Jumaat, 7 April 2017 | 6:37am

Ciri insan layak ke syurga, elak neraka

ORANG yang sering bersedekah tergolong dalam kalangan ahli syurga. - Foto hiasan
ORANG yang sering bersedekah tergolong dalam kalangan ahli syurga. - Foto hiasan

SALAH satu cara Allah SWT menunjukkan rasa kasih kepada hamba-Nya ialah dengan mengurniakan Ramadan. Kini kita berada dalam Rejab dan dua bulan lagi bakal bertemu Ramadan dengan izin Allah SWT.

Antara doa yang sering dibaca oleh Rasulullah SAW sejak

permulaan Rejab: "Ya Allah,

berkatilah aku dengan Rejab,

berkatilah aku dengan Syaaban, ya Allah panjangkanlah usiaku supaya aku sempat memasuki

Ramadan."

Ramadan memberi ruang dan kesempatan kepada manusia untuk menjadi penghuni syurga dengan melakukan persediaan awal menghadapinya. Ulama menyebut, antara sifat penghuni syurga ialah ketika hidupnya di dunia sering memuji Allah SWT.

Ustaz Ahmad Dusuki Abdul Rani menerusi slot Mau'izati di radio IKIMfm mengingatkan supaya mengelakkan diri daripada memuji makhluk kerana ia tidak wajar dilakukan manusia kerana perkara pertama dilakukan manusia ketika melangkah masuk ke syurga ialah menyebut: "Segala puji bagi Allah yang telah menunjukkan jalan hidup kepada diri kita."

Namun, mengucapkan kalimah syukur amat sukar dan terlalu sedikit dalam kalangan manusia yang memuji Allah SWT. Itulah juga sebab manusia diazab dengan himpitan kubur pada saat mulanya jenazah diturunkan ke liang lahad.

Tidak terbilang nikmat yang Allah SWT kurniakan kepada manusia oleh itu, sentiasalah memanjatkan rasa syukur. Ciri orang Mukmin yang sentiasa bersyukur ialah bersabar apabila dilanda musibah dan bersyukur di atas setiap pemberian.

Selain itu, manusia sentiasa bersabar melayakkan mereka masuk syurga. Sesungguhnya Allah SWT berserta dengan orang yang sabar. Memupuk sifat sabar dalam diri bukanlah sesuatu yang mudah tetapi mengambil masa panjang.

Firman Allah SWT yang bermaksud: "Sesungguhnya ganjaran yang Allah sediakan bagi orang yang sabar itu, ganjaran yang tidak terhitung banyaknya." (Surah al-Zumar, ayat 10)

Bagaimanapun, tidak ramai yang mampu bersabar sedangkan Allah SWT memberi ujian mengikut kemampuan manusia itu. Allah SWT tidak akan masukkan seseorang ke dalam syurga sehingga mengetahui dia benar-benar berjuang di jalan-Nya dan bersabar menghadapi ujian di dunia ini.

Berjihad ke jalan Allah SWT

Golongan ketiga yang layak menghuni syurga ialah mereka yang berjihad mengorbankan nyawa mentaati perintah Allah SWT. Cabaran luaran dan dalaman perlu dihadapi dengan kekuatan diri walaupun dilanda pelbagai ujian.

Manusia yang memiliki sifat jihad mampu mengatasi kesukaran ketika bangun bertahajud di tengah malam, kekuatan jihad juga mendorong dirinya mendengar sidang ilmu yang mengajak kepada kebaikan.

Selemah-lemah jihad bagi setiap individu ialah menanam niat membawa agama Allah SWT sehingga menemui syahid di jalan-Nya. Malah jihad yang paling utama ialah jihad untuk diri melakukan perintah Allah SWT.

Orang yang berinfaq ke jalan Allah SWT melayakkan dirinya menjadi penghuni syurga. Setiap harta dikurniakan adalah untuk digunakan di jalan Allah SWT, bukan hanya kegunaan diri dan keluarga sahaja.

Saidina Abu Bakar as-Siddiq adalah contoh terbaik kerana menginfaqkan keseluruhan hartanya untuk agama, begitu juga Saidatina Khadijah binti Khuwailid yang amat disayangi Rasulullah SAW. Jangan sesekali menggunakan harta untuk dunia tanpa menyediakan bekalan menuju akhirat.

Urus niaga yang mampu menyelamatkan manusia daripada neraka ialah beriman kepada Allah SWT dan Rasul, berjuang ke jalan-Nya dengan harta benda dimiliki, seterusnya mampu mengorbankan jiwa raga hanya kerana Allah SWT.

Selain itu, manusia yang layak memasuki syurga ialah yang mampu mengawal kemarahannya dan suka memaafkan orang lain. Malah, Rasulullah SAW sentiasa berpesan supaya tidak cepat marah kerana ia mampu menjunamkan manusia ke neraka.

Berdendam penyakit hati

Elakkan berdendam kerana ia penyakit dalam diri manusia, oleh itu, maafkanlah kerana Allah SWT mencipta perjalanan hidup manusia untuk terus mara ke hadapan dan sewajarnya melupakan perkara telah berlalu tanpa dipengaruhi sifat dendam.

Tidak akan masuk syurga bagi mereka yang tidak memaafkan orang lain kerana ia akan memutuskan silaturahim.

Orang yang selalu berbuat ihsan, iaitu orang yang suka melakukan kebaikan adalah antara ciri penghuni syurga. Golongan itu tidak melepaskan peluang berbuat baik walaupun hanya diminta memberi pandangan terhadap sesuatu perkara, khidmat nasihat atau menerima kehadiran tetamu.

Ciri lain mereka yang layak menghuni syurga ialah ulama yang mengamalkan segala ilmu diperolehnya. Mereka adalah tempat bergantung bagi umat manusia setelah ketiadaan nabi dan rasul.

Ulama bertanggungjawab memperbetulkan jalan kehidupan manusia supaya sentiasa taat di jalan Allah SWT dan tidak memperkecilkan manusia lain. Malah, syarat melayakkan diri untuk masuk syurga Allah SWT ialah menjadi pemimpin yang adil mengikut al-Quran dan hadis Rasulullah SAW.

Pemimpin yang baik tidak pernah takut dengan celaan manusia tetapi hanya takut kepada Allah SWT kerana hanya Dia yang mampu memberi kekuatan kepada manusia.

Manusia yang sering mengajak melakukan kebaikan dan

mencegah daripada kemungkaran layak menghuni syurga.

Mencegah kemungkaran perlu

dilaksanakan sekalipun hanya mampu sekadar melakukannya

di dalam hati.

Tidak ketinggalan, manusia yang zuhud dan warak akan turut terpilih menjadi ahli syurga. Mereka bersyukur dengan kurniaan Allah SWT dan menggunakan seluruh pemberian itu untuk mentaati perintah-Nya.

Berita Harian X