Isnin, 10 September 2018 | 11:28am

Strategi perkasa usahawan mikro, B40

KONGRES Masa Depan Bumiputera dan Negara yang berlangsung di Kuala Lumpur, baru-baru ini, memberi gambaran kepada rakyat mengenai hala tuju Kerajaan Pakatan Harapan berhubung dasar ekonomi Bumiputera.

Bertemakan ‘Mendepani Cabaran Bumiputera dalam Malaysia Baharu,’ majlis anjuran Kementerian Hal Ehwal Ekonomi itu mengumpulkan peserta daripada pelbagai bidang kerjaya, termasuk ahli ekonomi, tokoh politik, golongan akademik hingga kumpulan sasterawan bagi membincangkan agenda Bumiputera.

Jika diimbas semula sejarah negara, ini penganjuran ketiga seumpamanya bertujuan merencana masa depan golongan yang membentuk majoriti penduduk di Malaysia, selain meningkatkan penyertaan dan prestasi mereka, terutama dalam bidang ekonomi.

Penganjuran kongres pertama pada Jun 1965 benar memberi kesan kerana hasil perbincangan berjaya meluluskan 70 resolusi penting, yang antara lain menyaksikan penubuhan Majlis Amanah Rakyat (MARA) bagi menggantikan Lembaga Kemajuan Kampung dan Perusahaan (RIDA).

Yang turut lahir daripada kongres sama ialah penubuhan Bank Bumiputra Malaysia, yang menjadi bank perniagaan biasa dimodali kerajaan, dengan hak milik akhirnya diserahkan kepada Bumiputera menerusi jualan saham.

Resolusi perlukan perubahan

Berbalik kepada kongres terkini, 51 resolusi diluluskan dipecahkan kepada enam bidang fokus utama iaitu Nilai, Moral dan Etika; Pendidikan dan Modal Insan; Penciptaan dan Pemilikan Kekayaan; Perniagaan dan Keusahawanan; Tindakan Afirmatif, dan Pembentukan Strategi/Hala Tuju.

Daripada semua resolusi dicapai, 12 tertumpu dalam bidang penciptaan dan pemilikan kekayaan, sembilan ditumpukan kepada perniagaan dan keusahawanan.

Bagi pakar ekonomi, Prof Dr Barjoyai Bardai, resolusi dicapai agak mengecewakan kerana fokusnya lebih tertumpu kepada perusahaan kecil dan sederhana (PKS) Bumiputera, berbanding usahawan mikro.

Beliau menjelaskan hampir 95 peratus daripada peniaga di negara ini atau 85 peratus peniaga Bumiputera terbabit dalam perniagaan mikro.

Negara memerlukan strategi lebih drastik untuk membantu usahawan mikro dan kumpulan berpendapatan rendah (B40), kerana yang perlu ialah strategi pengagihan, bukan strategi pembangunan seperti sebelum ini.

“Terlalu banyak perhatian diberikan kepada usahawan PKS Bumiputera, selain mereka juga dalam kalangan elit yang jumlahnya tidak sampai 10 peratus daripada orang Melayu yang terbabit dalam perniagaan,” katanya.

Keluar daripada kemiskinan

Barjoyai berkata, untuk mengeluarkan kumpulan berpendapatan rendah daripada kancah kemiskinan ialah dengan cara memastikan sumber modal, kepakaran dan peluang perniagaan disediakan kepada mereka.

Sejarah membuktikan perkembangan ekonomi dan kemakmuran masyarakat Melayu cukup penting, kerana Bumiputera tidak harus menjadi lambang kemiskinan seperti berlaku pada 1960-an.

Ketidakseimbangan ekonomi di antara kaum dan perbezaan kelas yang besar, mencetuskan kebimbangan terhadap masa depan orang Melayu ketika itu.

Jadi tidak hairan jika golongan Bumiputera sebagai penduduk peribumi menuntut hak istimewa, untuk memastikan mereka tidak terus ketinggalan dalam apa juga bidang dan pengagihan kekayaan.

Biarpun kesedaran mereka terhadap ekonomi sudah dirasakan sejak sekian lama, namun penyertaan mereka dalam bidang ini masih jauh ketinggalan.

Kita juga tidak mahu perkara ini membawa kepada masalah yang boleh menjejaskan kemakmuran dan keharmonian negara, seperti yang berlaku dalam peristiwa 13 Mei 1969.

Biarpun ramai menyifatkan insiden rusuhan kaum itu lebih kepada masalah politik, sebenarnya ia juga ada hubung kait dengan kebimbangan orang Melayu terhadap kedudukan ekonomi mereka yang ditakuti akan terjejas, terutama jika kehilangan kuasa politik.

Seperti ditekankan Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali, penganjuran kongres bukan bertujuan merampas hak kaum lain tetapi untuk memastikan kewujudan golongan Bumiputera dan Melayu lebih berintegriti.

Penciptaan kekayaan baharu dan pertumbuhan ekonomi yang mapan diharapkan mampu memberi kemakmuran, bukan sahaja kepada Bumiputera, tetapi rakyat Malaysia secara keseluruhannya.

Berita Harian X