Rabu, 12 September 2018 | 11:15am
KERATAN akhbar BM 9 September lalu.

Anwar diberi laluan bertanding untuk realisasi peralihan kuasa

HARI ini, semua akan tahu kerusi Parlimen mana bakal ditandingi Datuk Seri Anwar Ibrahim jika benar kata Setiausaha Agung PKR, Datuk Saifuddin Nasution Ismail bahawa bakal presiden parti itu akan membuat pengumuman sekembalinya dari Hong Kong.

Awalnya, kata Saifuddin, kerusi berpotensi ditandingi Anwar ada tiga, sebelum disenarai pendek menjadi dua. Namun di kawasan mana pilihannya nanti tentunya kerusi paling selamat berdasarkan kajian serta mengambil kira keputusan pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) lalu.

Jadi, sekali lagi rakyat akan menyaksikan PRK buat kali keempat dijangka Oktober ini selepas PRU-14 yang baru selesai kira-kira tiga bulan lalu.

Tiga PRK selepas PRU-14 Mei lalu membabitkan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) yang semuanya disebabkan kematian penyandang, kecuali PRK untuk Anwar ini yang diadakan bagi membolehkan beliau kembali ke Parlimen.

Proses mendapatkan mandat baharu daripada rakyat itu juga bagi memberi laluan kepada Anwar menjadi Perdana Menteri seperti termeterai dalam perjanjian peralihan kuasa di antara bakal Presiden PKR itu dengan Tun Dr Mahathir Mohamad.

PRK keempat juga nanti juga, sekali lagi menyaksikan kerusi pilihan raya dikosongkan oleh penyandang dari PKR, semata-mata untuk memberi laluan kepada Anwar bertanding.

Kali pertama dahulu membabitkan isteri Anwar sendiri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail yang mengosongkan kerusi Permatang Pauh pada Ogos 2008 untuk memberi laluan kepada suaminya kembali ke Parlimen.

Ia disusuli pengosongan kerusi DUN Kajang pada Mac 2014 dalam gerakan dirujuk sebagai ‘Langkah Kajang’ bagi menggantikan Menteri Besar Selangor ketika itu, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim.

Ketika itu, Anwar pada awalnya dinamakan sebagai calon oleh PKR bertanding di Kajang dan kemudian menjadi Menteri Besar Selangor yang baharu, namun kes mahkamah membabitkannya menyaksikan beliau digantikan Wan Azizah yang berjaya mengekalkan kerusi terbabit.

Untuk PRK akan datang, kerusi yang disebut-sebut sebelum ini seperti Permatang Pauh, Nibong Tebal, Sungai Petani, malah Pandan sendiri yang disandang isteri Anwar, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, sudah diketepikan.

Penyandang kerusi Permatang Pauh adalah Nurul Izzah, anak bakal Presiden PKR itu sendiri yang awal-awal lagi menolak tanggapan beliau akan meninggalkan kubu kuat PKR itu, reaksi sama juga disuarakan penyandang kerusi Nibong Tebal, Datuk Mansor Othman.

Mansor yang juga Pengerusi PKR negeri, tegas menafikan akan mengosongkan kerusi disandangnya menerusi berita tersebar di pelbagai platform media sosial bersama dakwaan beliau akan dilantik sebagai Yang Dipertua Negeri Pulau Pinang.

Kerusi di utara bukan pilihan

Kelmarin juga, Saifuddin mengumumkan kerusi di utara Semenanjung bukan pilihan Anwar untuk diadakan PRK.

Lalu kerusi di Lembah Klang pula jadi tumpuan, mungkin Selayang berdasarkan kesediaan penyandangnya, William Leong Jee Keen yang secara terbuka menyatakan kesediaan berkorban untuk mengosongkan kerusi berkenaan.

Satu lagi ialah Parlimen Batu yang disandang wakil rakyat termuda di negara kita, P Prabakaran yang menang atas tiket Bebas pada PRU-14 lalu dengan sokongan Pakatan Harapan (PH), khususnya PKR.

Parlimen Batu juga boleh dianggap kerusi tradisi dan kubu kuat PKR kerana sudah beberapa penggal disandang Tian Chua sebelum pencalonan Naib Presiden PKR itu pada PRU-14 ditolak Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) atas sebab sabitan oleh mahkamah.

Walaupun tidak bertanding, Tian Chua memberi sokongan padu kepada Prabakaran yang turut berkempen menggunakan poster bekas Ahli Parlimen Batu itu. Semua itu dilihat sebagai faktor beliau bersedia mengosongkan kerusi berkenaan jika diminta berbuat demikian.

Ada lagi tawaran terbaru menyusul semalam, satu daripadanya adalah Ahli Parlimen PKR Kuantan, Fuziah Salleh yang mengumumkan beliau sedia mengosongkan kerusinya bagi memberi laluan kepada Anwar.

Sanggup kosongkan kerusi

Malah, Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri itu berkata, ramai Ahli Parlimen PKR sanggup mengosongkan kerusi masing-masing bagi membolehkan Anwar bertanding dan seterusnya dilantik sebagai Perdana Menteri.

“Perkara ini (mengosongkan kerusi Parlimen untuk Anwar) dilakukan dengan pertimbangan wajar untuk membolehkan Anwar kembali ke Parlimen. Saya pun sanggup kosongkan kerusi (Parlimen)... kalau beliau (Anwar) mahu datang ke Kuantan,” katanya.

Semalam juga, ada media yang memetik sumber kepemimpinan PKR, melaporkan Anwar akan bertanding di salah satu kerusi Parlimen di Negeri Sembilan dan parti itu hanya mempunyai seorang wakil di Parlimen dari negeri berkenaan, iaitu Datuk Danyal Balagopal Abdullah di Port Dickson.

Berita itu pantas mengundang reaksi kepemimpinan PKR Negeri Sembilan dengan Pengerusinya yang juga Menteri Besar, Aminuddin Harun menyambut baik jika benar pemimpin mereka itu mahu bertanding di negeri berkenaan.

Sebelum ini juga, kata Aminuddin, banyak kerusi yang ditawarkan kepada Anwar dan Negeri Sembilan juga tidak terkecuali.

Uji perpaduan PKR

PRK untuk Anwar juga dilihat bakal menguji perpaduan dalam PKR kerana ia dijangka diadakan Oktober ini, tidak lama sebelum pemilihan kepemimpinan baharu parti berkenaan dilangsungkan.

Yang menarik perhatian pada perhimpunan PKR nanti adalah ‘pertembungan’ di antara kem Naib Presiden, Rafizi Ramli dan Timbalan Presiden, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali bagi jawatan nombor dua parti.

Kebelakangan ini, ‘perseteruan’ di antara dua pemimpin itu atau penyokong mereka dilihat semakin panas, masing-masing saling membalas kritikan dan saling mempromosi kelebihan untuk menjadi timbalan.

Adakah ‘ketegangan’ itu akan terpapar dalam gerakan kempen atau aktiviti jentera pilihan raya pada PRK untuk Anwar nanti? Mungkin tidak jika parti pembangkang memutuskan tidak bertanding bagi memberi kemenangan percuma.

Walaupun belum ada kepastian kerusi mana dan bila PRK berkenaan akan diadakan, sudah ada suara-suara di sebelah kem pembangkang menyarankan UMNO, Barisan Nasional (BN) atau PAS agar tidak membazir wang dan tenaga menentang Anwar.

Ada logiknya desakan berkenaan kerana angin politik sekarang masih bertiup ke arah menolak pembangkang seperti dibuktikan di DUN Sungai Kandis, Balakong dan Seri Setia.

Jika diikutkan ‘mood’ rakyat sekarang dan atas kertas, Anwar selaku nama besar politik negara bersama pengaruh dan auranya yang masih berbisa, dijangka meraih kemenangan mudah jika ada tentangan.

Berita Harian X