Ahad, 22 April 2018 | 7:01am

PAS - Penyelamat atau pemusnah

DALAM tempoh sehari dua ini, semua calon Barisan Nasional (BN) akan diumumkan, didahului Wilayah Persekutuan dan Terengganu hari ini. Pihak pembangkang pula sudah mengumumkan sebahagian calon mereka.

Yang menampakkan keghairahan kali ini ialah PAS apabila mengumumkan untuk bertanding 160 daripada jumlah 222 kerusi Parlimen, bersama gabungan Gagasan Sejahtera. Justeru, Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) ini, lebih menjurus kepada saingan antara BN, PAS dan PKR.

Semua parti dalam gabungan pembangkang iaitu DAP, PKR, Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) dan Parti Amanah Negara (PAN) guna logo PKR. Dengan PAS tiada lagi bersama PKR dan DAP seperti pada PRU-13, apakah senario kali ini akan berubah.

Apakah kerajaan pimpinan PKR Selangor mampu bertahan tanpa PAS? PAS Selangor sah tanding 47 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN), 20 Parlimen. Apakah dengan kehadiran PAS, akan memberi kelebihan kepada BN atau mengugat beberapa kerusi ditandingi BN di seluruh negara?

Keadaan ini akan menyebabkan beberapa kerusi menyaksikan saingan tiga penjuru di antara BN, PAS dan PAN, di kawasan majoriti Melayu, selain tiga penjuru di kawasan bercampur terutama pinggir bandar antara BN, PKR dan PAS.

Kawasan majoriti Melayu yang dijangka menbabitkan saingan tiga penjuru ialah Kelantan, Terengganu, Kedah, Pahang serta sebahagian kawasan di Johor dan Perak. Kelantan, Terengganu dan Kedah dikatakan sengit tetapi kelebihan boleh memihak kepada BN untuk saingan tiga penjuru.

Undi Melayu/Bumiputera adalah penentu PRU kali ini. Tiada siapa atau mana-mana badan pemikir yang percaya BN akan tewas dalam pilihan raya kali ini. Persoalannya mampukah BN menambahkan jumlah 133 kerusi Parlimen yang dimenangi pada PRU lalu.

Pecah undi

Jika BN boleh merampas kembali Kelantan dan Selangor, ia satu bonus. Pengaruh BN dan PAS seimbang di Kelantan. PAN dikatakan kurang memberi impak di Kelantan, tetapi kehadirannya berupaya memecah undi PAS, sekali gus memberi kelebihan kepada BN.

PPBM yang pendaftarannya dibubar sementara, diterajui Tun Dr Mahathir Mohamad bukan sahaja gagal untuk memenangi hati pengundi Melayu, malah gagal mencetuskan tsunami Melayu. Kajian oleh institut pemikir Singapura mendapati cuma 21 peratus Melayu menyokong PPBM, berbanding 67 peratus sokong UMNO dan 48 peratus sokong PAS. Cuma lima peratus orang Melayu menerima DAP.

Oleh itu juga, kehadiran calon PAS di kawasan yang ditandingi calon BN dari MCA dan GERAKAN, mungkin boleh memecah undi Melayu, sekali gus menggugat peluang BN. Contohnya, kerusi Parlimen Bentong yang ditandingi Presiden MCA, Datuk Seri Liow Tiong Lai dan Timbalannya, Datuk Dr Wee Ka Siong di Parlimen Ayer Hitam serta kerusi Parlimen Teluk Intan yang ditandingi Presiden GERAKAN, Datuk Seri Mah Siew Keong.

Pada Pilihan Raya Kecil 2014, BN menerusi Siew Keong berjaya rampas kerusi itu daripada DAP dengan majoriti 238 undi. Undi Melayu dan Cina di situ adalah hampir sama 40 peratus. Kali ini orang kuat DAP Perak, Nga Kor Ming mencabar Siew Keong, selain calon PAS, Dr Ahmad Ramadzan.

PAS turut meletak calon di Parlimen Bentong yang dimenangi Tiong Lai dengan hanya 379 undi pada PRU-13. Pengundi Melayu dan Cina di Bentong seimbang, masing-masing 45 dan 44 peratus. Di Ayer Hitam, Johor pengundi Melayu 57 peratus dan Cina 38 peratus. Ka Siong berdepan Pengerusi DAP Johor, Liew Chin Tong, selain calon PAS, Mardi

Marwan. Oleh itu, kehadiran PAS boleh menyelamatkan BN di kawasan majoriti Melayu di Pantai Timur, selain berupaya memberi saingan sengit di Pantai Barat dan selatan tanah air.

Penulis adalah Pengarang Integrasi (Berita) The New Straits Times Press (NSTP)

Berita Harian X