Jumaat, 3 Ogos 2018 | 1:14pm
KONSEP pendidikan sepanjang hayat galak golongan berkerjaya menyambung pengajian tanpa mengira usia. - Foto hiasan

Pendidikan sepanjang hayat iktiraf kemahiran

PEMBELAJARAN melalui pengalaman adalah suatu proses pembelajaran yang diperoleh melalui interaksi sesama rakan sekerja sehari-hari.

Ia juga boleh diperoleh melalui persekitaran serta latihan yang diikuti secara terancang atau sebaliknya.

Pengalaman memberikan satu ilmu bermakna yang dapat mematangkan fikiran dan menajamkan kemahiran dalam melaksanakan tugasan di tempat kerja atau kehidupan seharian.

Kebiasaannya, proses pembelajaran melalui pengalaman yang dilalui adalah bersifat praktikal atau langsung.

Ia memberikan nilai tambah secara tidak langsung kepada kecekapan dan kebolehan seseorang dalam menjalankan amanah atau tanggungjawab yang diberikan.

Secara tidak sedar, hakikatnya setiap manusia yang bekerja melalui proses pembelajaran setiap hari melalui pelbagai corak dan warna pengalaman dihadapi yang boleh memberikan kesan langsung kepada prestasi sesebuah jabatan, organisasi atau syarikat.

Perluas lagi konsep pendidikan

Memandangkan warga kerja dalam sektor industri memperoleh ilmu atau kemahiran melalui pengalaman yang dilalui, sistem pembelajaran mutakhir ini membuka peluang kepada golongan berkerjaya.

Peluang berkenaan adalah dengan memberikan pengiktirafan kepada ilmu atau kemahiran dimiliki seseorang.

Pengiktirafan sebegini telah mula giat dilaksanakan dalam usaha mengembang dan menyebarluaskan konsep pendidikan melalui pembelajaran sepanjang hayat (PSH).

Tidak dinafikan, warga kerja menyumbang kepada pembangunan negara dalam banyak bidang dan pemerkasaan PSH untuk golongan berkerjaya menyambung pengajian adalah amat wajar dan boleh direalisasikan.

Kekangan masa dan hal-hal lain yang mengganggu hasrat seseorang warga kerja industri menyambung pengajian ke peringkat yang lebih tinggi dapat diserap melalui inisiatif atau strategi yang diwujudkan khususnya melalui pengiktirafan pengalaman masing-masing.

Ia dapat dilakukan dengan proses penilaian yang komprehensif melalui kompilasi atau pendokumentasian pencapaian individu terbabit untuk diwasit.

Kompilasi pencapaian semasa kerja memberikan gambaran awal betapa seseorang warga kerja telah menimba ilmu secara langsung atau tidak langsung melalui pengalaman mereka.

Peluang warga kerja

Penilaian pengalaman ini memberi ruang dan peluang kepada golongan warga kerja untuk menyambung pengajian ke peringkat tertentu yang diminati.

Dengan kata lain, ia bertindak sebagai asas kepada syarat kemasukan ke dalam sesuatu program.

Rentetan pembelajaran berasaskan pengalaman terbabit, bukan sahaja meluweskan syarat kemasukan begitu sahaja, malah aspek kualiti penilaian turut dipelihara dengan ujian lisan atau bertulis bagi mengesahkan dokumentasi yang dinilai.

Justeru, penilaian ilmu melalui pengalaman juga diterjemahkan dalam bentuk pengecualian daripada mengikuti sesuatu subjek setelah melalui proses penilaian yang ditetapkan dalam sesuatu peringkat pengajian.

Ini seolah-olah seseorang mendapat kredit yang setara berdasarkan pengalaman dengan ilmu dalam sesuatu subjek yang ditawarkan.

Ia sudah tentu satu tawaran yang menarik kepada golongan bekerja dengan mendapat pengiktirafan menerusi pengalaman mereka, sama ada digunakan sebagai syarat kemasukan atau diberikan kredit kepada pengalaman mereka. Bukankah ianya menarik?

Kesimpulannya, peluang untuk menimba ilmu tidak terhad kepada generasi muda di aliran perdana sahaja yang biasanya berlaku di kebanyakan institusi pengajian tinggi.

Malah, golongan berkerjaya turut berpeluang meneruskan pengajian melalui konsep PSH yang dilaksanakan dengan mengambil kira pengalaman sebagai satu pemberat kepada bidang ilmu yang diikuti.

Penulis dari Fakulti Pengurusan Industri merangkap Pengurus Besar UMP Advanced

Berita Harian X