Rabu, 5 Disember 2018 | 11:11am
EKONOMI tumbuh subur setelah hubungan organisasi dan interaksi sesama anggota masyarakat menjadi lebih mantap. - Foto hiasan
EKONOMI tumbuh subur setelah hubungan organisasi dan interaksi sesama anggota masyarakat menjadi lebih mantap. - Foto hiasan

Kerjasama pacu pertumbuhan ekonomi negara

ABDUL Rahman Ibn Khaldun atau Ibn Khaldun ialah ilmuan dan pemikir dalam pelbagai bidang terutama fekah, tauhid, perundangan, ekonomi Islam dan sebagainya. Melalui karya agungnya Mukaddimah, beliau mengupas dengan begitu berhemah terhadap sistem ekonomi Islam.

Pemikiran ibn Khaldun dikatakan pencetus ekonomi Islam. Pandangan bernas beliau diiktiraf dan ditambah baik oleh pemikir Barat seperti Adam Smith, Ricardo, Malthus, Karl Marx, Keynes dan Kuhn.

Ibn Khaldun mempelopori kaitan antara perubahan dalam masyarakat dengan kegiatan ekonomi mereka. Pendeknya, budaya mempengaruhi pola aktiviti ekonomi mereka. Apabila sistem sosial berubah semakin baik, ekonomi tumbuh subur setelah hubungan organisasi dan interaksi sesama anggota masyarakat menjadi lebih mantap.

Gaya hidup yang berubah ialah satu nilai hidup atau budaya yang akhirnya membentuk tamadun. Perkara ini dikemukakan beliau sejak lebih 600 tahun dahulu. Ibn Khaldun menyatakan apabila masyarakat bersatu, mereka memupuk semangat kerjasama dan membentuk kekuatan untuk berganding bahu memajukan ekonomi.

Ekoran daripada pandangan di atas, pada 1990, Prof North memenangi Hadiah Nobel dalam bidang sains ekonomi. Beliau mempelopori asas ekonomi institusi yang menyatakan perubahan dalam masyarakat berlaku apabila cara hidup mereka berubah secara berkumpulan.

Cara hidup lebih terarah

Apabila budaya masyarakat digembleng secara kerjasama, pengeluaran akan meningkat. Antara cara yang boleh dilakukan ialah menggubal undang-undang supaya wujud wawasan bersepadu dan cara hidup lebih terarah dengan budaya untuk memacu pertumbuhan ekonomi.

Dalam usaha mengembalikan kegemilangan ekonomi negara, Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad menyatakan bahawa kerajaan akan mengembalikan kegemilangan ekonomi seperti yang dilakukan pada era 1990-an. Harimau Asia akan mengaum semula. Perkara ini tidak mustahil berulang, asalkan kena pada cara dan rentaknya.

Penyusunan semula agensi dan organisasi perlu dilakukan dengan cermat dan berhati-hati. Syarikat berkaitan kerajaan perlu dirombak atau dimantapkan lagi. Rasuah perlu dikekang dan dibasmi hingga ke akar umbi. Peraturan dan akta perlu dipinda, dimansuh atau diharmonikan. Usaha ini ialah prasarana yang mustahak bagi memupuk sifat kerjasama dalam kalangan rakyat berbilang bangsa dan budaya serta agama bagi memacu pertumbuhan ekonomi.

Baru-baru ini penulis dijemput memberi pandangan bagi menurunkan kos sara hidup dalam program anjuran Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna. Pelbagai pihak mengemukakan pandangan dalam usaha mengurangkan kos sara hidup rakyat.

Turunkan premium tanah

Ada pandangan mengenai usaha menjalankan pertanian hidroponik bagi menghasilkan makanan supaya harga barang makanan dapat dikurangkan. Ada pula pandangan supaya kerajaan negeri menurunkan premium tanah supaya harga rumah boleh dikurangkan. Begitu juga dengan mengkaji semula budaya dan amalan makan di luar dan pembaziran makanan yang boleh mengurangkan kos sara hidup.

Penulis pula merujuk cara tanah diuruskan supaya pengeluaran makanan menjadi lebih cekap dan akhirnya dapat menyumbang merendahkan kos sara hidup.

Dalam konteks tanah, pengurusan tanah yang bersepadu mampu meningkatkan produktiviti makanan dan mengurangkan kos sara hidup.

Apabila tanah diusahakan sebaik-baiknya, tanah terbiar dapat dimajukan dan pengeluaran makanan dapat ditingkatkan. Buat masa ini, terdapat kira-kira 300,000 hektar tanah bekas lombong di seluruh negara yang belum diusahakan sepenuhnya. Tanah bekas lombong boleh dijadikan ala-Felda kedua dengan tanaman herba, sayur-sayuran dan tanaman kontan.

Negara mengimport berjuta-juta ringgit hasil pertanian dari luar negara. Kita perlu mencontohi Belanda, negara di bawah paras laut tetapi negara pengeluar sayur-sayuran utama di Eropah.

Undang-undang lapuk

Begitu juga terdapat kira-kira 200,000 hektar tanah pertanian terbiar di negara kita. Kajian yang dijalankan di Kuala Pilah, Negeri Sembilan mendapati antara punca tanah pertanian terbiar ialah undang-undang pemilikan tanah yang lapuk, sikap pemilik tanah yang sukar mengerjakan tanah mereka, faktor kewangan dan tarikan pekerjaan di luar yang lebih menarik.

Punca tanah terbiar mesti dikaji dan penyelesaiannya dicari. Terdapat kira-kira 1.7 juta hektar Tanah Rizab Melayu di Semenanjung Malaysia dan hampir 75 peratus tidak dimajukan sepenuhnya. Kebanyakan kita prihatin dengan pengurangan saiz Tanah Rizab Melayu tetapi kurang melihat pada penggunaan tanah berkenaan yang tidak mencapai tahap terbaik.

Cara mengurangkan masalah kemunduran Tanah Rizab Melayu perlu dicari. Prasarana perlu dimasukkan supaya nilai Tanah Rizab Melayu dapat ditingkatkan. Barangkali juga perundangan Tanah Rizab Melayu perlu diharmonikan dalam bentuk penggubalan Akta Tanah Rizab Melayu bagi memperkasakannya. Semua usaha memerlukan pembabitan pelbagai agensi dan sektor.

Tanah wakaf

Begitu juga terdapat kira-kira 30,000 hektar tanah wakaf di seluruh negara. Malangnya hanya kira-kira 12 peratus yang sudah dimajukan. Wakaf perlu dilihat dalam konteks cara hidup dan bukan keagamaan semata-mata.

Kita sudah ada hotel, ladang, sekolah, klinik yang dibina di atas tanah wakaf. Laporan akhbar yang mengatakan tanah wakaf akan dimajukan untuk membina rumah mampu milik amat mengujakan penulis. Begitu juga dengan pembinaan hospital dan universiti wakaf.

Sekiranya tanah wakaf dapat dimajukan dengan cara yang terbaik, kita akan dapat mengurangkan kos sara hidup rakyat disebabkan secara prinsipnya, wakaf mensejahterakan rakyat.

Begitulah cara kos sara hidup rakyat dapat dikurangkan melalui institusi wakaf yang bukan sahaja membawa keberkatan hidup, malah kesejahteraan seluruh alam atau ‘rahmatan lil alamin’. Manfaat wakaf bukan sahaja boleh diagih kepada umat Islam, malahan kepada bukan Islam dan makhluk yang lain seperti haiwan.

Justeru, satu pelan induk tindakan kerjasama kos sara hidup negara perlu diwujudkan dengan mengembleng tenaga pelbagai agensi dan membabitkan pelbagai sektor dari segenap lapisan rakyat.

Penulis adalah Presiden Pertubuhan Profesional Tanah Malaysia (PERTAMA) dan Pensyarah Kanan Universiti Tun Hussein Onn Malaysia

Berita Harian X