Jumaat, 4 March 2016 | 6:42am

Ahli UMNO mesti waras atasi kemelut

KEKUATAN UMNO selama ini bergantung kepada keupayaan semua pemimpin serta ahlinya mempertahankan perpaduan.

Sebarang tindakan atau perselisihan yang boleh memporak-perandakan parti dihadapi dengan tenang dan usaha mengatasinya dilakukan segera supaya parti tidak menerima kesannya.

Cogan kata parti terbesar Melayu itu, 'Bersatu, Bersetia, Berkhidmat' sentiasa dihayati bagi memastikan perpaduan dan keutuhan parti terus kekal. Penghayatan terhadap cogan kata inilah yang menjadi rahsia UMNO terus kekal sebagai tulang belakang kerajaan Barisan Nasional (BN).

Selama kewujudannya di persada politik tanah air, parti keramat itu berjaya mengharungi pelbagai rintangan dan cabaran sama ada cabaran dalaman mahupun dari luar parti. Sejarah UMNO mencatatkan bahawa setiap kali masalah melanda, pemimpin dan ahli akan terus bersatu, setia kepada parti dan pemimpin yang menerajuinya.

Parti diharam pada 1988

Cabaran dan dugaan paling besar pernah dihadapi UMNO ialah apabila parti itu diharamkan pada 1988. Kesan daripada pengharaman itu menyebabkan Tun Dr Mahathir Mohamad gugur jawatan sebagai Perdana Menteri Malaysia dan berlaku kekosongan 'Perdana Menteri Malaysia' buat beberapa hari. Tun Mahathir menyerahkan tugas Pengerusi BN kepada Presiden MCA ketika itu, Tun Ling Liong Sik sehingga UMNO baharu ditubuhkan.

Walaupun UMNO diharamkan ketika itu, kekuatan perpaduan pemimpin dan ahli parti yang setia masih terserlah sehingga parti itu berjaya ditubuhkan kembali.

Sejarah UMNO juga mencatatkan bekas Presiden UMNO seperti Datuk Onn Jaafar dan Tunku Abdul Rahman keluar parti kerana kepentingan dan masalah peribadi juga tidak menjejaskan kelangsungan parti itu. Ini disebabkan wujudnya perpaduannya kukuh, di samping keupayaan UMNO untuk terus berkhidmat kepada rakyat.

Terbaru, Tun Mahathir bersama isteri, Tun Dr Siti Hasmah Ali mengisytiharkan keluar parti. Oleh sebab Tun Mahathir dilihat negarawan yang dihormati dan pengaruhnya masih dirasai maka sedikit sebanyak tindakannya itu boleh memberi kesan kepada UMNO-BN. Dalam berhadapan situasi ini, pemimpin dan ahli parti perlu menggunakan kematangan dan kewarasan supaya UMNO terus dipertahankan dan kekal menjadi wadah kepada perjuangan bangsa dan agama.

Pemimpin dan ahli parti mesti terus beri sokongan dan membantu presiden mempertahankan kekuatan parti dengan berpegang kepada prinsip ukhuwah. Presiden UMNO, Datuk Seri Najib Razak pernah menyebut bahawa kejayaan parti itu berhadapan segala bentuk cabaran bukan sahaja disebabkan kebijaksanaan pemimpinnya tetapi ia juga disebabkan adanya perpaduan dan kesetiaan ahli parti terhadap pucuk pimpinan.

Justeru, dalam berhadapan tindakan Tun Mahathir, pemimpin dan ahli UMNO tidak boleh berpecah belah. Sebenarnya, Tun Mahathir pernah keluar parti pada 2008 kerana tidak berpuas hati dengan Perdana Menteri ketika itu, Tun Abdullah Ahmad Badawi.

Ketika Tun Mahathir berada di luar UMNO pada zaman Tunku Abdul Rahman dan Tun Abdullah, beliau tidak pernah menyertai parti lain walaupun beliau beberapa kali bercakap di pentas PAS, malahan DAP.

Sungguh pun begitu, UMNO tidak terkesan dengan peristiwa itu. Parti terbesar Melayu itu terus diberi mandat mentadbir negara ini. Kuncinya ialah penghayatan terhadap perpaduan.

Berita Harian X