Sabtu, 28 Oktober 2017 | 12:25pm
CERIA...Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak beramah mesra dengan penjawat awam dari pelbagai kementerian yang bertugas sebaik keluar dari Dewan Rakyat selepas membentangkan Bajet 2018 di Parlimen semalam. - Foto BERNAMA

Imbangi keperluan rakyat

PEMBENTANGAN Bajet 2018 sudah pun berlalu. Seperti biasa, ia akan dibahas pada pelbagai forum, baik dalam kalangan ahli politik dan ahli perniagaan serta masyarakat awam umumnya.

Yang pasti, kita semua mempunyai pendapat masing-masing yang dibentuk daripada sumber-sumber yang pelbagai bervariasi seperti pengalaman peribadi, perbincangan dalam kalangan ahli akademik dan penganalisis ekonomi serta 'mesyuarat' di kedai kopi.

Sebelum kita berbahas mengenai langkah-langkah yang diumumkan dalam bajet, kita perlu meneliti angka makroekonomi. Perkara ini penting kerana ia menggambarkan bagaimana prospek pertumbuhan negara akan mencorak peruntukan bajet pada tahun hadapan.

Berdasarkan Laporan Ekonomi 2017-2018, ekonomi negara dijangka mengalami pertumbuhan pada kadar antara 5 dan 5.5 peratus pada 2018, berbanding 5.2 peratus dan 5.7 peratus pada 2017. Permintaan domestik masih menjadi penyumbang utama yang mana pertumbuhannya dijangka mencecah 5.5 peratus berbanding 6.4 peratus pada tahun ini.

Selain itu, kadar pertumbuhan eksport diunjurkan kepada 2.3 peratus berbanding 8 peratus pada tahun ini. Pendek kata, unjuran ini menunjukkan bahawa pihak kerajaan masih berada dalam keadaan yang berhati-hati.

Bagaimanapun, pertumbuhan ekonomi yang melebihi 5 peratus sememangnya adalah sesuatu yang baik kerana aliran pertumbuhan ataupun pertumbuhan jangka panjang dilihat berada dalam lingkungan ini.

Sejajar dengan kenaikan pertumbuhan ekonomi yang baik, jangkaan terhadap kutipan hasil kerajaan juga dilihat meningkat tinggi.

Hasil kerajaan dijangkakan meningkat sebanyak 6.4 peratus kepada RM239.9 bilion yang dipacu oleh hasil cukai termasuk Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST).

Unjuran GST adalah RM43.8 bilion pada 2018 berbanding RM41.5 bilion pada tahun ini, iaitu peningkatan sebanyak 5.5 peratus. Dari sudut perbelanjaan, Perbelanjaan Mengurus meningkat sebanyak 6.5 peratus kepada RM234.3 bilion.

Perbelanjaan pembangunan pula dijangka akan meningkat hanya 0.1 peratus kepada RM46 bilion. Justeru, defisit fiskal diunjur berada pada paras RM39.9 bilion bersamaan 2.8 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) pada 2018, berbanding RM39.9 bilion atau 3 peratus daripada KDNK.

Tahap defisit masih terkawal

Oleh itu, kerajaan masih mengamalkan dasar fiskal yang masih mengembang. Namun, nisbahnya kepada KDNK menurun, menunjukkan bahawa tahap defisit ini masih terkawal.

Langkah yang diumumkan dalam Bajet 2018 dilihat menyeluruh dan terangkum. Pengurangan cukai pendapatan individu sebanyak 2 peratus bagi banjaran pendapatan daripada RM20,000 sehingga RM70,000 seharusnya memberi manfaat bagi golongan M40.

Kita sedia maklum, kutipan GST dijangka akan melepasi RM40 bilion pada tahun hadapan. Maka, sudah tiba masanya kerajaan memberikan pulangan kepada rakyat sebagai pembayar cukai.

Peruntukan BR1M pula dikekalkan pada paras RM6.8 bilion. Perkara ini sudah tentu membantu kepada golongan B40 dalam mengurangkan beban kewangan berikutan peningkatan kos sara hidup.

Galakan cukai seperti perlanjutan tempoh insentif elaun modal dipercepatkan sebanyak 200 peratus ke atas kelengkapan automosi pada tempoh 2018-2020, juga dilihat baik untuk menggalakkan pemodenan sektor pembuatan.

Ini sekali gus boleh menggalakkan permintaan terhadap buruh mahir bagi mengendalikan mesin, selain mengurangkan kebergantungan kepada buruh asing yang kurang mahir.

Pembiayaan Lembaga Pembiayaan Perumahan Sektor Awam ke atas hartanah yang dibangunkan di atas wakaf juga dilihat mampu untuk mempercepatkan industri wakaf yang berpotensi dibangunkan secara efektif.

Statistik menunjukkan bahawa tanah wakaf di Malaysia mempunyai keluasan melebihi 11,000 hektar. Namun pembangunannya adalah kurang daripada 1 peratus.

Penyediaan infrastruktur di KLIA Aeropolis bagi membangunkan Zon Perdagangan Bebas Digital (DFTZ) juga mampu untuk menjadi pemangkin kepada penyertaan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) dalam menghadapi arus perubahan landskap perniagaan.

Kesimpulan yang boleh dibuat, kerajaan sedang berusaha sedaya upaya untuk mengimbangi keperluan rakyat dalam jangka masa pendek. Pada masa sama, perkara yang bersifat jangka panjang seperti perubahan landskap perniagaan seperti ekonomi digital perlu dititikberatkan.

Pembinaan kapasiti ke arah ini amat penting kerana keperluan tenaga buruh pada masa akan berubah dari sudut pengetahuan dan juga kemahiran.

Sekiranya perkara ini tidak diendahkan, berkemungkinan negara kita semakin mundur dan kebajikan rakyat juga terjejas akhirnya. Justeru, sifat yang positif dalam kalangan rakyat amat penting bagi menjayakan rencana untuk menjadi sebuah negara yang maju.

Penulis adalah Ketua Penganalisis Ekonomi Bank Islam Malaysia Berhad

Berita Harian X