Rabu, 8 Ogos 2018 | 11:00am

Jangan sampai memuja yang menzalimi

KENYATAAN beberapa tokoh politik untuk memasukkan sejarah perjuangan komunis dalam buku teks mengundang kontroversi yang tidak enak dibahaskan. Apatah lagi masih ramai yang pernah merasai perit kehidupan di bawah naungan mereka.

Tidak sedikit air mata yang mengalir, penderitaan, kesedihan, ketakutan dan trauma yang mendalam dialami rakyat akibat dari kekejaman komunis ketika Zaman Darurat (1948-1960).

Pasti juga perajurit tanah air yang berjuang menentang komunis tidak dapat melupakan kezaliman dan kekejaman pihak komunis ini. Selagi hayat di kandung badan, segala pengalaman itu tetap menjadi kenangan pahit buat mereka.

Menurut catatan sejarah seramai 1,883 anggota keselamatan terkorban, manakala 2,560 pula yang cedera. Ramai perajurit yang mengalami kecacatan anggota badan kerana bertempur dengan komunis dan masih hidup sehingga kini.

Dalam kalangan orang awam pula, seramai 2,473 terbunuh, 1,385 cedera dan 810 ditawan komunis. Kematian gerila komunis seramai 6,710 dan yang ditawan 3,989.

Di Tanah Melayu, Parti Komunis Malaya (PKM) sangat aktif pada 1947 selepas Chin Peng dilantik menjadi Setiausaha Agung. Chin Peng tertarik dengan pendekatan revolusi komunis di China pimpinan Mao Zedong.

Pada 1948, PKM mengangkat senjata menentang penubuhan Persekutuan Tanah Melayu menyebabkan British mengisytiharkan darurat di Tanah Melayu.

Menentang British

Menurut kajian sejarah juga, seorang wakil ternama PKM, iaitu Rashid Maidin pernah menghadiri persidangan Majlis Agama Tertinggi Malaya (MATA) di Maahad II Ihya As-Syarif, Gunung Semanggol pada Mac 1947.

Di sana, beliau cuba membangkitkan semangat orang Melayu supaya menentang British melalui kekerasan, tetapi usahanya gagal kerana majoriti golongan ulama menolak perjuangan mereka.

Sekitar 1960-an, masih wujud usaha mempengaruhi orang Melayu melalui penubuhan beberapa sekolah tajaan komunis untuk orang Melayu, tetapi gagal mendapat sambutan.

Sekitar 1970-an, ada dua siri pembunuhan dilakukan oleh ejen komunis ke atas pegawai tertinggi Polis Diraja Malaysia, iaitu Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Rahman Hashim (1974) dan Ketua Polis Perak, Tan Sri Khoo Chong Kong (1975).

Apabila perjuangan mereka sudah tidak mendapat sokongan padu daripada mana-mana pihak, komunis meletakkan senjata secara rasmi, selepas diadakan Majlis Perjanjian Damai di antara Kerajaan Malaysia dan PKM di Haadyai, Thailand pada 1 Disember 1989.

Adakah benar ideologi komunis sudah berkubur di negara ini sebaik saja perjanjian di Haadyai? Ketika sidang media selepas majlis perjanjian itu, Chin Peng yang ditanya wartawan berkata, PKM hanya meletakkan senjata, bukannya membubarkan PKM.

Chin Peng mengaku bahawa fahaman komunis ialah ideologi anutannya. Beliau tidak mengisytiharkan bahawa dia telah membuang secara total ideologinya itu. Malah, dalam buku Chin Peng: My Side Story mempamerkan kebanggaannya terhadap ideologi itu.

Bintang Tiga

Siapa yang tidak pernah mendengar mengenai Malayan Peoples Anti Japanese Army (MPAJA), pertubuhan komunis Malaya, terkenal dengan gelaran Bintang Tiga, menguasai Tanah Melayu selama 14 hari, selepas Jepun menyerah kalah pada 16 Ogos 1946.

Dalam tempoh sesingkat itu, pelbagai bentuk penyeksaan, kezaliman dan keganasan bermaharajalela di negara kita, dek kerana angkara dan kejahatan komunis.

Ketika Jepun menjajah Tanah Melayu, kebanyakan orang Cina menyertainya kerana benci akan Jepun ekoran permusuhan China-Jepun ketika itu. Jepun menjadikan mereka sebagai sasaran kekejaman. Memang ada orang Melayu yang menyertainya, tetapi sedikit.

Sejarah keganasan dan pembunuhan yang dilakukan oleh pengganas komunis terhadap majoriti orang Melayu bukan cerita dongeng. Seluruh orang Melayu sangat berbekas dan berdendam dengan komunis.

Kebencian orang Melayu terhadap pengganas komunis berpunca daripada pembunuhan dan kekejaman terhadap orang Melayu yang dilakukan oleh pengganas komunis, sebelum dan selepas kemerdekaan Tanah Melayu.

Ironinya, tokoh Melayu yang menyertainya disebabkan tertipu dengan permainan dan tipu daya licik PKM. Selepas tamat perang dan Jepun menyerah kalah, perjuangan komunis bertukar haluan untuk mewujudkan negara Komunis Tanah Melayu. Mereka berselindung di sebalik slogan pembebasan nasional.

Tahukah kita dengan sejarah Rundingan Damai Baling pada 28 dan 29 Disember 1955? Ironinya, pengganas komunis masih berdegil untuk meneruskan penentangan berdarah, walaupun Tanah Melayu ditadbir oleh Kerajaan Perikatan, selepas memenangi pilihan raya di Tanah Melayu pada Julai 1955.

Buta sejarah

Jadi, siapa Chin Peng pada mata aktivis yang kini diperjuangkan oleh segelintir individu buta sejarah yang mahu mengiktirafnya sebagai pejuang kemerdekaan? Mereka memetik beberapa perenggan ayat daripada beberapa buku catatan memoir beberapa pengganas komunis untuk memesongkan fakta sejarah yang sudah termaktub.

Mereka memetik kata-kata individu yang berjuang dalam PKM itu sendiri sebagai kononnya bukti tulen. Secara logiknya, sudah tentu segala yang diperkatakan oleh pendukung setia ideologi komunis seperti Chin Peng dan lain-lain, lebih cenderung memberikan sesuatu untuk menonjolkan kononnya, ada kebaikan dalam perjuangan mereka.

Cerita keganasan dan pembunuhan yang dilakukan oleh komunis mungkin akan pasti lenyap di telan zaman, sekiranya pihak berkenaan tidak menjalankan usaha untuk merekodkan nilai sejarah daripada setiap individu yang terbabit secara langsung atau secara tidak langsung dengan kekejaman pengganas komunis ini.

Usaha yang sangat penting ini bertujuan menangkis dakyah jahat segelintir individu yang buta sejarah, atau sengaja buat-buat buta sejarah.

Lebih malang lagi mereka yang tidak memahami sejarah ini menunjukkan simpati dengan ideologi pengganas komunis ini, tanpa melakukan penyelidikan yang mendalam dan lebih kepada ingin menjadi populis.

Bagi penulis, jangan kerana ingin meraih pengaruh kita sanggup memutar belit sejarah untuk kepentingan sendiri. Apa akan jadi pada negara ini jika maklumat palsu dengan sengaja memomokkan agar generasi mendatang boleh termakan.

Tidakkah kita terfikir akan kebohongan ini tidak mungkin dapat bertahan lama. Kebenaran pasti yang terserah akhirnya. Jangan sampai yang menzalimi kita puja, yang dizalimi kita hina.

Berita Harian X