Sabtu, 29 Disember 2018 | 11:00am

Mengurus ekonomi secara inklusif

KERAJAAN kini komited untuk mencapai pertumbuhan ekonomi secara inklusif melalui pelbagai pelaksanaan dasar dan program kerajaan terutama Rancangan Malaysia Ke-11 (RMKe-11) dan Belanjawan 2019, iaitu memastikan lebih ramai rakyat dapat mengambil bahagian dan menikmati manfaat pertumbuhan ekonomi.

Pengurusan ekonomi secara inklusif termasuk salah satu teras strategik dan pemacu perubahan RMKe-11 iaitu di bawah teras pertama memperkukuh inklusiviti ke arah masyarakat yang saksama dengan pemacu perubahan meningkatkan taraf isi rumah golongan bawah pendapatan 40 peratus terbawah (B40) ke arah masyarakat kelas menengah.

Sementara itu, pengurusan ekonomi secara inklusif adalah fokus kedua Belanjawan 2019 iaitu memastikan kesejahteraan rakyat dengan strategi memastikan kebajikan, peluang pekerjaan, kualiti perkhidmatan sosial dan meningkatkan pendapatan dan pendidikan bagi semua golongan masyarakat.

Dalam memahami konsep pertumbuhan inklusif ini, kita bermula dengan definisi pertumbuhan inklusif dan kemudiannya melihat kepada strategi kerajaan dan kerangka tindakan polisi pertumbuhan inklusif. Kepentingan pertumbuhan inkusif turut diteliti beserta isu dan cabaran didalam mencapai matlamat berkenaan.

Bank Dunia mendefinisikan pertumbuhan inklusif sebagai pertumbuhan yang membenarkan masyarakat untuk menyumbangkan dan memperoleh manfaat daripada pertumbuhan ekonomi.

Pertumbuhan inklusif adalah penting untuk mengurangkan kemiskinan secara pesat dan mampan, dengan pertumbuhan yang menyeluruh meliputi pelbagai sektor ekonomi dan merangkumi sebahagian besar guna tenaga sesebuah negara.

Definisi pertumbuhan inklusif ini membayangkan terdapat hubung kait di antara penentu makro dan mikro pertumbuhan. Dimensi mikro memperlihatkan kepentingan mentransformasi secara struktur untuk mencapai kepelbagaian ekonomi dan persaingan.

Sementara itu, dimensi makro merujuk kepada peranan penting dasar ekonomi seperti dasar perdagangan, dasar fiskal dan monetari di dalam memastikan pertumbuhan mampan.

Pertubuhan Kerjasama Ekonomi dan Pembangunan (OECD) pula menyatakan konsep inklusif meliputi ekuiti, peluang yang saksama, dan perlindungan di dalam pasaran dan transisi pekerjaan.

Sebagai contoh, pendekatan pertumbuhan inklusif melihat kepada perspektif jangka panjang dengan fokus kepada pekerjaan yang produktif daripada pengagihan pendapatan secara terus sebagai cara untuk meningkatkan pendapatan kepada kumpulan terpinggir.

Memperkukuh pembangunan inklusif

Untuk itu, dibawah RMKe-11, Tonggak II iaitu memperkukuh pembangunan inklusif dan kesejahteraan rakyat dengan fokus kepada bidang keutamaan A memperkukuh inklusiviti ke arah masyarakat yang saksama beberapa strategi telah dipertengahkan antaranya dengan meningkatkan pendapatan dan kuasa beli B40 bagi mencapai pertumbuhan inklusif.

Ini dapat dicapai melalui meningkatkan kebolehpasaran dan produltiviti serta mempergiat aktiviti keusahawanan melalui inisiatif peningkatan akses kepada pendidikan dan latihan kemahiran yang berkualiti dan program pembangunan usahawan yang menyeluruh.

Selain itu, Belanjawan 2019 turut menyokong kearah mencapai pertumbuhan inklusif terutaman di bawah Fokus 2 memastikan kesejahteraan rakyat strategi meningkat peluang pekerjaan dan kebolehpasaran.

Kerajaan telah mengumumkan beberapa inisiatif seperti kenaikan gaji minimum daripada RM1,050 kepada RM1,100 dan, program Apprenticeship dan GENERATE serta menggurangkan caruman KWSP daripada enam peratus ke empat peratus bagi majikan yang menggajikan pekerja yang berumur 60 hingga 65 tahun bagi menggalakkan pengambilan pekerja golongan berumur.

Di bawah Kerangka Tindakan Polisi untuk Pertumbuhan Inklusif oleh OECD dengan matlamat mencapai pertumbuhan yang memberi manfaat kepada semua dan membolehkan individu, kawasan dan perniagaan untuk memenuhi potensi sebenar tiga teras telah disenaraikan iaitu pertama; pelaburan di dalam individu dan tempat yang ketinggalan bagi menyediakan peluang saksama, kedua; menyokong dinamika perniagaan dan pasaran buruh inklusif serta ketiga; membina kerajaan yang efisen dan responsif.

Di bawah teras pertama beberapa tindakan strategi utama telah diberi penekanan iaitu mempromosi pendidikan sepanjang hayat dan pengambilalihan kemahiran, meningkatkan mobiliti sosial dan menambahbaik kesihatan dan akses kepada perumahan mampu milik dan merapatkan jurang kawasan serta pelaburan kesejahteraan komuniti dan modal sosial.

Bagi mempromosi pendidikan sepanjang hayat, kerajaan perlu menyediakan pendidikan dan latihan yang berkualiti serta memberi keutamaan kepada golongan terpinggir untuk mengakses kepada pendidikan awal dan penjagaan kanak-kanak berkualiti.

Peningkatan mobiliti sosial dapat dicapai melalui mengurangkan halangan dan diskriminasi dengan kaedah polisi kesihatan, pendidikan dan pekerjaan.

Akhir sekali, bagi menambah baik kesihatan dan akses kepada perumahan mampu milik, fokus perlu diberikan kepada memastikan individu mudah terjejas dapat mengakses penjagaan kesihatan dan menerima insurans kesihatan dan pengangguran.

Tambahan pula, akses perlu dipertingkatkan kepada perumahan mampu milik dan pertumbuhan ekonomi yang lebih meluas di kawasan kurang maju melalui mempromosi infrastrukur jaringan.

Mencapai pertumbuhan inklusif adalah penting disebabkan peningkatan ketidaksamaan boleh menyebabkan masalah ekonomi dan sosial, perbelanjaan yang rendah yang membawa kepada pergolakan sosial dan politik serta memberi kesan kepada kesejahteraan ekonomi pada masa hadapan.

Revolusi Industri Keempat

Terdapat beberapa cabaran yang perlu ditangani didalam mencapai pertumbuhan inklusif iaitu pertumbuhan global yang semakin perlahan, kekangan ruang fiskal dan monetari serta gangguan teknologi.

Pertumbuhan ekonomi global dijangka menjadi semakin perlahan disumbangkan oleh faktor prestasi perdagangan global yang semakin merosot disebabkan terutama peningkatan langkah perlindungan oleh ekonomi utama dunia.

Ini akan menyebabkan prestasi pertumbuhan domestik menjadi perlahan dan menyukarkan peningkatan peluang pekerjaan.

Di samping itu, pembuat dasar kini mempunyai ruang fiskal dan monetari yang terhad kesan daripada langkah rangsangan ekonomi krisis kewangan global 2008-2009 untuk merangka intervensi bagi mengurangkan kesan krisis ekonomi pada masa hadapan.

Tambahan pula, ketibaan Revolusi Industri Keempat (IR4.0) dilihat dapat mempercepatkan proses pelebaran jurang pendapatan dengan teknologi maju dapat mengurangkan keperluan kepada tenaga kerja manusia akibat daripada penggunaan robot industri dan kepintaran buatan di dalam sektor pembuatan dan perkhidmatan.

Turut menyumbang kepada peningkatan ketaksamaan adalah isu imigrasi iaitu kebanjiran pekerja asing didapati mengakibatkan produktivi buruh terus rendah dengan keengganan pihak industri untuk meningkatkan penggunaan teknologi terkini.

Pelbagai cabaran

Ini seterusnya membawa kepada keadaan gaji yang terus rendah dan menyukarkan usaha untuk meningkatkan pendapatan golongan B40.

Perjalanan Malaysia menjadi sebuah negara yang mengutamakan pertumbuhan inklusif walaupun sudah bermula masih lagi dilihat agak perlahan kerana pelbagai cabaran utama yang dihadapi terutama sekali mengubah persepsi masyarakat terhadap pertumbuhan inklusif.

Sikap masyarakat terutama sekali golongan pemilik modal dan pekerja perlu diubah. Kesedaran kepada kepentingan menyediakan ekonomi yang bersedia untuk menghadapi ekonomi digital dan berlandaskan inovasi perlu ditanam dan dididik sedari awal lagi.

Masyarakat perlu sedar kegagalan untuk menerapkan budaya ekonomi digital serta penekanan kepada inovasi dan teknologi tinggi akan menganggu usaha untuk mencapai pertumbuhan ekonomi yang inklusif.

Ramai yang mungkin tidak sedar atau tidak mempedulikan usaha pihak kerajaan untuk mengurus ekonomi secara inklusif, namun pernahkah masyarakat terfikir apa akan terjadi kepada ekonomi jika kerajaan tidak mampu mengurus ekonomi secara inklusif?

Apakah akibat dan kesannya kepada keadaan ekonomi, sosial dan politik, terutama peningkatan jurang pendapatan di antara golongan teratas dan terbawah di negara kita?

Pada masa kini, kesedaran perlu wujud bahawa tanggungjawab untuk mengurus ekonomi secara inklusif bukan saja oleh pihak kerajaan, tetapi semua pihak dan individu.

Kita sebagai masyarakat kearah negara maju perlu memberi sokongan kepada usaha untuk mengurus ekonomi secara inklusif tidak terhadap kepada melihat kepada kepentingan masing-masing.

Oleh itu, marilah kita berganding bahu memastikan tindakan kita akan menghasilkan pertumbuhan ekonomi yang dapat dikecapai oleh semua demi mencipta masa hadapan negara yang lebih makmur dan sejahtera.

Penulis merupakan Ketua Seksyen Pemodelan Ekonomi dan Kajian Polisi Awam, Kementerian Kewangan.

Berita Harian X