Isnin, 16 Julai 2018 | 8:19am

Menunggu sidang Parlimen era Malaysia Baharu

HARI ini tercatat dua sejarah penting dalam landskap politik negara, khususnya dalam persidangan Dewan Rakyat.

Yang pertama, buat julung kali bukan Barisan Nasional (BN) menguasai Dewan Rakyat atau biasanya disebut Parlimen oleh kebanyakan kita.

Kedua, Tun Dr Mahathir Mohamad muncul ahli politik pertama negara yang kembali ke Parlimen sebagai Perdana Menteri untuk kali kedua.

Beliau menjadi Perdana Menteri keempat pada 1981 dan melepaskannya 22 tahun kemudian.

Dr Mahathir kemudian menyerahkan jawatan Presiden UMNO kepada Tun Abdullah Ahmad Badawi, sekali gus menamakan Pak Lah pengganti untuk jawatan Perdana Menteri pada 2003.

Kini, Dr Mahathir kembali ke Parlimen sebagai Perdana Menteri ketujuh, tetapi bukan mewakili UMNO atau BN (Barisan Nasional), sebaliknya membawa bendera Pakatan Harapan (PH), gabungan yang menumbangkan UMNO dan BN yang beliau sendiri ketuai dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) pada Mei lalu.

Lebih menarik beliau kembali pada usia 93 tahun selepas menyambut ulang tahun kelahiran minggu lepas, sekali gus muncul sebagai ketua kerajaan paling tua di dunia.

Ini kekalahan bersejarah BN yang belum pernah kalah sebelum ini, sejak kemerdekaan Malaysia pada 1957, iaitu 61 tahun yang lalu.

Namun, ia bukan keutamaan. Yang lebih dinantikan oleh rakyat ialah persidangan yang akan bermula selepas perasmian oleh Yang di-Pertuan Agong Sultan Muhammad V, esok.

Demokrasi sebenar

Semua Ahli Dewan Rakyat akan mengangkat sumpah jawatan pada Mesyuarat Pertama Penggal Pertama Parlimen Ke-14 hari ini.

Majlis angkat sumpah diadakan selepas pelantikan Yang Dipertua atau speaker dan Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat.

PH menguasai Parlimen dan mempunyai majoriti. PH menang majoriti mudah 114 kerusi pada PRU-14 dengan PKR 48 kerusi, DAP 42 kerusi, PPBM 13 kerusi dan AMANAH 11 kerusi.

Sokongan Parti Warisan dari Sabah menyumbangkan tambahan lapan kerusi menjadikannya kepada 122 kerusi.

Ditambah dengan penarikan diri parti di Sarawak daripada BN yang menubuhkan Gabungan Parti Sarawak (GPS) yang mempunyai 19 kerusi dan menyokong PH atau government friendly, kedudukan PH dilihat kukuh.

Selain itu, tiga Ahli Parlimen BN dari Bagan Serai, Masjid Tanah dan Bukit Gantang telah isytihar menjadi wakil Bebas.

Dikhabarkan ada lagi wakil rakyat yang akan buat perisytiharan serupa dan tidak menolak kemungkinan menyokong PH.

Justeru, PH boleh mendapat lebih banyak sokongan di Dewan Rakyat, malah mampu mencecah sokongan dua pertiga 148 Ahli Parlimen.

Kita menunggu persidangan Dewan Rakyat era Malaysia Baharu yang mendukung demokrasi sebenar, bukan yang dipimpin atau dikuasai parti.

Fungsi Parlimen sama seperti sepanjang 61 tahun lalu ketika di bawah BN. Namun, kita tak mahu melihat cara ia dikendalikan sama seperti sebelum ini.

Speaker era Malaysia Baharu perlu lebih terbuka dan tidak terikat dengan 'majikan' yang memilihnya.

Forum keluhan rakyat

Fungsi dan tanggungjawab Parlimen amat besar. Selain sebagai simbol demokrasi, ia ialah forum tertinggi dan penting untuk mendengar keluhan suara rakyat.

Perkara 44 Perlembagaan Persekutuan sangat jelas. Kuasa dan hak Dewan Rakyat bukan sahaja menggubal undang-undang, sebaliknya juga meminda dan memansuhkan undang-undang sedia ada.

Yang dinantikan juga ialah Speaker Dewan Rakyat. Pemilihan bekas Hakim Mahkamah Rayuan, Datuk Mohamad Ariff Md Yusof yang tidak mewakili parti memang ditunggu-tunggu.

Kita tidak mahu 'kesucian dan keadilan' Dewan Rakyat dicemari. Pengalaman beliau sebagai hakim mungkin tidak diragui, tetapi keadilan perlu menjadi teras dalam menjalankan tugas.

Jangan pengalaman 61 tahun terus menghantui Dewan Rakyat yang sejak sekian lama dipertikai dan diragui kebebasannya.

Kepada 222 Ahli Parlimen, termasuk 90 yang pertama kali masuk dewan sama ada dari pihak kerajaan dan yang mewakili pembangkang, perlu gunakan sepenuhnya kebebasan dan keistimewaan mengikut undang-undang serta peraturan dewan.

Ahli Parlimen perlu menunaikan tanggungjawab kepada rakyat, bukan sahaja kepada parti yang diwakili. Perlu diingat, rakyat dan negara yang sepatutnya menjadi keutamaan, bukan parti semata-mata

Kali ini Ahli Parlimen BN - 51 daripada UMNO, dua MIC dan seorang MCA - kali pertama sebagai pembangkang. PAS pula 18 kerusi dan beberapa wakil dari Sabah juga bertindak sebagai pembangkang.

Kita menunggu persembahan mereka. Apa yang diharapkan mereka akan memainkan peranan sebagai pembangkang membina, bukan sekadar pengkritik atau tin kosong yang kuat berbunyi, tetapi tak ada isi.

Dewan Rakyat kali ini diharap bersidang secara matang dengan memenuhi hasrat rakyat, selain mendukung aspirasi demokrasi sebenar.

Jangan pisang berbuah dua kali. Jangan pula tiada perubahan sesuai dengan Malaysia Baharu. Rakyat menanti, seluruh dunia juga menanti.

Berita Harian X