Selasa, 23 Februari 2016 | 7:08am

UMNO penyatu pelbagai etnik Bumiputera Sabah

WALAUPUN berstatus adik bongsu, UMNO Sabah sentiasa memberi sumbangan besar kepada UMNO keseluruhannya apabila konsisten menyumbang kemenangan kepada Barisan Nasional (BN) pada pilihan raya umum (PRU), selain diterima semua kelompok masyarakat Bumiputera di negeri itu, termasuk bukan Islam.

UMNO bertapak secara rasmi di Sabah pada 21 Februari 1991 dan tidak lama selepas itu meraih kerusi pertamanya di Dewan Undangan Negeri (DUN) Usukan dalam Parlimen Kota Belud menerusi pilihan raya kecil pada 11 Mei 1991.

Pilihan raya kecil itu diadakan selepas DUN Sabah mengisytiharkan kekosongan kerusi berkenaan pada 18 Mac 1991 berikutan wakilnya, Allahyarham Tun Datu Mustapha Datu Harun meletak jawatan daripada USNO dan menyertai UMNO.

UMNO makin kukuh

UMNO Sabah semakin kukuh apabila diberi kepercayaan mentadbir negeri pada 1994 dan tidak pernah mengecewakan BN apabila meraih hampir setiap kerusi ditandingi, termasuk ketika pencapaian BN di Semenanjung merosot pada dua PRU lalu.

Malah, terbukti keahlian UMNO Sabah yang genap berusia 25 tahun hari ini daripada pelbagai suku, termasuk sebahagian kelompok Sino-Kadazan.

Contohnya, UMNO Bahagian Penampang diketuai pemimpin berketurunan Kadazan, iaitu Datuk John Ambrose, selain Timbalan Speaker Dewan Rakyat, Datuk Seri Dr Ronald Kiandee yang sejak empat penggal lalu menjadi Ahli Parlimen Beluran, manakala Datuk Rubin Balang sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kemabong dan Ketua UMNO Tenom.

Ronald berkata, parti itu yang kini diketuai Pengerusi Badan Perhubungannya, Datuk Seri Musa Aman, memberi tempat yang baik dan peluang sama rata kepada masyarakat Bumiputera Sabah, termasuk bukan Islam.

Katanya, UMNO berjaya menyatupadukan Bumiputera Sabah tanpa mengira etnik dan agama berbanding pembabitan persatuan berasaskan etnik dalam politik sebelum kemasukan UMNO ke negeri ini.

Bukan Islam makin yakin

"Sebelum ada UMNO di Sabah, persatuan berasaskan etnik dilihat menjadi tonggak kepada politik, namun berubah selepas kemasukan UMNO yang mana persatuan cuma ke arah kebudayaan.

"Ia jelas menunjukkan UMNO mampu menyatupadukan rakyat pelbagai etnik dan saya harap parti ini terus merangsang Bumiputera bukan Islam dalam membangunkan negeri," katanya kepada BH, semalam.

Ketua Penerangan Pemuda UMNO yang juga Ketua Pemuda UMNO Tenom, Jamawi Jaafar, berkata setiap tahun keahlian parti itu daripada etnik Kadazandusun dan Murut berlainan agama dari Penampang, Tenom, Ranau, Pensiangan dan Beluran, meningkat.

Katanya, kelompok pelbagai suku dan bukan Islam negeri ini semakin yakin dengan kemampuan UMNO yang menunjangi BN untuk membawa kemakmuran kepada rakyat.

Rakyat makin matang

"UMNO sendiri tidak meragui kesetiaan mereka, malah mengubah Perlembagaan, iaitu menerima keahlian Bumiputera. Mereka diberi kepercayaan oleh pucuk pimpinan, sama ada mengendalikan mesyuarat, berjumpa rakyat dan peruntukan bagi program keagamaan.

"Masyarakat negeri ini semakin matang dan tidak lagi sangsi kepada UMNO berbanding awal penubuhannya di negeri ini yang mana persepsi mereka ketika itu, masuk UMNO mesti beragama Islam," katanya.

Berita Harian X