Selasa, 22 Mei 2018 | 6:22am
PENGHAPUSAN GST dijangka tidak akan menjejaskan ekonomi dan perbelanjaan negara. - Foto hiasan
PENGHAPUSAN GST dijangka tidak akan menjejaskan ekonomi dan perbelanjaan negara. - Foto hiasan

Hapus GST tak jejas ekonomi negara

KERAJAAN sudah mengumumkan bermula 1 Jun 2018, Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) akan dikenakan pada kadar sifar dan ia terpakai di seluruh negara. Ini bermakna secara teknikalnya GST dihapuskan dan akan digantikan dengan Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST).

GST dilaksanakan sejak 1 April 2015 berdasarkan kepada jangkaan bahawa ia meningkatkan kecekapan ekonomi dan menurunkan harga barangan. Jangkaan ini bersandarkan kepada hasil dapatan analisis daripada pihak kerajaan terdahulu.

Selepas tiga tahun pelaksanaannya, jangkaan ini tidak menepati amalan praktikal di Malaysia. Realitinya harga barangan terus meningkat dengan peningkatan yang lebih tinggi berbanding sebelum pelaksanaan GST.

Dari satu sudut, rakyat percaya bahawa GST menjadi punca kenaikan harga barangan di pasaran. Penolakan GST oleh rakyat diterjemahkan dengan memberi mandat besar kepada kerajaan Pakatan Harapan.

Penyusutan hasil

Dari sudut lain, ada yang berpandangan penghapusan GST boleh menjejaskan ekonomi kerana kerajaan akan mengalami susutan ke atas kutipan hasil cukai dan seterusnya mengurangkan perbelanjaan ke atas ekonomi.

Untuk memahami sama ada penghapusan GST menjejaskan ekonomi atau tidak, kita perlu membuat analisis bagi menghurai sumbangan GST kepada hasil cukai negara.

Perangkaan menunjukkan kutipan GST tidaklah memberi sumbangan besar kepada jumlah hasil cukai. Di antara 2015 hingga 2017, secara purata GST menyumbang sekitar 21 peratus saja kepada jumlah hasil cukai.

Terdahulu, sistem SST pula menyumbang sekitar 10 peratus, menjadikan perbezaan di antara GST dan SST hanyalah sekitar 11 peratus.

Pada 2017, kutipan GST sebanyak RM41 bilion dan SST jika dikekalkan dijangka menyumbang sekitar RM17 bilion.

Jadi, perbezaan hasil cukai kerajaan antara GST dengan SST hanyalah RM24 bilion.

Tampung kekurangan

Berdasarkan perangkaan ini, penghapusan GST dijangka tidak akan menjejaskan ekonomi. Perbelanjaan kerajaan tidak akan terjejas kerana sumbangan GST kepada kutipan hasil tidaklah signifikan.

Terdapat beberapa langkah yang boleh diambil untuk menampung pengurangan sebanyak 11 peratus atau sekitar RM24 bilion, akibat penghapusan GST.

Pertama, penjimatan dalam perbelanjaan mengurus melalui penswastaan sektor awam dan menilai semula program dan projek pembangunan semasa kerajaan.

Kedua, pengurangan juga boleh ditampung melalui penjanaan keuntungan perniagaan oleh syarikat berkaitan dengan kerajaan (GLC).

Ketiga, merancakkan semula 'enjin' ekonomi Malaysia agar kutipan hasil cukai bertambah selari dengan pertumbuhan perniagaan.

Ekonomi Malaysia memerlukan kepada perubahan struktur dan usaha ke arah mempelbagaikan aktiviti ekonomi.

Berita Harian X