Khamis, 13 Disember 2018 | 11:00am
Hajiji (lima dari kanan) bersama beberapa Ahli Majlis Tertinggi UMNO Sabah pada sidang media mengumumkan keluar parti di Kota Kinabalu, semalam. - Foto Edmund Samunting

Kapal UMNO karam di Sabah

“Berpindah dari kapal kecil ke kapal besar”. Itulah ungkapan keramat Bapa Kemerdekaan Sabah, Tun Datu Mustapha Datu Harun ketika mengumumkan pembubaran USNO yang diasaskannya 23 Disember 1961 bagi membolehkan UMNO bertapak di Sabah pada tanggal 21 Februari 1991.

Dalam usia terlalu muda ketika itu, iaitu 16 tahun penulis cuba menyelami apa yang dimaksudkan “berpindah dari kapal kecil ke kapal besar”. Malah, penulis bertanya kepada arwah ayah, seorang penyokong tegar USNO apa yang dimaksudkan Tun (nama panggilan Tun Datu Mustapha) untuk penulis memahami maksud tersirat.


Kata ayah, USNO ibarat kapal kecil manakala UMNO yang akan bertapak di Sabah ialah kapal besar bagi berperanan mengembalikan kuasa politik Bumiputera Islam yang semakin terhakis.

Namun, kini kapal besar yang dulu gah ‘belayar’, semakin usang dan tidak lagi mampu untuk memperjuangkan rakyat Sabah gara-gara kerakusan pemimpin pada peringkat Pusat yang menganggap ‘wang segala-galanya’ dan ‘wang itu raja’.

Asas perjuangan untuk membela rakyat semakin jauh, sebaliknya parti dijadikan platform untuk mencari kekayaan, sehinggakan kemiskinan semakin meningkat serta prasarana asas seperti air, elektrik dan jalan raya yang menjadi sebahagian manifesto Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah ketika kali pertama UMNO bertanding pada 1994, gagal diselesaikan.

Rakyat bukan hamba


Rakyat Sabah perlukan pembelaan, mahukan pembangunan dan tidak mahu dijadikan ‘ulun’ (hamba) dan matlamat itu hanya dapat dicapai apabila kerajaan negeri dan Pusat dalam kapal yang sama.

Tidak hairanlah sejak kuasa Barisan Nasional (BN) ditunjangi UMNO hilang di Sabah, semakin ramai wakil rakyat UMNO keluar parti, sama ada menyertai parti pemerintah, Parti Warisan Sabah (WARISAN) dan Pertubuhan Pasok Momogun Kadazandusun Murut Bersatu (UPKO) atau mana-mana parti gabungan Pakatan Harapan (PH), iaitu PKR, DAP dan Parti Amanah Negara (AMANAH).

UMNO Sabah semalam, menerima gelombang besar apabila Pengerusinya, Datuk Hajiji Mohd Noor yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sulaman, bersama-sama 13 wakil rakyat dan 21 ketua Bahagian meninggalkan parti itu dan mengisytiharkan menjadi ahli politik bebas.

Selain Hajiji, sembilan ADUN meninggalkan UMNO ialah Datuk Musbah Jamli (Tempasuk), Datuk Japlin Akin (Usukan), Datuk Ghulam Haidar Khan Bahadar (Kawang), Datuk Mohd Arifin Mohd Arif (Membakut), Datuk Isnin Aliasnih (Klias), Datuk Matbali Musah (Lumadan), Datuk Seri Masidi Manjun (Karanaan) dan Datuk Nizam Abu Bakar Titingan (Apas).

Turut sama, empat ahli Parlimen iaitu Datuk Abdul Rahim Bakri (Kudat), Datuk Azizah Mohd Dun (Beaufort), Datuk Seri Ronald Kiandee (Beluran) dan Datuk Zakaria Mohd Edris (Libaran). Dua Senator ialah Datuk John Ambrose yang juga Ketua UMNO Bahagian Penampang serta Datuk Abdul Ghani Mohd Yassin yang mengetuai UMNO Bahagian Pensiangan.

Secara keseluruhan, sembilan ADUN, empat Ahli Parlimen, dua Senator dan 21 Ketua Bahagian Umno Sabah bertindak meninggalkan parti itu, manakala Ahli Parlimen Sipitang, Hafez Yamani Musa, yang belum mengangkat sumpah di Dewan Rakyat, turut menyuarakan hasrat keluar UMNO untuk bersama kumpulan terbabit.

UMNO lumpuh

Tindakan wakil rakyat dan ketua bahagian itu satu pukulan hebat kepada UMNO Sabah sehingga kesannya boleh melumpuh dan menyelapkan parti itu dari Negeri Di Bawah Bayu.

Menyingkap sejarah UMNO Sabah, Majlis Tertinggi parti pada 15 Oktober 1990 membuat ketetapan menubuhkan UMNO di Sabah dan ini disambut baik oleh Allahyarham Datu Mustapha ketika itu yang menyedari keperluan sebuah parti dominan yang kukuh dan stabil bagi membela nasib rakyat secara konsisten di Sabah.

Ini menyaksikan Presiden UMNO ketika itu, Tun Dr Mahathir Mohamad pada 22 Februari tahun yang sama mengumumkan penubuhan UMNO Sabah pada Mesyuarat Agung Ke-23 USNO di Dewan Perdana Wisma Majlis Ugama Islam Sabah (MUIS), Kota Kinabalu.

Sebenarnya, pada lewat 1970-an, usaha mengembangkan sayap UMNO ke Sabah sudah mula kedengaran. Akhbar tempatan Sabah, Warta Minggu terbitan 16 Disember 1979 melaporkan artikel bertajuk “UMNO akan bercabang ke Sabah” (UMNO akan berkembang ke Sabah).

Dr Mahathir kemudian mempelawa Datu Mustapha menyertai UMNO dan di sinilah bermulanya ungkapan popular Allahyarham ‘Berpindah dari kapal kecil ke kapal besar’.

Timbalan Perdana Menteri ketika itu, Tun Abdul Ghafar Baba dipertanggungjawab meneraju UMNO Sabah sebagai Pengerusi Badan Perhubungan Negeri dan Datu Mustapha yang menjadi ahli pertama UMNO Sabah sebagai Timbalan Pengerusi.

Kehilangan kerusi DUN

Keputusan Datu Mustapha menyertai UMNO menyebabkan Allahyarham kehilangan kerusi DUN Usukan yang diwakilinya menyebabkan satu Pilihan Raya Kecil (PRK) diadakan pada 11 Mei 1991.

Datu Mustapha memenangi kerusi berkenaan menjadikan DUN Usukan muncul sebagai anak sulung UMNO Sabah dan selepas itulah pengaruh UMNO semakin berkembang, termasuk menjadi tulang belakang BN menerajui tampuk pemerintahan Sabah selepas PRN Sabah pada Februari 1994.

Dalam pilihan raya itu, UMNO Sabah yang kali pertama bertanding dalam PRN Sabah, memenangi 18 daripada 20 kerusi ditandingi atas tiket BN, diikuti memenangi semua 25 kerusi ditandingi dalam PRN 1999.

Rekod cemerlang itu berterusan sehingga Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-14) apabila kekal menyapu bersih semua kerusi ditandingi, sama ada DUN mahupun Parlimen.

Bagaimanapun, seperti UMNO pada peringkat Pusat, pengaruh UMNO Sabah turut jatuh mendadak apabila kehilangan separuh daripada kerusi Parlimen dan DUN yang disandang dalam PRU-14.

Antara pemimpin kanan UMNO Sabah yang tewas ialah bekas Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Seri Dr Mohd Salleh Said Keruak di Parlimen Kota Belud; bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdul Rahman Dahlan (Parlimen Sepanggar) dan bekas Timbalan Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Yahya Hussin (DUN Petagas).

Yahya dan Hajiji ialah pemimpin veteran Sabah yang menjadi wakil rakyat sejak menjadi calon UMNO-BN pada 1994 dan kedua-duanya bekas pemimpin USNO.

Bak kata penduduk Usukan (DUN), jika mahu mengalahkan UMNO di Sabah, tawan dulu DUN Usukan. Walupun DUN itu kekal dimenangi BN-UMNO dalam PRU-14, namun keputusan ADUN kawasan itu, Japlin keluar parti dilihat membuka laluan kepada berkuburnya UMNO di bumi Sabah.

UMNO gagal berfungsi

Abdul Rahman yang juga bekas Pengarah Komunikasi Strategik BN, menyifatkan keputusan wakil rakyat terbabit antaranya berpunca daripada kegagalan UMNO berfungsi di negeri berkenaan selepas BN kalah dalam PRU-14.

Selain itu, desakan supaya Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi bercuti kerana terpalit dengan dakwaan rasuah dan salah guna kuasa, tidak diendahkan Pengerusi BN itu.

Selepas UMNO Sabah hampir lumpuh, kini tumpuan terarah kepada hala tuju wakil rakyat yang keluar parti dan menjadi wakil rakyat bebas, sama ada menubuhkan parti baharu, menyertai parti sedia ada. Atau mungkinkah Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) akan melebarkan sayap ke Sabah dan mereka itulah yang akan mengisinya? Semua senario politik ini tentunya menambah banyak persoalan dan warna-warninya.

Ketika ini, BERSATU belum ditubuhkan di Sabah, namun keputusan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Sabah, Datuk Hajiji Mohd Noor, bersama-sama 13 wakil rakyat dan 21 ketua Bahagian meninggalkan parti itu dan mengisytiharkan menjadi ahli politik bebas dijangka ‘membuka pintu’ BERSATU melebarkan sayapnya.

Presidennya, Tan Sri Muhyiddin Yassin, mengesahkan ada menerima beberapa cadangan untuk membuka parti terbabit di Sabah, namun perkara itu perlu dibincangkan dengan lebih teliti termasuk berbincang dengan WARISAN serta parti menganggotai PH.

Sama-sama kita tunggu episod berikutnya, politik Sabah yang selalunya tenang boleh bertukar kepada ‘gelora besar’ tanpa disangka-sangka dan inilah yang berlaku kepada UMNO.

Berita Harian X