Selasa, 11 Disember 2018 | 11:00am

Dahulu tawan Sabah, kini Tun M uji Sarawak

AWAL bulan ini, dua parti politik menggunakan kata kunci ‘Bersatu’ mencuri tumpuan penduduk Borneo, iaitu Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) dan Pertubuhan Kebangsaan Sabah Bersatu (USNO) Baru.

BERSATU mengembangkan sayapnya secara rasmi di Sarawak, manakala USNO yang dibatalkan pendaftarannya pada 1996 kembali aktif dengan penambahan nama ‘Baru’.

Kedua-dua parti lahir pada zaman berbeza, tetapi mempunyai perkaitan sejarah khususnya dengan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad yang juga Pengerusi BERSATU.

Laluan pembubaran USNO bermula pada 21 Februari 1991 untuk membolehkan UMNO bertapak di Sabah dan ketika itu, Dr Mahathir ialah Perdana Menteri dan Presiden UMNO.

UMNO tawan Sabah 1994

Jika 24 tahun lalu UMNO diterajui Dr Mahathir berjaya menawan Sabah pada Pilihan Raya Negeri (PRN) 1994, kini tumpuan terarah kepada Sarawak. Sama ada beliau mampu mengulangi sejarah itu pada PRN-12 yang dijangka pada 2021, cuma berlainan nama parti yang kali ini menerusi BERSATU.

USNO, parti diasaskan bapa kemerdekaan Sabah, Allahyarham Tun Datu Mustapha Datu Harun pernah memerintah Sabah pada 1967 hingga 1975 sebelum tewas kepada Parti Bersatu Rakyat Jelata Sabah (BERJAYA) pada 1976.

Datu Mustapha kemudian menyertai UMNO pada 1991 menyebabkan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Usukan dalam Parlimen Kota Belud yang diwakilinya kosong sehingga satu Pilihan Raya Kecil (PRK) diadakan pada 11 Mei 1991.

22 tahun berkubur

Datu Mustapha kemudian bertanding pada pilihan raya berkenaan atas tiket Barisan Nasional (BN)-UMNO dan memenanginya, sekali gus menyaksikan DUN Usukan ‘anak sulung’ kepada UMNO Sabah.

Selepas 22 tahun berkubur, akhirnya parti itu secara rasmi diluluskan pendaftaran oleh Jabatan Pendaftar Pertubuhan Malaysia (ROS), awal minggu ini.

ROS sebelum itu memberi notis kepada USNO Baru untuk mengadakan Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) dalam tempoh sebulan mulai 7 November lalu. USNO Baru ialah sebuah daripada 20 parti politik baharu yang diluluskan ROS pada 2013. Dalam mesyuarat itu, 10 daripada 13 Ahli Jawatankuasa (AJK) penaja mengundi yang menyaksikan Ibrahim Linggam dipilih sebagai presiden baharu, selepas menewaskan presiden penaja, Dulli Tiaseh.

Ibrahim meraih lapan undi berbanding Dulli yang hanya memperoleh dua undi.

Kemampuan USNO Baru mengembalikan zaman kegemilangan USNO dilihat ‘jauh panggang daripada api’ oleh kalangan pemerhati politik dengan mengambil kira faktor tiada pemimpin heavyweight seperti dahulu.

Dahulu sebut sahaja Tun Datu Mustapha, Tun Said Keruak dan Tun Sakaran Dandai, ketiga-tiganya bekas Ketua Menteri dan Yang di-Pertua Negeri Sabah, semua orang kenal dan kagum.

Malah, pengalaman penulis membesar dalam keluarga penyokong tegar USNO, di DUN Usukan parti itu tidak perlu berkempen setiap kali pilihan raya kerana sebut sahaja nama Tun Datu Mustapha, pasti hati pengundi ‘cair’ dan akan memangkah parti menggunakan lambang Gunung Kinabalu itu.

Setiap kali pilihan raya pasti kedengaran suara jangan lupa ‘Belud Nibaau’ bermakna Gunung Kinabalu yang merujuk kepada lambang USNO. ‘Belud Nibaau’ ialah bahasa Bajau, pengundi majoriti di DUN Usukan.

Sebagai parti yang terbabit dalam perjuangan memerdekakan bumi Sabah atau Borneo Utara, pasti ia menjadi kelebihan kepada parti itu, namun kini berbeza.

Generasi yang dulu fanatik dengan USNO kini boleh dihitung dengan jari, manakala generasi muda semakin jauh dengan parti itu selepas dibubarkan hampir tiga dekad lalu.

Sebab itulah ketika wawancara dengan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, September lalu, apabila Pengerusi BN itu menyebut jasa USNO kepada UMNO sangat besar, penulis mengatakan kepada beliau sebagai generasi yang ada ‘DNA USNO’, penulis amat bangga dengan pengiktirafan itu.

Dalam pada itu, Ibrahim berkata, USNO Baru yang sebelum ini dilarang daripada mengadakan sebarang aktiviti, kini bebas daripada kekangan itu selepas AGM, pemilihan parti dan pelantikan ahli jawatankuasa diadakan dengan mematuhi peraturan ditetapkan ROS.

Kekal neutral

USNO Baru memilih untuk kekal neutral dan membuka keahlian kepada masyarakat berbilang kaum Negeri di Bawah Bayu yang boleh dilihat apabila pemimpin berketurunan Cina, Leong Chan Chu dilantik sebagai Timbalan Presiden baharu.

Kalangan pemerhati politik merumuskan bahawa USNO sudah tidak relevan dan berhadapan kesukaran untuk kembali sebagai parti politik dikagumi seperti dahulu. USNO tidak sama dengan sekarang dari segi pengaruh dan kepemimpinan.

Di Bintulu, Sabtu lalu, Dr Mahathir melancarkan BERSATU secara rasmi di Bumi Kenyalang dan mengumumkan keazaman Pakatan Harapan (PH) menawan Sarawak pada PRN-12 nanti.

Sasaran itu ditetapkan bagi memudahkan kerajaan baharu menyelaras pembangunan untuk Sarawak yang sebelum ini dilaporkan berlaku ketirisan dan penyelewengan dalam pengurusan peruntukan pembangunan Sarawak yang diagihkan Kerajaan Persekutuan ketika diterajui BN.

Ini termasuk dalam bekalan tenaga elektrik menggunakan solar untuk sekolah luar bandar di Sarawak yang tidak sampai kepada kumpulan sasar sehingga mengecewakan masyarakat pribumi kawasan terbabit.

Tiada alasan untuk PH tidak dapat memajukan Sarawak, walaupun parti itu berpangkalan di Semenanjung kerana kehadirannya di negeri itu atas kehendak rakyat Sarawak yang mahukan perubahan dalam pentadbiran kerajaan negeri.

Walaupun kalangan pemerhati politik melihat majoriti rakyat Sarawak kekal menyokong parti memerintah, iaitu Gabungan Parti Sarawak (GPS) atau dahulu BN, namun tidak mustahil PH khususnya dengan kehadiran BERSATU dapat menawan negeri itu, seperti BN diterajui UMNO menewaskan parti pemerintah Sabah ketika itu, Parti Bersatu Sabah (PBS) dalam PRN Sabah pada 1994.

Justeru, PRN Sarawak selewat-lewatnya pada 2021 menjadi kayu pengukur sejauh mana keupayaan BERSATU menawan negeri itu, seperti UMNO menawan Sabah pada 1994 di bawah kepemimpinan tokoh sama, iaitu Dr Mahathir.

Berita Harian X