Isnin, 15 Oktober 2018 | 11:00am

Antara larangan merokok dan diskriminasi

KEPUTUSAN Kementerian Kesihatan menguatkuasakan larangan merokok di semua restoran dan premis makanan, termasuk warung di tepi jalan bermula 1 Januari ini, pasti disambut baik orang ramai, terutama bukan perokok.

Malah, ada yang berpendapat langkah itu sepatutnya sudah lama dilaksanakan kerana ramai sedia maklum kesan sampingan asap rokok sekunder, terutama terhadap wanita hamil dan kanak-kanak yang lebih berisiko terkena pelbagai jangkitan berkaitan saluran pernafasan.

Jika ditinjau pendapat netizen di media sosial mengenai larangan yang bakal dikuatkuasakan ini, ramai yang menyifatkan golongan perokok sebagai mementingkan diri sendiri.

Berdasarkan pengalaman peribadi penulis di kedai atau premis makanan, masih ramai perokok bebas menghembus asap tembakau tanpa mempedulikan kiri kanan mereka, sama ada ada pelanggan dalam kalangan ibu hamil atau kanak-kanak.

Kadang-kadang sengaja kita mengibas-ngibas tangan seolah-olah ‘mengibas’ asap rokok yang sampai dari meja sebelah atau berpura-pura batuk sebagai isyarat kepada si perokok supaya tidak merokok di situ.

Perlu sensitif

Namun, berapa ramai perokok yang benar-benar faham atau peka dengan situasi berkenaan. Paling tidak mereka buat muka ‘bodoh’ dan tidak bersalah menyebabkan pelanggan lain terpaksa menikmati hidangan dalam keadaan tidak selesa.

Lebih menyakitkan hati apabila ada pula membuang abu rokok di atas lantai yang kadang-kala berterbangan di tiup angin, selain sesetengah mereka membuangnya dalam pinggan selepas makan sehingga menimbulkan rasa kurang selesa pelanggan lain.

Seharusnya perokok lebih sensitif bahawa kedai makan, termasuk warung juga dikunjungi pelbagai lapisan masyarakat - daripada warga tua hingga wanita hamil, selain pengunjung bersama kanak-kanak dan bayi untuk menikmati hidangan.

Seorang rakan penulis yang menghidap asma turut mengeluh, asap rokok membuatkannya lemas dan terasa seperti sesak nafas, lalu seboleh mungkin dia mengelak ke tempat awam yang ramai perokok, terutama di kedai makan.

Jika orang dewasa pun tidak tahan dengan asap rokok, bagaimana keadaan bayi dan kanak-kanak yang memiliki kadar pernafasan tinggi antara 40 hingga 50 kali seminit, berbanding dewasa yang hanya menyedut udara antara 15 hingga 16 kali seminit.

Kajian Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) mendapati asap dikeluarkan daripada rokok mengandungi 4,000 bahan beracun, antaranya 22 bahan kimia, 12 agen penyebab barah dan 10 logam berat.

Malah, pakar kesihatan berpendapat memang tidak ada tahap selamat bagi pendedahan kepada asap rokok.

Ruang khas merokok

Sebelum ini ada juga cadangan pengusaha kedai makan mahukan pilihan supaya mereka dibenar membuka kawasan merokok di bahagian belakang premis kerana bimbang larangan yang bakal dilaksanakan nanti boleh menjejaskan perniagaan.

Selain itu, ada pula pendapat sesetengah pihak yang mengetengahkan hak untuk orang ramai merokok.

“Memang kita hendak melihat kepada hak (hak orang yang merokok), tetapi yang penting adalah kita juga perlu menjaga hak mereka yang tidak merokok dan ada hak untuk bebas daripada asap rokok.

“Jadi, kita mempertimbangkan kedua-dua pihak dan ini keputusan yang kita perlu buat kerana semua tahu merokok itu memudaratkan kesihatan,” kata Timbalan Menteri Kesihatan, Dr Lee Boon Chye seperti dilaporkan media, semalam.

Sehubungan itu, katanya, kementerian berkenaan sedia mempertimbangkan jika pemilik premis mahu membuka restoran atau kafe khusus untuk perokok.

Bincang ruang khas merokok

“Sekarang pun, ada premis tertentu yang tidak disenaraikan sebagai kawasan larangan merokok, antaranya kelab malam dan pub. Kementerian akan mempertimbangkan jika ada pihak yang ingin membuka restoran atau kafe khas untuk perokok,” katanya seperti dilapor media.

Beliau berkata, Kementerian Kesihatan akan menemui pengusaha dan pemilik premis makanan dalam masa terdekat bagi membincangkan, sama ada perlu atau tidak ruangan khas merokok di premis mereka.

Bagi pemilik premis makanan, jangan melihat langkah penguatkuasaan ini bakal memberi kesan negatif terhadap perniagaan mereka, termasuk kehilangan pelanggan, tetapi gunakan peluang ini dengan meningkatkan kualiti makanan dan perkhidmatan.

Mereka sebaliknya boleh menarik lebih ramai pengunjung, ter- utama golongan berkeluarga yang mungkin selama ini mengelak memasuki kedai makan kerana bimbangkan anak kecil terdedah kepada asap rokok.

Berita Harian X