Rabu, 16 Disember 2015 | 5:44am

Perkasa ummah, pertahan idea pemikiran Islam

ERA baharu yang sarat dengan pembaharuan fizikal dan material, mendatangkan cabaran besar ke atas pemikiran Islam.

Pemikiran Islam perlu dijaga dan diperkasa daripada sebarang bentuk noda kerana ia adalah asas kepada pembentukan peradaban Islam. Sekiranya kabur pemikiran Islam, maka akan malaplah peradaban Islam. Sekiranya tiada pemikiran Islam, lenyaplah hasrat membina peradaban Islam.

Secara tradisinya istilah pemikiran Islam ini bukanlah wujud secara harfiah dalam al-Quran atau pun al-Hadith, tetapi istilah ini dikenali ketika berkembangnya cabaran terhadap Islam. Dan istilah itu dilahirkan dalam perjuangan pemikir dan ulama Islam terdahulu ketika Islam sudah sarat dalam kemunduran. Istilah ini juga diperkenal bagi mengimbangi perkembangan tamadun atau pemikiran Barat.

Ringkasnya istilah pemikiran Islam itu diperkenal bagi tujuan menjaga peradaban Islam supaya tidak tergugat dengan pembangunan peradaban lain. Pemikiran Islam umumnya adalah pemikiran atau penilaian yang dibuat menurut pandangan atau sudut pandang Islam. Ringkasnya juga pemikiran Islam itu mengandungi tiga unsur, iaitu fakta, hukum dan hubungan antara fakta dan hukum.

Pemikiran Islam jadi sasaran

Pemikiran Islam ini wujud dalam dua ruang lingkup yang luas, iaitu, dalam soal akidah atau hal bersifat ketuhanan dan juga amal syariah. Dalam kata lain, pemikiran Islam membabitkan persoalan berkaitan kepercayaan Islam dan amalan kepada kepercayaan Islam.

Pemikiran Islam dalam kedua-dua aspek ini telah menjadi sasaran dalam beberapa agenda barat seperti agenda hiburan, liberalisme, kesamarataan antara agama dan agenda hak asasi yang berbentuk human rightism atau ideologi hak asasi yang mengetepikan peranan agama, terutama dalam hal-hal yang membabitkan gender atau orientasi seks.

Cabaran, bahkan ada yang menganggap sebagai ancaman kepada pemikiran Islam ini telah menjadi tajuk utama pelbagai bahan bacaan serius ketika ini. Atas kacamata apa yang kita lihat, sama ada cabaran pemikiran ini semata-mata cabaran, atau ia juga adalah ancaman ke atas pemikiran Islam, apa yang pasti ialah, kita tidak boleh biarkan ia berterusan. Walaupun secara umumnya cabaran sebegini bukanlah perkara baharu kerana ia telah berlangsung ketika Barat melakukan penjajahan fizikal ke atas negara-negara Islam.

Ketika era penjajahan fizikal ke atas negara-negara Islam, penerapan cara pemikiran Barat sudah dikembangkan secara sistematik menerusi sistem pendidikan. Setelah ratusan tahun menjajah secara fizikal, cara berfikir atau pemikiran umat Islam juga berjaya diubah dan secara langsung dipengaruhi dengan kukuh sekali cara pemikiran Barat. Sehingga kini cara berfikir dalam pemikiran Barat, menjadi sebati. Kesannya dapat dilihat dan dirasai sehingga kini.

Pelbagai cabaran, ancaman

Masyarakat negara kita juga tidak terkecuali daripada kesan itu. Kita melihat perkembangan semasa dalam negara, ia bukan mudah menanam pemikiran Islam secara total kerana kelangsungan kesan pemikiran Barat ke atas golongan yang mendapat pendidikan dalam sistem Barat itu masih lagi ketara di persada khalayak walaupun tidak semua mereka itu begitu.

Belum lagi bersih daripada kesan penjajahan fizikal dan kesan sistem pendidikan barat, umat Islam perlu menghadapi cabaran pemikiran cara baharu. Cabaran baharu ini lebih serius kerana ia bukan sahaja membabitkan pemikiran hal-hal fizikal, malah bersifat pemikiran berkaitan ketuhanan atau bersifat akidah.

Walaupun cabaran atau ancaman ke atas akidah umat Islam juga berlaku dahulu, tetapi kini ia amat ketara kerana agenda memisahkan agama berlaku dalam pelbagai wadah. Selain itu, mekanisme penyebaran pemikiran Barat itu juga begitu mudah berada dalam persada umum apabila jaringan internet menguasai massa. Kelangsungan pemikiran Barat yang ditanam melalui sistem pendidikan Barat juga menjadikan cabaran baharu itu, mudah memasuki aliran pemikiran umat Islam.

Umat Islam kini sedar, bahkan amat menyedari cabaran atau ancaman pemikiran Islam. Gerakan memperkasa ummah sebagaimana seruan pimpinan hendaklah diambil peluang oleh seluruh umat Islam negara ini. Seruan itu tidak patut dianggap sebagai seruan politik atau semata-mata agenda politik. Ia adalah seruan dan agenda perjuangan ummah. Kesediaan pimpinan hendaklah dijadikan landasan untuk umat Islam memperkasa perjuangan untuk memelihara dan memperkasa pemikiran Islam.

Penulis ialah Felo Utama Kajian Syariah, Undang-Undang dan Politik, Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM)

Berita Harian X