Rabu, 27 April 2016 | 6:26am

Kerjasama UMNO, PAS elok diperhalusi

Cadangan Dr Zakir Naik supaya UMNO dan PAS membentuk kerajaan campuran memperkukuhkan lagi harapan kita untuk lihat kedua-dua parti bersatu atau sekurang-kurangnya bekerjasama bagi memperkasa kedudukan ummah di negara ini. Cadangan pendakwah tersohor itu harus dilihat secara positif kerana jika ia dapat dijelmakan dalam bentuk yang konkrit, maka ia akan memberi banyak kebaikan kepada negara dan rakyat negara ini.

Beliau tidak cadang dua parti politik Melayu-Islam itu bergabung, tetapi adalah memadai kedua-duanya membentuk kerajaan campuran. Menurut beliau, kedua-dua parti itu boleh kekalkan parti dan identiti masing-masing.

Namun, sekiranya kedua-dua parti itu boleh jadi sebuah parti maka ia adalah lebih baik untuk umat Islam di negara ini. Apa yang dicadangkan pendakwah hebat itu adalah bukti bahawa beliau amat mementingkan ukhuwah dan perpaduan umat Islam.

Pertemuan beliau dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak (Presiden UMNO); Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Presiden PAS, Datuk Seri Hadi Awang menggambarkan bahawa pendakwah itu percaya kedua-dua pemimpin itu sedia bekerjasama.

Tidak perlu berdolak-dalik

Pemimpin UMNO dan PAS tidak perlu lagi bersikap tunggu dan lihat dan tidak perlu berdolak-dalik untuk duduk semeja bagi memulakan langkah ke arah kebaikan bersama. Mereka harus sepakat dalam isu ini seperti kata perumpamaan 'serumpun bagai serai, selubang bagai tebu'.

Langkah muzakarah patut dimulakan dan biarlah sesi muzakarah itu umpama 'memerah nyiur; santan diambil, hampanya dibuang'.

Jauhi sikap 'cakap sejengkal dibawa sehasta' - perkara kecil diperbesar-besarkan - nanti pekerjaan 'umpama gulai sedap, nasi mentah'. Hakikatnya, untuk menjadikan usaha makruf ini menjadi realiti, maka dua parti itu tidak perlu lagi bertelingkah disebabkan dendam masa lalu.

PAS tidak perlu rasa ia lebih Islamik dan UMNO pula harus menerima PAS yang asalnya lahir dari 'rahim' atau kandungannya sendiri. Bukankah ini juga menepati dengan saranan yang pernah dianjurkan oleh Presiden PAS sendiri mengenai gagasan kerajaan perpaduan suatu ketika dulu?

Sampai bila kita mahu berbalah sedangkan ramai pendakwah hebat bertaraf antarabangsa seperti Ahmad Deedat, Dr Zakir Naik dan ramai lagi sentiasa mengajak umat Islam bersatu dan elakkan perbalahan. Usah jadikan politik punca perbalahan. Sebaliknya gunakan politik sebagai alat membina perpaduan dan permuafakatan orang Melayu demi menjaga kemaslahatan umat dan kedaulatan Islam di negara ini.

Demi kebaikan ummah

Kita yakin, PAS yang berpegang dengan pendekatan 'Budaya Politik Matang Sejahtera' bersedia bekerjasama dengan UMNO. Walaupun, keputusan Majlis Syura Ulama PAS yang bersidang pada 2 Januari 2016 menegaskan 'PAS tidak akan menyertai Barisan Nasional', namun itu bukan bermakna kerjasama dengan UMNO tidak boleh dilakukan demi kebaikan ummah di negara ini.

UMNO dan PAS sewajarnya menghayati suruhan al-Quran yang mengajarkan kita sentiasa bekerjasama dan tolong menolong dalam perkara kebaikan dan ketakwaan seperti maksud firman Allah SWT: "Dan hendaklah kamu bekerjasama untuk melaksanakan kebajikan dan bertakwa, dan janganlah kamu bekerjasama pada melakukan dosa (maksiat) dan permusuhan dan bertakwalah kepada Allah, kerana sesungguhnya Allah Maha Berat azab seksaNya bagi sesiapa yang melanggar perintahNya" (Surah Al Maidah: 2).

Memang perpaduan umat Islam yang kuat tidak akan disenangi oleh musuh Islam dalam dan luar. Justeru akan ada usaha pihak terbabit mencari jalan menggagalkan usaha makruf itu.

Apa pun, jika langkah kita dimulakan dengan niat baik dan ikhlas, maka kita yakin usaha jahat musuh tidak akan beri kesan kepada kita. Yakinlah, dengan niat yang betul dan keikhlasan yang jitu, maka mereka tidak boleh memadamkan cahaya agama Islam.

Penulis ialah penganalisis media di Bahagian Penerbitan Dasar Negara, Jabatan Penerangan Malaysia

Berita Harian X