Isnin, 7 September 2015 | 7:50am

Tak bayar PTPTN umpama mencuri hak orang lain

Bayarlah! Jika tak mampu banyak, bayarlah ikut yang termampu. Apa yang penting pada setiap bulan bayar. Itulah yang patut dilakukan oleh setiap peminjam Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) apabila mereka menamatkan pengajian.

Jika mengikut syarat ditetapkan PTPTN, peminjam perlu mula membuat ansuran bayaran balik selepas tempoh enam bulan mereka tamat belajar. Bagaimanapun, dalam kes tertentu seperti kesukaran peminjam mendapatkan pekerjaan, mereka boleh memohon penangguhan sehingga tempoh maksimum 24 bulan.

Rasanya syarat yang dikenakan oleh PTPTN itu adalah munasabah. Dengan pendidikan yang ada, tempoh 24 bulan adalah memadai bagi seseorang graduan itu mendapatkan pekerjaan atau memulakan apa-apa juga perniagaan. Namun, malangnya statistik dikeluarkan PTPTN agak mengecewakan. Daripada seramai 1.8 juta peminjam yang sepatutnya sudah mula membuat pembayaran balik pinjaman masing-masing, lebih 600,000 dikesan tidak pernah membuat sebarang bayaran.

Bagi 'menyedarkan' peminjam ingkar berkenaan mengenai tanggungjawab mereka, PTPTN menerusi kerjasama Jabatan Imigresen bertindak dengan menyekat mereka daripada ke luar negara. Peminjam ingkar ini juga tidak boleh memohon atau memperbaharui pasport sehingga mendapat pelepasan daripada PTPTN. Ada juga nama peminjam yang sudah dirujukkan kepada Sistem Maklumat Rujukan Kredit (CCRIS). Mungkin ada dalam kalangan peminjam ingkar itu akan berkata: "Peduli apa nama disenarai hitam. Bukan nak keluar negara pun." Ada juga yang mungkin berkata: "Bukan banyak pun pinjamannya. Nanti bila-bila ada duit boleh bayar sekali gus." Namun, dalam hal ini bukan tindakan yang mahu ditekankan, tetapi kesedaran mengapa perlu dibayar balik pinjaman itu. Bagi yang berkata pinjaman diambil tidak sebanyak mana, mereka mungkin tidak melihat secara menyeluruh. Tunggakan pinjaman mereka secara individu mungkin kecil hanya RM10,000 atau RM15,000, tetapi apabila dicampur dengan peminjam ingkar yang lain jumlahnya adalah besar.

Mengikut statistik PTPTN, jumlah tunggakan bayaran ansuran 600,000 peminjam ingkar itu adalah berjumlah RM4.8 bilion. Ia hampir sama dengan anggaran jumlah dana tahunan yang diperlukan PTPTN untuk membiayai pinjaman pendidikan yang merangkumi kos yuran dan sara hidup pelajar di universiti awam (UA) dan institusi pengajian tinggi swasta (IPTS), iaitu kira-kira RM5 bilion. Ini bermakna pembayaran balik oleh setiap peminjam adalah sangat penting bagi memastikan PTPTN terus mempunyai dana mencukupi untuk menyalurkan pinjaman kepada pelajar lain yang akan melanjutkan pengajian di IPT. Tidak dinafikan mungkin ada segelintir yang ingkar itu sememangnya benar-benar tidak mampu kerana faktor yang tidak dapat dielakkan yang mana dalam kes sebegini PTPTN tentu mempunyai budi bicara untuk membantu mereka. Tetapi, dalam banyak kes peminjam ingkar ini sebenarnya mampu kerana dikesan turut mempunyai pinjaman lain seperti kenderaan dan juga perumahan. Mungkin bagi mereka membayar balik pinjaman PTPTN adalah tidak penting berbanding keperluan lain. Kepada peminjam sebegini, janganlah hanya melepaskan tengkuk sendiri. Ingatlah juga orang lain yang memerlukan. Kegagalan mereka untuk membuat bayaran balik pinjaman itu samalah halnya seperti mencuri hak orang lain yang mungkin adik, saudara mara, malah mungkin juga anak mereka sendiri pada masa depan.

Berita Harian X