Rabu, 27 Februari 2019 | 11:00am
Gelombang haba dan cuaca panas serta kering yang melanda negara ketika ini menggusarkan. - NSTP/Mohamad Shahril Badri Saali

Gelombang haba fenomena berulang

DENGAN suhu maksimum boleh melebihi 40 darjah Celsius di setengah kawasan, gelombang haba dan cuaca panas serta kering yang melanda negara ketika ini menggusarkan, terutama bagi mereka yang perlu melakukan aktiviti di luar pada waktu puncak iaitu dari tengah hari hingga ke petang.

Orang ramai perlu mengambil langkah perlu untuk meminimumkan risiko strok haba yang boleh menyebabkan kematian. Misalnya, kegiatan luar bagi pelajar sekolah mungkin perlu dijadualkan semula ke sebelah pagi. Orang awam mungkin ingin tahu, apakah faktor yang menyumbang kepada cuaca panas dan kering yang dialami ketika ini.

Sebagai penyelidik di UKM dalam bidang iklim, saya ingin berkongsi ulasan dan pandangan mengenai fenomena ini untuk kefahaman umum. Penerangan ini adalah berdasarkan kepada hasil penyelidikan saya dan kumpulan di Pusat Sains Bumi dan Alam Sekitar (PSBAS), UKM. Sebenarnya, gelombang haba seperti ini bukanlah sesuatu yang tidak pernah berlaku di Malaysia.

Malah, ia fenomena yang berulang, disumbang oleh kesan pelbagai fenomena yang berlaku secara serentak. Kesan tindanan pelbagai fenomena ini menjadikan suhu meningkat lebih tinggi daripada suhu normal.

Hampiri fenomena ekuinoks

Tiga fenomena yang menyumbang kepada peningkatan suhu yang kita alami pada ketika ini. Pertama, kita berada di penghujung musim monsun timur laut dan secara kebiasaannya jumlah penurunan hujan pada ketika ini agak rendah dengan kekurangan kelembapan dan litupan awan. Ini akan meningkatkan pancaran sinaran matahari ke permukaan bumi (atau insolasi) dan seterusnya meningkatkan jumlah haba dan suhu udara.

Ketiadaan hujan menghilangkan proses penyejukan dan menghalang penurunan suhu. Kita juga berada di penghujung Februari dan semakin menghampiri fenomena ekuinoks iaitu matahari berada di atas garisan khatulistiwa yang setiap tahun berlaku pada 20 Mac. Ini bermakna insolasi semakin meningkat dan ini meningkatkan jumlah haba yang diserap permukaan bumi, seterusnya meningkatkan suhu.

Kesan fenomena Ayunan Madden-Julian

Faktor kedua adalah kesan fenomena Ayunan Madden-Julian, suatu fenomena semula jadi iklim yang bergerak dari Lautan Hindi ke Lautan Pasifik merentasi kawasan Malaysia dan Indonesia pada kekerapan sekali dalam 20 hingga 60 hari. Pergerakan fenomena ini boleh dicirikan dengan 8 fasa dengan pergerakan pusat ‘perolakan meningkat’ diikuti oleh pusat ‘perolakan terhalang’.

Menariknya, menurut kajian saya dan kumpulan di PSBAS, UKM, fenomena ini boleh menyebabkan curahan hujan di Malaysia meningkat atau menurun bergantung kepada musim ia berlaku dan fasa fenomena ini serta jenis pusat perolakan yang merentasi kawasan kita.

Pada ketika ini, fenomena ini berada pada fasa 8 dan pusat ‘perolakan terhalang’ berada di atas rantau Malaysia dan Indonesia, menjadikan kawasan ini sebagai kawasan pencapahan kelembapan dan menghalang hujan dari berlaku.

Ketiadaan hujan dan kekurangan litupan awan meningkatkan suhu seperti yang kita alami pada masa ini. Mengikut Pusat Ramalan Iklim di Amerika Syarikat, dalam masa seminggu atau lebih pusat perolakan terhalang ini akan bergerak ke timur meninggalkan kawasan kita dan kemudiannya diikuti oleh pusat perolakan meningkat. Ini dijangka boleh menarik kelembapan dan hujan ke kawasan ini dan seterusnya menurunkan suhu.

Faktor ketiga yang paling utama adalah sumbangan fenomena El Nino Modoki yang kini sedang berlaku. El Nino Modoki, merujuk kepada jenis El Nino yang dikaitkan dengan peningkatan suhu permukaan laut di bahagian tengah dan barat Lautan Pasifik, bukannya di bahagian timur seperti berlaku semasa El Nino jenis biasa.

Menurut kajian saya dan kumpulan juga, pada Januari hingga Mac atau April, semasa fenomena El Nino Modoki berlaku, bahagian utara Sarawak, Sabah dan utara Semenanjung Malaysia akan mengalami kemarau dan peningkatan suhu seperti yang kita alami ketika ini.

Ternyata pelbagai kelakuan dan ayunan pelbagai fenomena iklim mampu mempengaruhi keadaan corak penurunan hujan, turun naik suhu dan mengganggu kelangsungan kegiatan seharian kita. Malah, cuaca ekstrem yang terjana boleh membawa kemusnahan. Pada dekad mendatang, keadaan dijangka semakin rumit dengan peningkatan suhu akibat pemanasan global.

Penulis adalah Pengerusi Pusat Sains Bumi dan Alam Sekitar, UKM

Berita Harian X