Sabtu, 7 Julai 2018 | 8:27am
Gambar hiasan, penerima Anugerah beramah mesra antara satu lain pada Majlis Hari Guru Peringkat Perak dan Ramah Mesra Aidilfitri bersama Warga Pendidik di Sekolah Menengah Sains, Tapah. - Foto L. Manimaran
Gambar hiasan, penerima Anugerah beramah mesra antara satu lain pada Majlis Hari Guru Peringkat Perak dan Ramah Mesra Aidilfitri bersama Warga Pendidik di Sekolah Menengah Sains, Tapah. - Foto L. Manimaran

Jangan abai pandangan warga pendidik

Rakyat Malaysia memerhati, menilai dan sentiasa prihatin terhadap setiap perancangan dan dasar yang diambil oleh saf kepemimpinan kerajaan baharu dibentuk gabungan parti dalam Pakatan Harapan (PH) selepas Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) lalu.

Sebagai seorang yang berkhidmat dalam bidang pendidikan, pasti setiap bait kata yang diungkapkan Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malek akan menjadi perhatian warga pendidik di sekolah, mahupun universiti, pentadbir dan ibu bapa.

Melihat kepada progresif pendekatan menteri berkenaan dalam memartabatkan pendidikan negara dalam era Malaysia Baharu ini, saya ingin berkongsi pandangan dan kupasan idea terhadap kenyataan rasmi dikeluarkan Pertubuhan Ikram Malaysia (IKRAM) baru-baru ini.

IKRAM yang memberi pandangan dan cadangan terhadap pendidikan di Malaysia, mungkin sinonim dilihat sebagai pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang menjalankan aktiviti dakwah dan khidmat masyarakat di seluruh negara.

Namun, ia juga sebenarnya pertubuhan yang turut menyumbang dalam kerangka pendidikan negara.

Apa yang membuatkan penulis kagum dan bangga, mereka mempunyai 34 sekolah rendah dan 15 sekolah menengah swasta Islam seluruh Malaysia dengan modul pendidikan sendiri berteraskan Islam yang disepadukan dengan kurikulum kebangsaan.

Justeru, pandangan dan cadangan mereka mengenai hala tuju pendidikan mempunyai asas yang kukuh dan wajar diberi perhatian dan penilaian oleh Kementerian Pendidikan.

Pembangunan insan

Sebagai individu yang lama terbabit dalam pendidikan, asas utama untuk memastikan pendidikan negara sentiasa dimartabatkan oleh semua pihak ialah kita semua perlu memegang erat hasrat dan maksud Falsafah Pendidikan Kebangsaan (FPK).

Secara tuntas, roh FPK memberi penekanan kepada proses pembangunan insan (murid dan mahasiswa), bukan sekadar proses pengajaran dan pembelajaran semata-mata.

Penulis melihat roh FPK ini dihadam dengan baik oleh IKRAM apabila mereka melontarkan cadangan dan pandangan mengenai pendidikan Malaysia.

Satu daripada kenyataan yang dikeluarkan mereka ialah menyokong usaha melaksanakan Pentaksiran Berasaskan Sekolah (PBS).

PBS bukan sahaja menilai apa yang dihasratkan oleh FPK dengan mempelbagaikan kaedah pentaksiran, tetapi pada masa sama, memberi penekanan terhadap konsep pentaksiran yang lebih menyeluruh dan bersepadu untuk melahirkan pelajar yang seimbang.

Sistem pendidikan tidak sepatutnya disandarkan kejayaannya pada nilaian peperiksaan, ranking atau paling asas individu itu boleh membaca dan mengira, tetapi lebih penting, sistem itu menjadikan anak kita mempunyai jiwa dan insani.

Ada beberapa pandangan dan cadangan IKRAM yang menarik perhatian dan inklusif, satu ialah mengesyorkan kementerian hendaklah memberi perhatian dan bantuan kepada semua sekolah bukan kerajaan yang melaksanakan kurikulum kebangsaan dan memenuhi kerangka FPK.

Pembentukan watak

Bagi penulis, bantuan ini dapat memberi keyakinan kepada masyarakat bahawa kerajaan tidak meminggirkan sekolah swasta selagi ia tidak lari daripada sistem pendidikan negara.

Merujuk kepada temu bual Maszlee dalam wawancara dengan stesen televisyen baru-baru ini, beliau amat cakna dengan pandangan pelbagai pihak bahawa sistem pendidikan kita yang sedia ada perlukan penambahbaikan.

Ia memang diakui apabila kita berada terlalu lama dalam sistem sebelum ini yang terlalu berteraskan peperiksaan, agak rigid dari segi regimentasinya.

Penulis berkongsi pandangan sama dengan beliau kerana dunia kini lebih global, sistem negara maju lebih ke depan kerana lebih mementingkan konsep pembentukan watak, menghasilkan individu lebih berinovasi dan kreatif.

Justeru, penulis akan menyokong apa sahaja cadangan dan dasar yang menyuntik kepada satu anjakan paradigma kepada sistem pendidikan kita untuk sentiasa relevan sepanjang zaman.

Dalam memartabatkan lagi pendidikan negara, enjin penggerak utama, yakni guru perlu diberi perhatian terhadap keluh-kesah dan keperluan mereka. Kerap kita diadukan dengan bebanan tugas pentadbiran yang perlu ditanggung guru di sekolah.

Cadangan IKRAM bernas apabila mengesyorkan supaya yang dilantik membantu guru bukannya teaching assistant, tetapi pembantu tadbir kerana guru terbeban dengan kerja pentadbiran, bukan pengajaran.

Sekiranya kewangan menjadi halangan, penulis mencadangkan agar sekolah menggunakan khidmat sukarelawan ibu bapa melalui Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) dan pesara guru yang berpengalaman untuk meringankan bebanan tugasan pentadbiran ini.

Perkara ini perlu diambil perhatian oleh kementerian kerana ada banyak keluhan daripada guru yang dibebani waktu pengajaran padat dan terpaksa menguruskan kerja pentadbiran yang agak banyak.

Jika dibiar berpanjangan, pasti menyebabkan keseronokan dan keselesaan untuk bekerja tidak wujud dalam kalangan pendidik kita masa kini.

Rancakkan buah fikiran

Penulis juga melihat ada keperluan cadangan permulaan persekolahan dan cuti diselaras dan disusun kembali untuk selari dengan sesi pengajian di institusi pendidikan tinggi, khususnya universiti.

Sebelum ini, universiti dan sekolah berada di bawah payung kementerian yang berbeza, tetapi kini sudah bersama-sama, maka sebarang penjajaran sistem universiti dan sekolah lebih mudah dilaksanakan.

Apabila sesi persekolahan dan cuti ini kita selaraskan, pasti pelajar sekolah tidak perlu menunggu waktu lama selepas menamatkan pengajian peringkat sekolah untuk seterusnya melanjutkan pendidikan ke peringkat lebih tinggi.

Sebagai penutup, dalam usaha merancakkan lagi perkembangan pendidikan negara, buah fikiran dan kerjasama NGO amat dialu-alukan kerana usaha dan kerja keras dilakukan selama ini amat signifikan dan selaras dengan roh FPK.

Gabungan di antara kerajaan dengan NGO memberikan kelebihan kepada kedua-dua pihak kerana tindakan serta pelaksanaan mencakupi ruang yang sama demi memartabatkan pendidikan negara.

Penulis adalah Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar & Alumni) Universiti Sains Islam Malaysia

Berita Harian X