Khamis, 23 Ogos 2018 | 10:59am
FOTO hiasan

Lembaran baharu lindungi pemandu teksi, e-hailing

MALAYSIA membuka lembaran baharu dalam perlindungan keselamatan sosial apabila Akta Keselamatan Sosial Pekerjaan Sendiri 2017 (Akta 789) dikuatkuasakan pada Jun 2017.

Ia titik permulaan bagi perluasan liputan Skim Keselamatan Sosial PERKESO kepada mereka yang bekerja sendiri dan sektor tidak formal seperti peniaga kecil, penggiat seni, nelayan, petani dan penoreh getah.

Pemandu teksi dan perkhidmatan seumpamanya seperti GrabCar, menjadi sektor pertama dilindungi mengikut Akta 789 kerana mereka lebih terdedah kepada kemalangan atau kecelakaan di luar jangka.

PERKESO juga bersedia memperluaskan perlindungan ini kepada mereka yang bekerja sendiri dalam sektor lain mengikut keputusan kerajaan.

Ramai pemandu teksi didapati tidak mempunyai skim perlindungan yang boleh membantu mereka dan waris, jika cedera atau meninggal dunia akibat kemalangan sewaktu bekerja.

Ini boleh menyebabkan mereka berdepan pelbagai kesukaran seperti menanggung kos perubatan dan kecederaan tanpa bantuan mana-mana pihak. Lebih memilukan ialah waris atau tanggungan, terutama apabila berlaku kemalangan yang meragut nyawa pemandu.

Saya pasti ramai masih ingat kisah menyayat hati berlaku kepada Aiman Nosri, pemandu e-hailing yang dijumpai mati dalam kenderaannya. Waris Aiman tidak mendapat pampasan kerana beliau tiada perlindungan bencana kerja disediakan PERKESO meskipun sudah dua tahun menjadi pemandu e-hailing.

Justeru, penguatkuasaan Akta 789 dilihat tepat pada waktunya dan relevan dalam usaha kerajaan memastikan semua pemandu teksi bekerja sendiri dan mereka yang dalam perkhidmatan seumpamanya, mempunyai perlindungan di bawah Skim Bencana Kerja Pekerjaan Sendiri.

Kesedaran mencarum masih terlalu rendah

Namun begitu, bukanlah satu perkara mudah meyakinkan pemandu untuk mencarum kerana kesedaran dan kesediaan mereka masih terlalu rendah. Berdasarkan perangkaan, terdapat sekitar 90,000 pemandu teksi yang layak mencarum di bawah skim ini tetapi jumlah pemandu yang berdaftar dan mencarum hanya 5,166 sahaja.

Sektor e-hailing juga besar, membabitkan seramai 500,000 pemandu di seluruh negara dengan anggaran 250,000 hingga 275,000 ialah pemandu aktif. Namun, tidak ramai yang mencarum di bawah skim yang disediakan PERKESO.

Antara faedah yang disediakan di bawah Skim Bencana Kerja Pekerjaan Sendiri termasuklah kemudahan rawatan perubatan, faedah hilang upaya sementara (bayaran cuti sakit akibat kemalangan), faedah hilang upaya kekal, elaun layanan sentiasa dan kemudahan pemulihan.

Pampasan kepada keluarga

Jika membabitkan kematian, skim ini menyediakan faedah pengurusan mayat dan faedah orang tanggungan kepada warisnya. Malah, anak penerima faedah juga layak mendapat pinjaman pendidikan jika melanjutkan pengajian.

Daripada 5,166 pemandu bekerja sendiri yang berdaftar dengan PERKESO, sebanyak 41 tuntutan sudah dikemukakan dan bayaran faedah disalurkan kepada pekerja berkenaan, termasuk dua kes membabitkan kematian yang dibayar kepada balu dan anak pemandu.

Dalam satu kes membabitkan seorang pemandu teksi wanita, beliau mengalami kecederaan serius dalam kemalangan sewaktu bekerja dan memerlukan kos lebih RM22,000 bagi tujuan pembedahan serta peralatan perubatan.

Beliau terharu apabila mendapat tahu kos berkenaan dibiayai sepenuhnya PERKESO. Jika beliau tidak berdaftar dan membayar caruman, tidak mungkin beliau mampu meneruskan rawatan perubatan.

Begitu juga dengan seorang lagi pemandu yang pada awalnya enggan berdaftar kerana beranggapan tidak memerlukan skim perlindungan ini. Atas desakan isteri, beliau akhirnya mendaftar dan mencarum dengan PERKESO. Malang tidak berbau. Tidak sampai seminggu selepas mendaftar, beliau terbabit dalam kemalangan yang meragut nyawanya.

Caruman yang dibuat sebelum itu membolehkan anaknya mendapat pembelaan dan menerima bayaran bulanan faedah orang tanggungan sehingga berumur 21 tahun, ataupun tamat pengajian peringkat ijazah pertama.

Pemandu teksi atau e-hailing boleh memilih untuk mendaftar dan membayar caruman secara prabayar sama ada melalui dalam talian atau menggunakan kaedah konvensional dengan membuat pembayaran secara tunai di kaunter PERKESO.

Bagi memudahkan urusan pembayaran caruman, PERKESO menyediakan empat pilihan caruman prabayar selama tempoh setahun bermula dengan RM157.20, diikuti RM232.80 dan seterusnya RM442.80 dan RM592.80.

Pelbagai usaha dilakukan secara berterusan untuk menghebahkan skim ini dalam kalangan pemandu teksi dan e-hailing. Ini dilakukan termasuk menerusi media, perjumpaan dengan persatuan pemandu dan pengusaha teksi yang diadakan setiap hari, tidak terkecuali Sabtu dan Ahad. Malah, surat turut dihantar bagi memaklumkan pemandu teksi mengenai keperluan mendaftar.

Di Lembah Klang, seramai 400 anggota PERKESO turun padang bertemu sendiri dengan pemandu teksi bagi memperjelaskan mengenai skim ini, manfaatnya serta kepentingannya bagi pemandu teksi menyertai skim ini.

Bagi memudahkan pemandu teksi berdaftar dan membayar caruman, kaunter PERKESO dibuka di stesen teksi, perhentian teksi dan juga ketika Mesyuarat Agung Persatuan Pemandu Teksi.

Bagi pemandu e-hailing pula, perjumpaan dan pembukaan kaunter turut diadakan di Hab Grab setiap minggu selain hebahan secara berkala menerusi aplikasi yang digunakan mereka. Hebahan turut dipergiatkan melalui media sosial dari semasa ke semasa.

PERKESO bersedia bekerjasama dengan mana-mana pihak pengurusan e-hailing dalam memastikan semua pemandu berdaftar.

Malah, Kementerian Pengangkutan juga pada dasarnya bersetuju bekerjasama dengan PERKESO kerana yakin dengan faedah skim perlindungan sosial jika pemandu bekerja sendiri ditimpa bencana kerja.

Saya pasti pemandu teksi dan e-hailing akur dengan manfaat Skim Bencana Kerja Pekerjaan Sendiri tetapi masih ramai yang tidak mencarum. Mereka mampu membayar insurans kereta tetapi keberatan untuk mencarum walaupun skim ini menyediakan perlindungan termasuk untuk keluarga.

Mendaftar dan mencarum wajib di bawah Akta 789 tetapi buat masa ini, PERKESO masih berusaha mendapatkan kerjasama pemandu untuk mencarum secara sukarela.

Pokok pangkalnya, kebajikan mereka dan keluarga akan terbela sepanjang berada di bawah perlindungan Skim Keselamatan Sosial di bawah Akta 789 ini.

Penulis ialah Ketua Eksekutif Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO)

Berita Harian X