Selasa, 7 November 2017 | 7:11pm
BENTENG pemecah ombak Tanjung Piai.
BENTENG pemecah ombak Tanjung Piai.

Benteng pemecah ombak piramid selamatkan bumi Tanjung Piai

Sejak puluhan tahun bumi Tanjung Piai dekat Pontian, Johor termasuk kawasan titik penghujung paling Selatan Benua Asia, mercu tanda dan tumpuan pelancong seantero dunia, dilanda hakisan dan pencemaran teruk.

Hampir lapan meter kawasan pantai di sini, dihakis setiap tahun. Bayangkan, daratan pesisir pantai Tanjung Piai sudah lenyap akibat hakisan dan pencemaran berpunca aktiviti perkapalan dan keterbukaan pada ombak laut lepas. Pelbagai usaha dilakukan jabatan dan agensi berkaitan dengan kos ratusan juta ringgit dibelanjakan bagi melindungi kawasan pantai di sini serta khazanah kekayaan alam semulajadinya.

Namun, ia tidak menampakkan kesan positif. Sebaliknya, hakisan terus berleluasa dengan anggaran kawasan daratan pesisir pantai yang lenyap akibat hakisan bagi tempoh 20 tahun dianggar mencecah 160 meter.

Idea bina benteng

Usaha terus dibuat tanpa jemu sehingga tercerna idea dan inisiatif bagi membina benteng pemecah ombak berbentuk piramid ini. Usaha murni ini diterjemah hasil cadangan Pihak Berkuasa Wilayah Pembangunan Iskandar (IRDA) dengan kerjasama Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) yang membawa perkara itu ke peringkat Kerajaan Pusat.

Satu cadangan dikemukakan bagi membina benteng pemecah ombak. Cadangan itu diterima secara positif dan pelaksanaannya bermula pada 2014 dan siap akhir 2016 dengan kos hampir RM80 juta.

Benteng pemecah ombak sepanjang lebih tiga kilometer itu berkedudukan 500 sehingga 800 meter dari pantai Tanjung Piai.

Selepas lebih enam bulan disiapkan, benteng itu terbukti berjaya memperlahankan kelajuan ombak, mengurangkan hakisan dan menangani pencemaran, sekali gus meminimum kemusnahan berterusan kekayaan alam Tanjung Piai, kawasan sensitif tapak Ramsar.

Selain Tanjung Piai, terdapat dua lagi tapak Ramsar di Iskandar Malaysia, iaitu Sungai Pulai dan Pulau Kukup.

Ketiga-tiga tapak Ramsar ini meliputi kawasan seluas 102 kilometer persegi dan ia menjadi tempat tinggal sebahagian besar spesies hidupan yang diancam kepupusan.

Lantas, perbelanjaan diperuntukkan bagi membina benteng pemecah ombak bagi melindungi bumi Tanjung Piai, berbanding fungsinya melindungi khazanah alam semula jadi, sebenarnya tidak tinggi dan membebankan.

Hasil inisiatif ini dengan sokongan jitu kerajaan negeri dan Pusat, tumbuhan bakau di pesisir pantai sudah boleh tumbuh secara semulajadi dan melata, manakala batuan membentuk benteng pemecah ombak berfungsi pula sebagai tukun tiruan.

Lindungi kawasan sensitif

Benteng pemecah ombak pada bahagian atasnya berkelebaran tiga sehingga lima meter menjadi kawasan permainan dan pembiakan ikan bernilai tinggi seperti merah, kerapu dan tebal pipi.

Kawasan ini yang terbuka kepada orang awam sudah menjadi tumpuan kaki pancing yang menyewa bot nelayan di sekitar Tanjung Piai pergi ke benteng pemecah ombak untuk memancing.

Difahamkan, 350,000 tan batuan dibawa dengan bot besar dari Batu Pahat diguna bagi membina benteng pemecah ombak berkenaan yang mempunyai tempoh jangka hayat 100 tahun ke atas.

Dalam tempoh itu, usaha bagi mengembalikan kesuburan tanah lembap dan hutan bakau dengan khazanah kekayaan alam semulajadi serta puluh ribuan habitat daratan dan lautan untuk terus menetap dan membiak di kawasan tanah lembap Tanjung Piai.

Inilah antara usaha kita bagi melindungi kawasan sensitif seperti Tanjung Piai untuk kita wariskannya kepada generasi akan datang, iaitu khazanah kekayaan alam semula jadi Tanjung Piai dan Pulau Kukup untuk dijaga dan dimanfaat secara berterusan bagi menjana ekonomi menerusi kegiatan ekopelancongan secara berpanjangan.

Penulis adalah Ketua Eksekutif, Pihak Berkuasa Wilayah Pembangunan Iskandar (IRDA)

Berita Harian X