Jumaat, 25 Mei 2018 | 6:55am

Malaysia perlu lebih bijak kendali isu 1MDB

MENTERI Kewangan, Lim Guan Eng sedang mengasak hebat 1Malaysia Development Bhd (1MDB), namun kaedah yang lebih lembut mungkin boleh menyelesaikannya, malah mungkin lebih baik.

Guan Eng ketika ini sibuk memberitahu dunia mengenai kedudukan mengejutkan dana kerajaan yang dibelenggu skandal itu. Bagaimanapun, langkah sedemikian tidak akan memadamkan keinginan rakyat untuk mendapatkan keadilan.

Pada masa sama, pelabur berasa kurang selesa dengan beberapa perkara yang semakin tidak terkawal. Malah, pelabur asing sudah menjual saham tempatan selama 13 hari berturut-turut.

Pengumuman Guan Eng pada sidang media pertamanya bahawa hutang kerajaan sudah melebihi RM1 trilion disebabkan usaha menyelamat 1MDB memberikannya markah penuh untuk kejujuran, namun bukan dari segi kebijaksanaan.

Jumlah itu, 45 peratus lebih tinggi berbanding laporan sebelumnya, sepatutnya didedahkan apabila Guan Eng mempunyai rancangan kukuh untuk mengurangkannya.

Namun, kerajaan baharu secara tiba-tiba kekurangan pendapatan. Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad akan memansuhkan Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) yang tidak popular sebagai tanda terima kasih kepada pengundi yang mengembalikannya ke jawatan itu selepas 15 tahun.

Semua kelihatan elok dan bagus. Namun, GST yang sudah dilaksanakan selama tiga tahun menjana RM41.5 bilion kepada perbendaharaan tahun lalu, atau kira-kira 3.3 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK).

Menggantikannya dengan satu lagi cukai pengguna memerlukan sidang Parlimen baharu diadakan, yang tidak akan berlangsung sehingga akhir Jun atau awal Julai ini.

Pelabur asing tarik keluar dana

Mengapakah Guan Eng mencetuskan risiko membiarkan pelabur dengan tinjauan fiskal tidak menentu sehingga tempoh itu? Dengan kadar faedah Amerika Syarikat (AS) meningkat, semua ekonomi sedang pesat membangun berada di bawah tekanan.

Malaysia juga, menyaksikan pelabur asing menarik keluar kira-kira AS$800 juta dari pasaran bonnya. Bolehkah Guan Eng mengawal sentimen negatif sedemikian? Perkembangan pada minggu ini memberikan sebab meragukan.

Selasa lalu, Guan Eng mengeluarkan kenyataan akhbar yang keras selepas bertemu dengan pegawai dikaitkan dengan 1MDB, yang dipercayai oleh Jabatan Kehakiman AS sebagai pusat skim penyelewengan dan penggubahan wang berbilion dolar.

1MDB, katanya sudah muflis, memetik pengarah syarikat berkenaan. Namun, pelabur sudah lama mengesyaki perkara itu.

Kewujudan sehingga AS$2.5 bilion aset luar negara dana itu adalah meragukan, kata Guan Eng. Malah, ia juga bertepatan dengan fakta.

Mengapa wang awam digunakan untuk menyelamatkan 1MDB jika ia mempunyai aset cair di luar negara? Malah, Guan Eng sendiri memberikan senarai bayaran yang dibuat oleh Kementerian Kewangan kepada pemiutang 1MDB. Sejak tahun lalu, jumlahnya hampir RM7 bilion.

Berikan sedikit ruang kepadanya. Mungkin beliau sedang mempersiapkan fakta untuk mewajarkan penggunaan wang awam bagi membayar RM143.75 juta lagi faedah pada 30 Mei ini.

Namun, Guan Eng berkata beliau mendapati Presiden 1MDB, Arul Kanda 'sangat tidak jujur dan tidak boleh dipercayai'.

Arul membalas balik dengan mengatakan kenyataan itu berpotensi memfitnah. Guan Eng dikatakan memetik jawapannya di luar konteks dan menjadikannya kelihatan buruk, kata Arul dalam satu kenyataan, sambil menambah beliau akan mendapatkan nasihat undang-undang.

Bahasa yang digunakan ke atas Arul dalam satu kenyataan media rasmi adalah keras. Malaysia bukan sebuah negara yang lekeh, sebaliknya diberikan penarafan berdaulat A3 oleh Moody's Investors Service.

Guan Eng bukan lagi pembangkang

Guan Eng bukan lagi ahli politik pembangkang, namun sebahagian daripada anggota penting kerajaan baharu yang boleh mengambil tindakan undang-undang terhadap mana-mana pegawai atau pengarah 1MDB.

Rasuah peringkat tinggi adalah sebab rakyat Malaysia menolak Barisan Nasional (BN) yang sudah memerintah selama enam dekad, termasuk 22 tahun di bawah Mahathir.

Kejujuran Arul bukan sesuatu yang menjadi keutamaan rakyat. Mereka menunggu Mahathir menunaikan janji untuk mendakwa bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

Institusi penting di Malaysia yang perlu menjamin kestabilan ekonomi berada di bawah tekanan.

Selepas Wall Street Journal melaporkan bahawa hasil daripada urus niaga tanah membabitkan Bank Negara Malaysia (BNM) digunakan untuk membayar pemiutang 1MDB, sebuah dana kerajaan Abu Dhabi, bank pusat itu terpaksa mengeluarkan kenyataan bahawa ia membeli tanah kerajaan pada nilai wajar.

Situasi itu cukup halus untuk membolehkan Guan Eng melonggarkan sedikit desakannya. Keinginannya untuk merungkai skandal 1MDB boleh difahami.

Namun, bagi seorang Menteri Kewangan meneruskan matlamat itu dengan mengabaikan tugasan hariannya, iaitu memastikan ekonomi dalam keadaan baik dan pelabur terjamin, adalah sesuatu yang tidak boleh diterima. - BLOOMBERG

Berita Harian X