Rabu, 30 Ogos 2017 | 7:22am
'BERSUJUD' tanda rendah diri memohon kekuatan daripada Ilahi. - Foto hiasan/NSTP

Tingkat keimanan hadapi cabaran hidup

SETIAP sisipan kehidupan manusia tidak pernah sunyi daripada ujian dan cabaran. Justeru, hanya hati yang cekal mampu menangani segala kesulitan dan kesukaran itu. Hati yang kuat mampu diperoleh dengan bersujud kepada Allah SWT kerana hanya Dia tempat memohon pertolongan.

Menurut Ustaz Pahrol Juoi melalui rancangan Islam Itu Indah, di IKIMfm setiap ujian dalam kehidupan perlu ada penyelesaiannya dan jarak antara masalah serta penyelesaian antara dahi dengan tempat sujud.

Ini bererti, untuk mendapat kekuatan mencari penyelesaian masalah sama ada kecil atau besar, adalah dengan bersujud kepada-Nya kerana hanya Allah SWT memiliki segala-galanya.

Bagi sesetengah orang bukan mudah bersujud meminta kepada-Nya kerana untuk sujud bukan kerja dahi tetapi kerja hati. Oleh itu, hati yang jauh dari Allah SWT sudah pasti tidak mampu bersujud kepada-Nya, manakala hati yang ada rasa cinta akan mudah merintih, meminta dan bersujud kepada-Nya.

Sesungguhnya dalam hati itulah wujudnya sebuah cinta hakiki iaitu cinta yang hanya kepada Allah SWT mengatasi segala-galanya. Apabila kita memberi cinta kepada Allah SWT secara sepenuhnya, cinta terhadap perkara lain tidak lagi bermakna kerana cinta Allah SWT itu sudah mencukupi.

Seperti mana amalan Nabi Ibrahim yang kemudian diajar oleh Rasulullah SAW untuk diamalkan umatnya: "Aku memohon cinta-Mu, aku memohon cinta orang yang mencintai-Mu, aku memohon segala sesuatu yang membawa kepada kecintaan-Mu."

Apabila kita mencintai Allah SWT bererti kita memiliki segala-galanya. Pada Allah SWT ada kasih sayang, keadilan, kebaikan, kekuatan, kekayaan, kecukupan dan segala-galanya yang diperlukan setiap manusia.

Manusia yang lemah tidak akan mampu melalui hidup ini tanpa pertolongan Allah SWT. Lalu, dengan cinta Allah SWT akan mendekatkan manusia kepada-Nya seterusnya memberi kekuatan mendepani kesukaran dalam hidup ini.

Perlu rela berkorban

Tetapi lumrah kehidupan sesuatu yang berharga itu bukan mudah untuk diperoleh. Umpamanya permata dan kaca, pastinya kaca lebih senang dibeli berbanding permata. Begitu juga pasir dan emas, pasir ada di merata-rata sedangkan emas hanya yang berkemampuan mampu memilikinya.

Begitulah aturan atau sunatullah hidup ini, apabila kita mendapat sesuatu yang bernilai (cinta Allah SWT), kita terpaksa mengorbankan yang lain. Dengan kata lain, apabila kita ingin sesuatu, kita juga perlu melepaskan sesuatu.

Kata bijak pandai, musuh perkara sangat penting adalah perkara yang penting dan musuh perkara sangat berharga adalah perkara yang berharga. Kita sering berdepan kesukaran membuat pilihan kerana terpaksa melakukan pengorbanan.

Kita tidak akan memiliki semuanya, justeru, biarlah kita berkorban untuk memperoleh sesuatu yang lebih berharga daripada apa yang kita hilang. Pilihlah perkara yang akan mendekatkan kita dengan cinta Allah SWT.

Peristiwa penyembelihan Nabi Ismail oleh ayahandanya, Nabi Ibrahim, adalah untuk meraih cinta Allah SWT yang sangat tinggi. Baginda sanggup mengorbankan segala-galanya demi cinta Allah SWT.

Cinta kepada Ilahi

Tingginya nilai cinta Nabi

Ibrahim dan Nabi Ismail terhadap cinta Allah SWT tiada galang ganti. Akhirnya ketaatan terhadap perintah Allah SWT atas nama cinta itu berbalas dengan nikmat syurga yang tiada penghujung.

Justeru, keluhuran sebuah pengorbanan atas nama cinta agung hanya untuk Allah SWT wajar diikuti dan dijadikan pedoman. Falsafah peristiwa pengorbanan Nabi Ibrahim adalah berkorban untuk cinta yang lebih besar.

Penulis ialah Pengurus Berita Radio IKIMfm

Berita Harian X