Selasa, 18 September 2018 | 10:59am
KEDATANGAN Ahmad Zahid diraikan Hadi serta ahli pada Muktamar PAS Ke-64 di Stadium Tertutup Gong Badak, Kuala Nerus, baru-baru ini.

PAS, UMNO perlu jujur langkaui politik

SOALAN terakhir wartawan yang dijawab Datuk Seri Hadi Awang sejurus selesai Muktamar PAS Ke-64 kelmarin ialah: “Bagaimana rasanya berbaik-baik dengan UMNO?”

Di sebalik keletihan selepas berdiri kira-kira sejam bagi menyampaikan ucapan penangguhan, Presiden PAS itu tetap ceria dengan bahasa tubuh meyakinkan - sisi berbeza yang jarang dilihat media. Jawapannya juga diselang-seli dengan gelak tawa: “Kita pun memang mendahulukan berbaikbaik daripada memusuhi.”

‘Mood’ perwakilan muktamarmendepani persoalan kerjasama dengan UMNO jauh berbeza berbanding ketika PAS menjadi sekutu PKR dan DAP menerusi ikatan tahaluf siyasi atau kerjasama politik.

Mungkin banyak pengajaran yang dikutip daripada kisah lama itu, mungkin juga asas perencanaan kerjasama terbaru ini lebih longgar ikatannya tanpa mengetepikan kepentingan untuk saling membantu atau taawun ‘siyasi’.

Atau mungkin juga kelangsungan masa depan Islam-Melayu di tanah air sendiri dilihat semakin goyah dan memerlukan dua nama besar itu bertemu di titik tengah atas nama perjuangan. Apa juga alasannya, bukan calang-calang sejarah yang terakam apabila usul kerjasama kesatuan umat dengan PAS mengetuai usaha menyatukan politik Islam-Melayu diluluskan tanpa bahas, seperti dikemukakan Dewan Pemuda PAS Malaysia (DPPM).

Susulan ketetapan sedemikian, persoalan melingkari pastinya apakah bakal berlaku lonjakan drastik dari segi penyatuan idea parti pimpinan Hadi dan Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi? Pengarah Strategi DPPM, Syahir Sulaiman, berpandangan kunci utama kepada teras persefahaman PAS-UMNO adalah kejujuran. “Semua pihak perlu jujur, ikhlas dan berlapang dada jika benarbenar mahu membentuk kerjasama yang boleh mencorakkan laluan masa depan umat yang lebih bermakna.

“Agenda perjuangan atas nama agama dan bangsa sudah sedia ada dalam jiwa penggerak PAS dan UMNO, tetapi beberapa perubahan perlu dilakukan untuk kerjasama ini mengecapi kesan yang dimahukan,” katanya.

Dalam mencari titik kesepakatan, beliau melihat wujud keperluan bagi PAS dan UMNO lebih inklusif serta menyuntik wajah Malaysia dalam berjalan beriringan, bukan ditiruskan kepada Melayu semata-mata. Konsep universal Islam, katanya, membolehkan ia diterima pelbagai kaum dan penyertaan bukan Islam dalam PAS adalah bukti terhadap keterbukaan itu. Di luar kotak pilihan raya, PAS dan UMNO sebelum ini pernah bersama menjuarai isu yang meletakkan rakyat mendahului kepentingan politik.

Bukti kerjasama dua parti

Nada sama dalam isu membabitkan kezaliman rejim Zionis ke atas rakyat Palestin dan pembelaan nasib masyarakat pelarian Rohingya adalah antara bukti kerjasama kedua-dua parti itu sudah lama terjalin atas platform kemanusiaan.

Penganalisis politik dari Universiti Sains Malaysia (USM), Prof Dr Sivamurugan Pandian, memberi contoh bagaimana jentera akar umbi kedua-dua parti saling berganding bahu membantu mangsa banjir di negara sendiri. “Perpaduan ummah begini yang mendapat tempat di hati rakyat dan diingati masyarakat kerana ia membabitkan aspek kemanusiaan, melangkaui ruang lingkup politik yang lebih banyak membataskan persamaan dalam banyak keadaan.

“Kerap dikatakan apabila UMNO lemah, parti itu mencari PAS memohon bantuan. Ini kurang tepat kerana hakikatnya, kedua-dua parti saling memerlukan,” katanya. Untuk menjadikan kerjasama PAS-UMNO lebih telus dan tulus, katanya, kedua-dua pihak mesti mengetepikan prasyarat yang cenderung mengecilkan skop persefahaman.

Sivamurugan berkata, perjuangan demi orang Melayu ibarat darah yang mengalir dalam tubuh setiap ahli UMNO dan adalah tidak wajar jika PAS mahu UMNO mengetepikan agenda itu, seperti mana Islam menjadi landasan perjuangan PAS. “Istilah Melayu dan Islam masing- masing terpahat dalam nama kedua-dua parti, mana mungkin itu dibuang begitu saja seolaholah apa yang diperjuangkan sejak berpuluh tahun lalu langsung tidak mempunyai makna,” katanya.

Mengikuti inti pati perbahasan perwakilan muktamar hujung minggu lalu, tidak salah untuk dirumuskan Budaya Politik Matang dan Sejahtera perlahan-lahan mulai mengubah wajah PAS, selari perkembangan siasah semasa. Budaya mencaci dan memperlekeh lawan tidak lagi kedengaran, sebaliknya masing-masing mengakui kelemahan yang menyebabkan PAS belum menjadi pilihan total khususnya dalam kalangan generasi muda, termasuk pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) lalu. Hadi sendiri mendedahkan, kegagalan PAS menguasai media sosial membuatkan parti itu jauh ketinggalan.

Setiausaha DPPM, Afnan Hamimi Taib Azamudden pula lantang menyedarkan perwakilan: “Ketika kita di khutbah mimbar, rakyat terdidik di hujung jari”. Disedari atau tidak, pengakuan itu sebenarnya membuka bayangan satu lagi bentuk kerjasama yang boleh digerakkan bersama UMNO - penguasaan media sosial selaku senjata ampuh menarik sokongan golongan muda.

UMNO sudah lama memasuki gelanggang ‘perang di media sosial’ dan tidak ada salahnya jika kedua-dua parti saling berbincang bagi mengenal pasti kelompok sasaran untuk ‘dipancing’ menerusi kesalinghubungan di alam maya. Sejauh mana PAS dan UMNO benar-benar boleh membuang curiga dan prasangka dalam memastikan episod baharu ini mencetuskan evolusi politik berlandaskan kematangan?

Tiada prasangka

Syahir berkata, PAS memerhatikan perkembangan kerjasama terkini itu dalam suasana ‘hazar’ atau waspada, seperti juga manamana kerjasama yang pernah dilaksanakan. “Tiada prasangka dalam hal ini kerana kita sesama umat Islam harus menerima perkara baik dengan ikhlas, dengan harapan pihak satu lagi turut memiliki pendirian sama.

“PAS dan UMNO perlu samasama jujur serta menghormati asas yang menjadikan kedua-duanya antara parti utama selama ini,” katanya. Kerjasama PAS-UMNO tidak harus menjurus kepada PRU-15 semata- mata, sebaliknya melangkaui apa juga landskap politik demi kemaslahatan umat Islam.

Ceria wajah Hadi ketika menyambut Ahmad Zahid yang menghadiri majlis perasmian muktamar pada Sabtu lalu, wajar dipahat dalam ingatan ramai untuk tempoh yang panjang, malah mungkin juga buat selama-lamanya. Malaysia harus bersedia untuk menyelak helaian lembaran serba mengujakan pada hari mendatang.

Berita Harian X