Rabu, 15 Ogos 2018 | 11:00am

IPT jangan 'gila ranking', utamakan tugas hakiki

LAPORAN QS World University Rankings 2018-2019 yang dikeluarkan Jun lalu menunjukkan 13 institusi pengajian tinggi (IPT) termasuk universiti awam di negara ini tersenarai antara 1,000 universiti terbaik dunia.

Penilaian tahunan bagi mengiktiraf universiti terbaik seluruh dunia itu disifatkan lebih baik berbanding tahun sebelumnya yang dijadikan kayu ukur peningkatan prestasi IPT keseluruhan di negara ini.

Paling membanggakan apabila Universiti Malaya (UM) berada dalam kelompok 100 universiti terbaik dunia apabila meraih kedudukan ke-87, berbanding 114 tahun lalu, sekali gus menjadi universiti pertama negara mencatat kejayaan berkenaan.

Melihatkan senario itu, Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik menyifatkan ada semacam satu kegilaan dalam kalangan institusi pengajian tinggi di negara ini apabila kebanyakannya dilihat semakin cenderung untuk mengejar ranking dunia.

Bukan tidak bersetuju dengan sindrom ‘gila ranking’ berkenaan, sebaliknya apa yang cuba ditekankan beliau ialah kecenderungan pensyarah dan profesor dalam menumpukan usaha, masa dan tenaga mengejar ranking berbanding mengutamakan tugas hakiki.

Mereka dilihat lebih mengutamakan usaha menghasilkan karya ulung supaya universiti yang mereka berkhidmat mampu mencapai peringkat antarabangsa, seterusnya menjadi rujukan utama dalam bidang atau kepakaran masing-masing.

Jika diimbas, agenda meletakkan universiti dalam ranking dunia bermula dengan Pelan Strategik Pengajian Tinggi Negara (PSPTN) pada 2007 yang menyasarkan tiga universiti mendapat pengiktirafan 100 terbaik atau antara 50 terkemuka di dunia.

Sejak itu, kebanyakan institusi pendidikan tinggi di negara ini mula meletakkan ranking sebagai keutamaan, malah turut terkandung dalam pelan strategik dan transformasi masing-masing sebagai menyahut cabaran semasa.

Persaingan tidak sihat

Pun begitu, ada yang melihatnya sebagai persaingan yang tidak sihat, sekali gus mengetepikan matlamat utama penubuhan universiti sebagai gedung ilmu dan menjana keperluan modal insan.

Perlu diingat salah satu peranan universiti ialah untuk berkhidmat dan memberi sumbangan kepada masyarakat dan negara dalam segenap lapangan.

Mengakui hakikat ini, Naib Canselor Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Prof Datuk Dr Mohammad Shatar Sabran, berkata dalam mengejar kedudukan atau ranking, universiti seharusnya tidak lupa tugas hakiki membina manusia dan melahirkan insan bagi membentuk masyarakat masa depan.

“Pensyarah perlu tahu mengimbangi di antara keperluan mengejar ranking dengan keutamaan mendidik serta mentarbiah pelajar, terutama apabila pelajar memerlukan bimbingan dan tunjuk ajar ketika di luar waktu pembelajaran.

“Fokus mereka lebih kepada menghasilkan jurnal berimpak tinggi demi memenuhi keperluan ranking, sedangkan penyelidikan dan hasil kerja pensyarah sepatutnya untuk manfaat seluruh masyarakat, bukan hanya tujuan tertentu seperti menaikkan ranking universiti semata-mata,” katanya.

Ada juga universiti menetapkan Petunjuk Prestasi Utama (KPI) kenaikan pangkat kakitangannya, terutama pensyarah dengan mengukur jumlah penyelidikan dan penerbitan mereka, bukannya tugas utama mendidik dan mengajar.

Kriteria ditetapkan amat tidak sesuai

Bekas Naib Canselor UM, Datuk Dr Hashim Yaacob pernah menyifatkan perlumbaan untuk mendapatkan nombor dalam ranking universiti tidak boleh dipakai, terutama apabila kriteria ditetapkan amat tidak sesuai dan jika badan pengiktiraf hanya berpaksikan perniagaan dan kredibiliti mereka boleh dipertikaikan.

QS Ranking sendiri pernah melakukan kesilapan apabila meletakkan UM pada kedudukan ke-89 dalam penilaian pada tahun 2004, gara-gara silap tafsiran bahawa semua kakitangan akademik dan pelajar berbangsa Cina dan India adalah warga asing.

Antara kriteria QS Ranking ialah memberi keutamaan kepada bilangan kakitangan akademik dan pelajar asing yang menuntut di universiti. Lebih ramai kakitangan akademik dan pelajar asing, lebih tinggilah markah diperoleh sekali gus menaikkan ranking.

Pada 2005, kedudukan UM turun ke tangga 169 kerana badan itu maklum bahawa keturunan Cina dan India yang bekerja di UM bukanlah warga asing.

Universiti seharusnya perlu lebih mengutamakan pendekatan bertujuan mensejahterakan rakyat. Apabila semua itu dipenuhi, IPT itu secara tidak langsung mampu menjadi universiti bertaraf dunia.

Kita juga tidak mahu disebabkan mengejar ranking, peluang anak tempatan untuk memasuki universiti berprestij di negara sendiri terhad apabila perlu bersaing dengan pelajar luar negara bagi memenuhi keperluan universiti mengejar ranking dunia.

Bekas Rektor Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Prof Datuk Syed Arabi Aidit berpendapat walaupun beberapa universiti tempatan mempunyai kekuatan dalam perkara tertentu untuk duduk sebaris dengan universiti terkemuka, mereka sebenarnya tidak perlu taasub dalam mengejar ranking atau kedudukan.

Katanya, universiti tempatan memiliki keupayaan ke arah itu tetapi untuk setanding dengan Universiti Harvard atau Universiti Tokyo, kita masih jauh ke belakang dan sukar untuk mengejar mereka.

Belum mampu sedia geran skala besar

Jika mengambil kira soal dana, kebanyakan universiti di negara ini masih belum mampu menyediakan geran berskala besar yang diperlukan dalam usaha menghasilkan penyelidikan atau pembangunan berimpak tinggi.

Kalau melihat tabung yang dimiliki universiti ternama seperti Universiti Harvard yang menjangkau sehingga RM30 bilion hasil sumbangan alumni mereka, universiti di Malaysia belum berupaya mendapatkan jumlah sebesar itu.

Justeru, tidak perlulah universiti kita terlalu taasub memenuhi keperluan agensi ranking kerana paling penting ialah sumbangan mereka mendidik anak bangsa dan masyarakat di negara ini.

Berita Harian X