Isnin, 19 March 2018 | 6:54am
TANAH perkuburan al-Baqi' di Madinah dikatakan menempatkan pusara Fatimah az-Zahra.

Fatimah contoh Muslimah terbaik

DALAM sebuah hadis, Nabi SAW menyatakan: "Imam Mahdi itu adalah daripada keturunanku dan dia dilahirkan daripada zuriat Fatimah az-Zahra."

Kisah kehidupan Saidatina Fatimah az-Zahra menjadi anugerah sangat besar daripada Allah SWT buat umat ini seperti yang kita dapat rasai apabila menelusuri sirah Baginda Nabi SAW.

Ia juga lambang betapa berjayanya Rasulullah SAW mengasuh dan mendidik puterinya. Fatimah dilahirkan pada tahun pembinaan Kaabah, iaitu saat Rasulullah SAW berusia 35 tahun, sekali gus bermakna, beliau lahir lima tahun sebelum kenabian.

Kata Saidatina 'Aisyah: "Fatimah az-Zahra ialah wanita yang sangat mirip dengan Rasulullah SAW daripada segi perlakuan dan tutur katanya."

Beliau kesayangan Rasulullah SAW dan anak yang membesar di hadapan Baginda. Walaupun dibesarkan dengan penuh cinta oleh kedua-dua orang tuanya, ia tidak menjadikan Fatimah degil dan bongkak, bahkan tumbuh sebagai anak yang sangat taat kepada orang tuanya.

Hidup berdikari

Diriwayatkan beliau hidup sangat berdikari dan banyak menguruskan rumah tangga sendirian tatkala suaminya, Saidina Ali RA keluar berjuang dan berjihad.

Beliau turut serta bersama ayahandanya dalam perjuangan jihad. Diriwayatkan beliaulah yang merawat luka Rasulullah SAW ketika Baginda mengalami luka dalam Perang Uhud.

Saat Fatimah meningkat dewasa dan menjadi wanita sangat cantik serta indah dipandang, ramailah Sahabat dalam kalangan bangsawan dan Sahabat terkemuka menyatakan hasrat untuk meminangnya.

Pada tahun ke-8 hijrah, Ali menyatakan hasrat meminang Fatimah. Rasulullah SAW segera bersetuju. Ali pun bergembira, lantas sujud syukur. Tatkala Ali mengangkat kepala daripada sujud, Rasulullah SAW bersabda: "Mudah-mudahan Allah SWT memberkati kalian berdua. Untuk kalian dan ke atas kalian. Mudah-mudahan Allah menggembirakan moyang kalian dengan kalian berdua. Mudah-mudahan Allah SWT akan mendatangkan zuriat yang banyak yang sangat baik."

Saat orang ramai termasuk sahabat hadir memenuhi majlis perkahwinan Fatimah dan Ali, Rasulullah SAW menyampaikan khutbah: "Segala puji bagi Allah SWT yang Maha Terpuji dengan nikmat-Nya yang banyak. Tuhan yang disembah dan dengan kudrat-Nya menjadikan kepada kita perkahwinan sebagai salah satu sebab bersambungnya nasab umat manusia.

Alas tidur daripada kulit

Bahkan Allah SWT memerintahkan kita berkahwin untuk meneruskan nasab dan menghubungkan hubungan silaturahim. Allah SWT juga menjadikan perkahwinan itu kewajipan yang dituntut kepada hamba-hamba-Nya. Aku bersaksi kepada kalian semua sesungguhnya aku mengahwinkan Fatimah kepada Ali dengan mas kahwinnya sebanyak 400 misqal perak."

Selepas perkahwinan itu, Fatimah dihantar ke rumah Ali pada Ramadan. Beliau dihantar ke rumah suaminya yang hidup dalam sederhana sehinggakan alas tidur mereka daripada kulit yang dipadati dengan sabut.

Rasulullah SAW tidak mampu menahan rindu kepada puterinya itu setelah dihantar ke rumah Ali sehingga kerinduan itu membuatkan Sahabat nampak betapa resah dan bimbangnya Rasulullah SAW.

Ketika itu, Rasulullah SAW berhasrat membina rumah Fatimah berdekatan dengan rumah Baginda supaya dapat melihat puteri kecintaan Baginda dengan lebih kerap. Rumah paling hampir dengan rumah Baginda ialah rumah Harithah bin Nukman daripada Bani Najjar.

Apabila Harithah melihat keresahan Nabi SAW dan Sahabat bercakap-cakap mengenai kerinduan Baginda kepada Fatimah, maka Harithah dengan gembira menawarkan rumahnya untuk diberikan kepada Rasulullah SAW buat puteri tercintanya itu.

Harithah berkata: "Sesungguhnya hartaku dan kekayaanku yang diambil oleh Baginda Nabi SAW lebih aku sukai daripada hartaku dan kekayaanku yang tidak diterima oleh Baginda."

Setiap pagi, sebelum Nabi SAW keluar ke masjid, Baginda akan berada berdekatan dengan pintu rumah puterinya dan mendoakan: "Salam sejahtera ke atas kalian wahai ahli rumah dan mudah-mudahan Allah SWT membersihkan kalian dengan sebersih-bersihnya daripada segala dosa dan noda." Begitulah sayangnya Baginda buat Saidatina Fatimah Az-Zahra.

Berita Harian X