Isnin, 3 Disember 2018 | 11:01am
PASUKAN bomba dan penyelamat berusaha menyelamatkan lelaki yang cuba terjun dari tingkat enam di pusat beli-belah KLCC. - Foto BERNAMA
PASUKAN bomba dan penyelamat berusaha menyelamatkan lelaki yang cuba terjun dari tingkat enam di pusat beli-belah KLCC. - Foto BERNAMA

Pesakit mental perlukan rawatan awal

KEBELAKANGAN ini, banyak kejadian cubaan bunuh diri dilaporkan dalam akhbar tempatan dengan kes terbaru membabitkan seorang individu di pusat beli-belah KLCC yang berjaya diselamatkan oleh anggota bomba.

Kejadian seperti ini biasanya mendapat banyak tumpuan di media sosial. Ada golongan yang boleh berempati terhadap individu terbabit dan tidak kurang juga ada yang mengutuk perbuatan sedemikian.

Kebanyakan komen negatif kerana kurang pemahaman terhadap kejadian bunuh diri. Agak menyedihkan kerana masih ramai yang salah faham bahawa mereka yang cuba membunuh diri berbuat demikian untuk mendapatkan perhatian dan secara sengaja menyebabkan kesulitan kepada pihak berkuasa dan juga masyarakat umum.

Bagaimanapun, bukti sedia ada dari bidang psikiatri dan psikologi menunjukkan dengan jelas bahawa ini tidak tepat.

Kebanyakan individu yang cuba membunuh diri sedang mengalami penyakit mental dan ramai di antara mereka tidak mendapat diagnosis dan juga rawatan yang berpatutan.

Hanya separuh pesakit mental dapatkan rawatan

Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) menganggarkan bahawa hanya lebih separuh daripada mereka yang mengalami penyakit mental telah mendapatkan diagnosis dan rawatan.

Di Malaysia, Tinjauan Kesihatan dan Morbiditi Kebangsaan 2015 mendapati sejumlah 29.2 peratus rakyat dewasa menghadapi masalah kesihatan mental, satu peningkatan mendadak daripada 12 peratus pada 2011.

Terdapat banyak halangan untuk seseorang yang mengalami penyakit mental untuk mendapatkan bantuan profesional yang amat mereka perlukan. Stigma dan salah faham dalam kalangan masyarakat ialah salah satu halangan yang paling besar.

Mereka yang mengalami penyakit mental sering dipandang masyarakat dan ahli keluarga sebagai seorang yang malas, kurang kesungguhan atau mempunyai nilai moral yang rendah.

Ramai percaya bahawa penyakit mental boleh dirawat secara lebih berkesan menggunakan pendekatan rohani atau terapi alternatif dan akan memilih cara itu sebagai jalan penyelesaian terlebih dahulu.

Namun, banyak penyakit mental seperti kemurungan disebabkan oleh ketidakseimbangan dalam sistem endokrin, hormon dan neurotransmiter. Kaji selidik sedia ada menunjukkan bahawa ketidakseimbangan ini boleh dirawat secara berkesan dengan ubat-ubatan psikiatri.

Rawatan ini biasanya digabungkan dengan pendekatan psikoterapi untuk menangani isu psikologi penyumbang.

Gabungan kedua-dua pendekatan ini lazimnya boleh mencapai kadar pemulihan setinggi 80 peratus atau lebih, terutama sekali bila penyakit dikesan dan dirawat secara awal.

Hukuman tak halang cubaan bunuh diri

Selepas diselamatkan daripada cubaan bunuh diri, seseorang boleh didakwa mengikut Seksyen 309 Kanun Keseksaan yang diwujudkan dari zaman British dahulu.

Banyak negara maju dan juga negara membangun seperti India telah memansuhkan akta sedemikian.

Tiada bukti menunjukkan bahawa hukuman sedemikian dapat menghalang seseorang daripada membunuh diri.

Malah, kebanyakan pakar percaya bahawa hukuman sedemikian berkemungkinan mendorong seseorang individu mengambil langkah lebih drastik dalam percubaan bunuh diri untuk memastikan ia berjaya menamatkan hidup mereka.

Epidemiologi bunuh diri mendedahkan bahawa cubaan bunuh diri salah satu petunjuk utama kejadian bunuh diri pada masa akan datang. Maka, amatlah penting untuk individu yang cuba membunuh diri diberi segera rawatan perubatan dan psikologi yang berpatutan.

Menghukum mereka tidak akan membantu, malah ia lebih berkemungkinan menambahkan lagi tekanan emosi yang sedang dialami.

The Befrienders KL ingin menggalakkan satu tinjauan semula terhadap Seksyen 309 untuk menentukan kesesuaian dan keberkesanan dalam konteks semasa masyarakat kita dan kajian bukti perubatan yang sedia ada.

The Befrienders KL memberi sokongan emosi kepada mereka yang mengalami tekanan emosi atau yang ada keinginan untuk membunuh diri. Sila hubungi talian telefon 03-79568145 (24 jam) atau sam@befrienders.org.my

Berita Harian X