Selasa, 22 Januari 2019 | 11:01am
PENGHASILAN variasi padi, iaitu MARDI 303 dan MARDI Sebernas 307 hasilkan variasi lebih berkualiti.
PENGHASILAN variasi padi, iaitu MARDI 303 dan MARDI Sebernas 307 hasilkan variasi lebih berkualiti.

Usah biar jelapang menjadi kepuk

KEDAH sebagai penyumbang terbesar, iaitu 40 peratus pengeluaran beras Malaysia, dilapor menghadapi masalah berkaitan industri padi sehingga menjejaskan pengeluaran beras negara.

Jika asas ini menjadi indikator, taraf Kedah sebagai ‘jelapang padi’ bakal bertukar menjadi ‘kepuk padi’ sahaja. Akhirnya negara bukan sahaja kekurangan beras tempatan, tetapi menerima lambakan beras import dari negara jiran, khususnya Vietnam, Thailand dan Indonesia.

Laporan turut menyebut purata ‘beras’ dimakan rakyat Malaysia ialah 78 kilogram (kg) setahun dan akan terus meningkat jika berlaku pertambahan penduduk. Sekalipun semua negeri di Malay-sia mempunyai kawasan penanaman padi, ia bukanlah jaminan pengeluaran beras kekal mencukupi.

Keadaan itu disebabkan sesetengah sawah sudah dibangunkan sebagai pusat perniagaan komersial atau kawasan perumahan tanpa diganti baharu. Tidak kurang juga sesetengah sawah terus terbiar sebagai ‘rang’ lantaran tiada tenaga mengusahakannya.

Bekas Perdana Menteri, Tun Abdullah Ahmad Badawi pernah mengatakan, pertanian adalah perniagaan. Mengambil kira kata-kata beliau, seharusnya ia menjadi pembakar semangat kepada yang berminat menceburi bidang pertanian sebagai pesawah.

Namun, hal ini tidak berlaku seperti diharapkan apabila tenaga pesawah rata-ratanya masih terdiri daripada golongan berusia emas. Jika ada pun pesawah muda, mungkin bersifat sementara – tiada rotan akar pun berguna.

Cari solusi bersama

Siapakah yang perlu dipertanggungjawabkan? Pesawah, agensi pertanian atau kerajaan yang menggubal dasar sehingga mengabaikan kebajikan pesawah? Untuk saling menuding jari memang mudah, tetapi mencari solusi bersama itu yang payah. Lantaran itu, ada baiknya masalah ini dilihat dan diselesaikan secara bersama.

Sewajarnya ia bermula dari pihak kerajaan dan dalam hal ini, dua asas utama sedia ada iaitu Amalan Pertanian Baik (APB) dan Dasar Agro Makanan Negara (DAN 2011-2020) perlu diperkemas dan dilaksanakan secara telus, agar pengeluaran beras negara dapat dipertingkat dan lebih berkualiti.

Peruntukan sektor pertanian sebanyak RM4.417 bilion dalam Belanjawan 2019 bukti kerajaan terus memberi keutamaan kepada bidang ini. Daripada jumlah itu, RM47 juta bagi tujuan penyelidikan dan pembangunan (R&D), RM52 juta lagi untuk program keusahawanan dan latihan serta menarik minat orang muda menceburi sektor pertanian.

Secara umum tiada masalah dari aspek peruntukan. Justeru, Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani serta agensi di bawahnya perlu bijak mengagihkan peruntukan terbabit untuk meningkatkan pengeluaran beras negara.

Penghasilan variasi baharu padi, MARDI 303 dan MARDI Sebernas 307 sekurang-kurangnya menggalakkan usaha berterusan R&D bagi menghasilkan variasi lebih berkualiti dan tinggi hasilnya. Begitu juga dengan syor penggunaan racun dan baja yang tidak menjejaskan kualiti tanah untuk tanaman padi.

Di Malaysia, rata-rata pesawah masih dalam kategori B40 dan menerima pelbagai bantuan. Untuk mengangkat martabat golongan ini agar dipandang tinggi seperti di Amerika Syarikat atau Australia, pasti memerlukan masa yang panjang.

Tawar pelbagai insentif

Namun, usaha awal perlu dilakukan dengan penuh iltizam, iaitu mengiktiraf pesawah sebagai satu bidang keusahawanan dan kerjaya tetap. Hal ini boleh dilakukan melalui Skim Pesawah Muda (SPM) dengan menawarkan pelbagai insentif kepada golongan belia yang berminat.

Tuntasnya, kerajaan tidak boleh lokek berbelanja jika ingin menarik golongan belia bersawah. Selain itu, pesawah perlu dilihat sebagai pemain industri pertanian utama negara, manakala harga padi bukan sahaja perlu distabilkan, malah Padiberas Nasional Berhad (BERNAS) perlu bangkit sebagai pelindung kepada pesawah.

Keringat pesawah perlu dihargai, bukan diperah demi keuntungan sebelah pihak sahaja. Pesawah bukanlah ‘orang-orang di tengah sawah’, tetapi pemain utama sektor makanan negara. Orang tua-tua pernah menyebut, berbudi kepada tanah tidak akan rugi. Ada padi masak, adalah pipit.

Kekurangan kerja berkolar putih ini seharusnya tidak menjadi halangan kepada golongan belia kembali menceburi bidang berlumpur ini. Saya yakin, suatu ketika nanti pesawah akan muncul sebagai kelompok profesional dan disanjung tinggi oleh masyarakat dan negara.

Penulis merupakan Pensyarah Hubungan Etnik dan Pengajian Malaysia, UniKL Royal College of Medicine Perak (UniKL RCMP).

Berita Harian X