Selasa, 10 Julai 2018 | 7:44am

Ranking, penarafan antara penarik kualiti universiti

JUN lalu, QS World University Rankings 2019 diumumkan. Ia satu penilaian tahunan yang memberi pengiktirafan kepada universiti terbaik di seluruh dunia. Berbanding tahun sebelum ini, ranking 2019 dilihat terbaik buat institusi pendidikan tinggi di Malaysia.

Berdasarkan laporan ranking 2019, sebanyak 13 universiti Malaysia berjaya disenaraikan antara 1,000 universiti terbaik dunia. Bilangan ini tertinggi berbanding tahun sebelumnya, iaitu hanya lapan universiti tersenarai dalam ranking 2016 dan sembilan universiti dalam ranking 2017 dan 2018.

Universiti Malaya (UM) muncul universiti terbaik di negara kita apabila berjaya menembusi kelompok 100 universiti terbaik di dunia dengan berada pada kedudukan 87, meningkat dari kedudukan ke-114 tahun lalu.

Dengan kedudukan ini, UM berjaya mengatasi banyak universiti ternama lain seperti Purdue University, Uppsala University, dan University of Aberdeen. Ia turut mencatat sejarah sebagai universiti pertama di Malaysia berada di kelompok 100 terbaik dunia.

Empat universiti penyelidikan lain terus mengukuhkan kedudukan sebagai lima universiti terbaik di Malaysia.

Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) pada kedudukan ke-184 berbanding kedudukan 230 pada tahun lalu, diikuti Universiti Putra Malaysia (UPM) di kedudukan ke-202 berbanding kedudukan 229 pada tahun lalu.

Universiti Sains Malaysia (USM) pula pada kedudukan ke-207 berbanding 264 pada tahun lalu dan Universiti Teknologi Malaysia (UTM) pada kedudukan ke-228 berbanding 253 pada tahun lalu.

Selain lima universiti penyelidikan itu dan universiti kali pertama berada dalam ranking, universiti lain dalam ranking itu turut menunjukkan peningkatan. Malah, tiada satu pun universiti yang menunjukkan penurunan.

Universiti swasta

Empat universiti swasta Malaysia berada dalam ranking buat kali pertama iaitu Universiti UCSI, Universiti Taylor's, Universiti Tenaga Nasional (UNITEN) dan Universiti Multimedia (MMU).

Dalam kalangan universiti swasta, termasuk Universiti Teknologi PETRONAS (UTP) yang berada dalam ranking sejak 2017, UCSI berada di kedudukan 481 terbaik di dunia dan seterusnya menjadi universiti swasta Malaysia terbaik ketika ini.

Antara faktor utama UCSI yang baharu kali pertama berada dalam ranking dan terus melonjak ke kedudukan 481 terbaik dunia dan keenam terbaik di Malaysia ialah bilangan pelajar antarabangsa. Berdasarkan data, jumlah pelajar di UCSI ialah 6,495 dan dari jumlah itu, 1,647 pelajar antarabangsa berasal 80 negara.

Penulis bandingkan dengan universiti terbaik di Malaysia, iaitu Universiti Malaya (UM) untuk kriteria itu. Terbukti itulah satu-satunya kategori yang berjaya UCSI mengatasi UM.

Skor UCSI untuk kategori berkenaan ialah 75.4, iaitu tertinggi dalam kalangan universiti di Malaysia, manakala skor UM ialah 61.2. Begitu juga dengan Taylor's yang baru kali pertama berada dalam senarai, yang mencatatkan skor kriteria itu sebanyak 63.4.

Senarai ranking 1,000 universiti terbaik dunia ini turut menyaksikan daripada 10 universiti terbaik di Asia Tenggara, lima daripadanya universiti dari Malaysia. Buat kali pertama juga universiti dari Brunei, iaitu Universiti Brunei Darussalam (UBD) berada dalam kalangan 10 universiti terbaik di Asia Tenggara.

Malaysia juga dalam kalangan negara Asia Tenggara mencatatkan bilangan universiti tertinggi yang berada dalam kelompok 1,000 universiti terbaik dunia dengan 13 universiti, diikuti Indonesia dengan sembilan, Thailand dengan lapan, Filipina dengan empat, Singapura dengan tiga, masing-masing dua universiti dari Vietnam dan Brunei.

Selain laporan mengenai ranking, laporan ini turut menunjukkan QS Star Rating. QS Stars ialah sistem penarafan yang membolehkan pelajar mendapatkan gambaran lebih luas mengenai kualiti sesebuah institusi dan ia merangkumi kebolehpasaran graduan, kemudahan sukan dan pembabitan masyarakat.

Ia diwujudkan untuk menggambarkan misi nuansa universiti dan keperluan pelajar yang mungkin berminat dalam hal selain kedudukan ranking sesebuah universiti. Asas penilaian QS Stars mengambil kira kriteria yang juga tonggak penting menjadikan universiti bertaraf dunia.

Ia mengambil kira beberapa faktor sering diabaikan dalam menentukan kedudukan universiti dan penilaian lain seperti penyelidikan, pengajaran, kebolehpasaran, pengantarabangsaan, kemudahan, pembelajaran atas talian/jarak jauh, tanggungjawab sosial, inovasi, seni dan budaya, keterangkuman dan kriteria pakar.

Biarpun kedudukan kita semakin hari semakin baik, saya tertarik dengan petikan kata-kata Menteri Pelajaran, Dr Maszlee Malik: "Kita mahu universiti di Malaysia bukan hanya dikenali kerana ranking, tetapi melalui 'citation' dan karya ilmiah yang dihasilkan sarjana dalam pelbagai bidang".

Berita Harian X