Ahad, 29 November 2015 | 7:37am

Pragmatisme Sarawak gunakan bahasa Inggeris

BAGI pencinta dan penggiat bahasa Melayu, perkembangan minggu lalu merisaukan. Adakah ini ekoran sentimen dan gerakan 'Sarawak untuk orang Sarawak' dan tuntutan autonomi yang semakin lantang kebelakangan ini? Sejak pembentukan Malaysia, beberapa bulan lalu menyaksikan, perubahan dan perkembangan yang tidak pernah terjadi.

Untuk kali pertama, seorang Ahli Parlimen bagai mencabar kedudukan bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi apabila mendesak bercakap dalam bahasa Inggeris di Dewan Rakyat. Justifikasi beliau, perkara ini dijamin di bawah Perlembagaan, selepas Sarawak ambil keputusan sama-sama menubuhkan Malaysia pada 1963.

Mengapa tuntutan bercakap dalam bahasa Inggeris di Parlimen tiba-tiba menggelegak? Adakah tindakan Ahli Parlimen DAP Bandar Kuching, Chong Chien Jen, itu ekoran semangat nasionalisme Sarawak yang kini kian berkembang? Chong tahu, sebahagian rakyat Sarawak menyokong tindakan beliau. Kini, apa-apa tindakan yang dianggap memperjuangkan kepentingan Sarawak, pasti dianggap positif. Sebaliknya, tindakan atau kenyataan berlawanan daripada sentimen dan pendirian arus perdana berkenaan, dianggap kurang pintar.

Utamakan bahasa kebangsaan

Dalam keadaan demikian, apakah peluang terbaik menguji hak orang Sarawak? Ahli Parlimen itu, hanya mahu melihat, sejauh manakah hak orang Sarawak itu dapat dilaksanakan? Tetapi, mengapa sekarang? Perlu diingatkan, sementara kita punyai hak menuntut hak dari segi penggunaan bahasa Inggeris di Parlimen, jangan lupa bahawa seorang Ahli Parlimen berjiwa besar tentu akan utamakan bahasa rasmi dan bahasa kebangsaan negara, iaitu bahasa Melayu.

Apakah kita perlu guna bahasa Inggeris di Parlimen selepas lebih 50 tahun kemerdekaan dan pembentukan Malaysia? Adakah negara lain seperti Indonesia, Jepun, Korea, Thailand, China, Jerman, Perancis, dan sebagainya membenarkan ahli politiknya menggunakan bahasa lain selain bahasa kebangsaan di Parlimen atau dewan mereka? Apakah amalan di sebahagian besar dunia yang punya bahasa kebangsaan?

Ahli Parlimen punyai banyak peluang di luar Parlimen untuk guna bahasa Inggeris. Saya tidak percaya Chien Jen dan rakan beliau daripada DAP, tidak fasih dalam bahasa itu. Peraturan Mesyuarat menyatakan dengan jelas, bahasa rasmi di Dewan Rakyat ialah bahasa Melayu. Namun, bahasa Inggeris boleh digunakan dengan meminta izin Speaker.

Justeru, mengapakah Ahli Parlimen tiga penggal sejak 2004 itu, berkeras mahu gunakan bahasa Inggeris, tanpa pedulikan Peraturan Mesyuarat, sedangkan selama ini beliau berucap dalam bahasa Melayu? Adakah Chong sengaja memprovokasi dan menguji? Adakah Chien Jen cuba menangguk di air keruh? Beliau anggap, sejak pembentukan Malaysia, keistimewaan dan hak rakyat Sabah dan Sarawak, sering diketepikan. Justeru, beliau menegaskan menjadi keistimewaan dan hak Ahli Parlimen Sabah dan Sarawak, untuk guna bahasa Inggeris di Dewan Rakyat. Disebabkan tindakannya itu, di media sosial, beliau diserang golongan yang anggap tindakannya tidak hormati bahasa Malaysia. Malah, video beliau gagap berbahasa Inggeris menjadi viral dan menjadi bahan lawak.

Isu kedua yang merisaukan penggiat dan pencinta bahasa, tentunya langkah drastik Ketua Menteri mengisytiharkan bahasa Inggeris sebagai satu daripada bahasa rasmi sehingga ada meminta beliau kaji semula. Dari segi sejarah, kerajaan campuran pada 1971 menggalakkan penggunaan bahasa Malaysia di Sarawak. Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak luluskan usul penggunaan bahasa Melayu, selain bahasa Inggeris, sebagai bahasa rasmi dalam urusan pentadbiran, pada tahun 1974. Kemudian pada 17 Mei 1985, DUN membahaskan isu penggunaan bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi tunggal, sebelum mengisytiharkannya di DUN. Jika pada 1974 dan 1985, DUN buat keputusan, mengapakah kali ini Ketua Menteri, tidak perlu kembali kepada DUN bagi putuskan dasar sepenting itu?

Adenan mahu bersikap pragmatik

Adenan akui, pendirian beliau itu menghiris perasaan sebahagian nasionalis yang menuduh beliau antinasionalis dan antipatriotik. Beliau hanya mahu bersikap pragmatik. Tetapi jangan sampai kedudukan dan penggunaan bahasa Melayu dipinggirkan. Tidak ada sesiapa nafi kepentingan bahasa Inggeris yang bukan satu-satu bahasa yang boleh bawa kemajuan. Kita perlu kuasai bahasa Inggeris dan bahasa Melayu, pada tahap tinggi, bukan tahap rendah. Adenan harus jadi contoh. bahasa Inggeris, lisan dan tulisan Adenan, ada kelas.

Untuk itu, banyak kursus diperlukan bagi pastikan penjawat awam Sarawak pintar berbahasa Inggeris. Biar bahasa Inggeris mereka berkelas dunia. Amat memalukan jika bahasa Inggeris menteri dan penjawat awam kanan, lemah, tetapi tentu lebih memalukan jika bahasa Melayu mereka lemah.

Namun, jangan sampai ada yang seperti kaduk naik junjung selepas ini, kerana ambil kesempatan daripada ruang yang diberi. Jangan sampai, siswazah Bumiputera dari luar bandar tidak punya peluang berkhidmat dalam sektor awam di Sarawak, hanya kerana bahasa Inggeris mereka tiada kelas.

Berita Harian X