Ahad, 6 Mei 2018 | 7:00am

PRU-14: Sabah, Sarawak penentu?

Seorang pemimpin kanan sebuah parti politik, bertanya apakah senario Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) kali ini masih sama seperti PRU-13?

Katanya, jika senario sama masih berlaku di Semenanjung, bermakna sejumlah 56 kerusi Parlimen di Sarawak dan Sabah sekali lagi bakal jadi penentu. Pada 2013, BN menang 133 kerusi dengan sumbangan 47 kerusi dari dua negeri berkenaan.

Ketika itu, UMNO menang 88 daripada 121 calon; Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Sarawak (14), MCA (7), MIC (4), PRS (6), PBS (4), SPDP (4), UPKO (3), manakala masing-masing satu GERAKAN, PBRS dan SUPP. Pembangkang pula 89 kerusi, iaitu DAP 38, PKR 30 dan PAS 21.

Sebelum Parlimen dibubar baru-baru ini, kedudukan kerusi sudah berubah, apabila Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) ditubuh dengan membawa sekali dua Ahli Parlimen (Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Datuk Seri Mohd Shafie Apdal).

Enam Ahli Parlimen PAS berada dalam Parti Amanah Negara (PAN), selain seorang Ahli Parlimen PKR, Tan Sri Khalid Ibrahim menjadi anggota Bebas.

Kali ini, senario berubah, terutama di pihak pembangkang apabila PAS bergerak solo, dengan bertanding 160 kerusi, terbanyak dalam sejarahnya.

Tiga hari lagi menjelang hari mengundi, 14,806,185 pengundi akan menentukan nasib 687 calon yang bertanding merebut 222 kerusi Parlimen dan 1,646 calon bersaing untuk 505 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN).

Pemerhati politik sudah mula membuat perkiraan sendiri siapa dan parti mana boleh membentuk Kerajaan Persekutuan menjelang malam 9 Mei ini serta parti mana akan menguasai negeri mana.

Rebut 191 kerusi

BN bertanding semua 222 kerusi Parlimen, manakala tiga parti dalam pakatan pembangkang yang menggunakan logo PKR, bersaing merebut 191 kerusi.

Blok ketiga Gagasan Sejahtera, diterajui PAS pula bertanding di 160 kerusi, manakala yang lain, termasuk Parti Warisan Sabah (Warisan) bertanding 17 kerusi Parlimen.

Berdasarkan perkembangan semasa, tiada masalah untuk BN Sarawak dan Sabah menang sekurang-kurangnya 47 kerusi Parlimen.

WARISAN pimpinan Mohd Shafie yang bertanding 17 kawasan, dikatakan memberi saingan sengit kepada BN di sekurang-kurangnya tiga kerusi Parlimen, termasuk Semporna yang ditandingi Mohd Shafie sendiri.

Parti pembangkang itu juga memberi saingan sengit di 10 kerusi DUN, meskipun ia bertanding 45 kerusi negeri.

Andai Sarawak dan Sabah meraih 47 kerusi, bermakna BN cuma perlu menang 65 kerusi di Semenanjung untuk memperoleh majoriti mudah 112 kerusi. Ada yang meletakkan angka 130 dan 120 kerusi untuk BN boleh menang keseluruhannya.

Ada 50 kerusi dikuasai FELDA di Semenanjung, tidak termasuk dua masing-masing di Sarawak dan Sabah, kemudian ada faktor PAS dan teori tiga penjuru - sama ada ia memberi kelebihan kepada BN atau sebaliknya.

Untuk kawasan majoriti Cina pula, DAP kini dikatakan panik setelah 'mood' dalam kalangan penyokong bawahannya keliru dan sukar menerima hakikat yang parti itu bertanding menggunakan logo PKR.

Ini memberi ruang kepada MCA dan GERAKAN untuk memanipulasi keadaan di 24 kerusi majoriti pengundi Cina selepas persempadanan semula kawasan. Pada 2013, MCA hanya menang tujuh daripada 37 kawasan ditandingi, manakala GERAKAN pula satu daripada 11 kerusi.

Sementara itu, daripada 222 kerusi Parlimen, ada 155 kerusi luar bandar yang dikuasai Melayu/Bumiputera berikutan persempadanan semula kawasan pilihan raya dan bakinya kawasan pinggir bandar. Kerusi inilah menjadi rebutan antara BN, PAS dan PKR @ PPBM/PAN.

Kehadiran PAS tidak boleh dipandang mudah kerana ia juga menyebabkan saingan sengit untuk BN di kawasan yang mempunyai antara 30 hingga 40 peratus pengundi Melayu seperti Parlimen Seremban, Taiping dan Ayer Hitam di Johor - semua diwakili GERAKAN dan MCA.

Penulis adalah Pengarang Integrasi (Berita), The New Straits Times Press (NSTP)

Berita Harian X