatkan faktor sejarah dan kontrak sosial untuk mengekalkan permuafakatan politik dan perkongsian kuasa antara kaum. Ia turut memperaku politik Melayu sebagai teras utama dengan UMNO sebagai parti teraju.

Bagaimanapun ia tercabar apabila wujud naratif politik kerjasama baharu pada 1998. Kemunculan Barisan Alternatif (BA), Pakatan Rakyat (PR) dan Pakatan Harapan (PH) mengesahkan wujudnya naratif baharu dalam politik kerjasama, iaitu ‘centripetalism’ (pemikiran politik kesederhanaan membabitkan pelbagai kaum).

Ia tidak lagi terikat faktor perkauman, tetapi berpendekatan sederhana, seimbang dan inklusif, dengan memberi fokus kepada isu dan kepentingan bersama seperti demokrasi, kebebasan, keadilan dan pemerintahan baik.

Kemenangan PH dalam Pilihan Raya Umum (PRU) 2018 menyaksikan ‘centripetalism’ berjaya memikat hati pengundi rakyat Malaysia terdiri masyarakat majmuk. Selain itu, wujud juga naratif politik kerjasama dipelopori PAS, iaitu ‘tahaluf siyasi’.

Ia menetapkan matlamat politik kerjasama tidak boleh menjejaskan matlamat perjuangan asal parti untuk menegakkan Islam, memperkukuh kedudukan umatnya serta membuka ruang pelaksanaan Islam.

Tahaluf siyasi mula diperkenalkan 1986 dan ditambah baik pada 1988 dan 1990. Pada 2010, PAS menyediakan satu kertas bertajuk ‘Tahaluf Siyasi: Garis Panduan dari Perspektif Islam’. Ia menyediakan naratif politik kerjasama PAS yang lebih menyeluruh serta mengambil kira perkembangan politik semasa.

Pemakaian naratif politik kerjasama ini memperaku keperluan PAS untuk membela nasib dan masa depan orang Melayu, sebagai langkah menjaga kepentingan umat Islam di negara ini. Naratif politik kerjasama PAS meletakkan kepentingan perjuangan parti mengatasi perjuangan bersama. Justeru, pakatan PAS dengan parti politik lain sering kali gagal apabila berlaku konflik antara perjuangan asal parti dengan kepentingan bersama.


Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang (dua dari kanan) menghadiri program Ceramah Perdana bertajuk 'Islam Memimpin Demi Perpaduan Ummah' anjuran bersama PAS dan UMNO Negeri Melaka di Dewan Muallim, Bukit Katil, Ahad lalu. Turut hadir Setiausaha Agung UMNO, Tan Sri Annuar Musa (tiga dari kanan); Pesuruhjaya PAS Negeri, Kamaruddin Sidek (dua dari kiri); Pengerusi Perhubungan UMNO Melaka, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh (kanan) dan Ketua UMNO Bahagian Tangga Batu, Datuk Seri Mohamad Ali Mohamad (kiri). - NSTP/ Rasul Azli Samad

Faktor rumpun etnik, perjuangan kaum

Isu paling klasik pelaksanaan undang-undang jenayah syariah atau hudud diperjuangkan PAS, tetapi bercanggah dasar bersama dalam BA dan PR.

Kemunculan apa yang dikatakan era Malaysia Baharu dipelopori naratif politik kerjasama PH mencetus persoalan penting, adakah naratif politik kerjasama ini benar-benar dapat melenyapkan faktor rumpun etnik dan perjuangan berasaskan kaum?

Adakah naratif ini boleh menafikan faktor politik Melayu menjadi teras politik Malaysia? Apa yang kita boleh lihat naratif politik kerjasama PH yang mempromosi nilai inklusif, pluralisme dan moderat memperkukuh faktor rumpun etnik dan perjuangan berasaskan kaum.

Ini boleh dilihat melalui kerjasama UMNO dan PAS yang menzahirkan solidariti orang Melayu/Islam di negara ini, sama ada dalam soal menangani isu tertentu mahupun pakatan pilihan raya.

Dalam konteks PH, Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) mahu memperjuangkan dasar agenda Bumiputera baharu bagi memajukan orang Melayu dan Bumiputera di negara ini secara menyeluruh. Ketika Perhimpunan Agung Tahunan BERSATU kali ke-2 pada Disember tahun lalu, parti itu memberi cadangan kepada Majlis Presiden PH agar agenda Bumiputera dijadikan dasar teras, sekali gus diterima Kabinet untuk dijayakan sebagai agenda nasional.

Apa yang jelas, naratif politik kerjasama di negara ini tidak dapat menafikan faktor rumpun etnik, sejarah dan politik Melayu sebagai tonggak.

Penulis dari Fakulti Ekologi Manusia Universiti Putra Malaysia (UPM)

Berita Harian X