Khamis, 2 Julai 2015 | 7:30am

Tribunal cara terbaik selesaikan kes MH17 

Selepas insiden pesawat Penerbangan Malaysia MH17 ditembak jatuh di Ukraine pada 17 Julai 2014 lalu, saya pernah menyatakan bahawa cara terbaik menyelesaikan insiden ini ialah pihak bertanggungjawab menembak jatuh pesawat itu dibawa ke muka pengadilan melalui tribunal.

Sebuah tribunal pengadilan haruslah dibentuk oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB). Tribunal itu haruslah terus mengkhusus kepada perbicaraan undang-undang antarabangsa ke atas kes penembakan jatuh pesawat MH17.

Meskipun PBB sudah mempunyai Mahkamah Jenayah Antarabangsa (MJA) yang juga boleh mengadili kes MH17, MJA memerlukan pengiktirafan negara dan diterima sebagai sebahagian perundangan tempatan sebelum pengadilan boleh dilakukan. Tidak semua negara mengiktiraf MJA. Negara yang terbabit dengan insiden ini ialah Belanda dan Australia adalah negara yang mengiktiraf MJA. Negara lain seperti Russia, Ukraine dan Malaysia belum mengiktiraf MJA termasuk Amerika Syarikat (AS).

Penubuhan tribunal adalah jalan terbaik menyelesaikan kes ini dan pihak yang bersalah dibawa ke muka pengadilan. Tribunal sebegini juga pernah ditubuhkan untuk mengadili jenayah pembunuhan kaum dan jenayah perang di Bosnia-Herzegovina dan Rwanda pada tahun 1990-an. Di samping itu, komitmen penubuhan tribunal ini sedang rancak dilakukan oleh lima negara penyiasat MH17 iaitu Australia, Malaysia, Belanda, Ukraine dan Belgium. Malah Menteri Luar Australia, Julie Bishop menyatakan Kerajaan Australia akan memberi komitmen untuk mewujudkan tribunal ini.

Belanda syor tubuh tribunal

Cadangan penubuhan tribunal ini dikemukakan oleh Belanda yang berasakan tiada pilihan perundangan lain yang terbaik selain mewujudkan tribunal ini. Tribunal ini haruslah mendapat sokongan dan kelulusan Majlis Keselamatan PBB. Namun, untuk menjadikan tribunal ini berkesan, Russia harus bersama-sama kelima-lima negara penyiasat tadi untuk terbabit di dalam pembentukan tribunal itu. Setakat ini, Russia belum menyatakan pendirian terhadap penubuhan tribunal ini.

Seperti diketahui sebelum ini, negara Ukraine dan Barat saling tuduh menuduh dengan pihak Russia mengenai siapa bertanggungjawab menembak jatuh pesawat itu. Pihak yang bertanggungjawab jika disabitkan oleh pihak tribunal, dijangkakan harus membayar pampasan kepada negara mangsa yang terbabit yang tidak diketahui jumlah sebenarnya. Di dalam kes Lockerbie yang diputuskan pada Oktober 2008, Libya membayar AS$1.5 bilion kepada semua pihak yang terbabit. Kes Lockerbie ini membabitkan pesawat Pan Am Penerbangan 103 yang terbang dari Frankfurt, Jerman ke Detroit, AS diletupkan oleh pengganas Libya di ruang udara Lockerbie, Scotland pada 21 Disember 1988, membunuh 243 penumpang dan 16 anak kapal.

Di dalam kes MH17, Ukraine dan Barat menuduh tentera Russia atau puak pemisah menembak jatuh menggunakan roket bumi ke udara kerana puak pemisah disokong Russia menguasai tempat pesawat berkenaan terhempas di timur Ukraine. Namun pembuat BUK iaitu roket sistem pertahanan udara melaporkan pada bulan ini, MH17 ditembak jatuh oleh roket versi lama yang tidak digunakan lagi oleh tentera Russia tetapi masih berada di Ukraine.

Oleh itu, pihak Ukraine dituduh sengaja menembak jatuh MH17. Namun hujah pembuat BUK itu agak lemah. Setelah AS menerajui sistem pengintipan satelit pada tahun 1990-an, operasi pesawat pengintip ketika Perang Dingin sudah dihentikan. Teknologi persenjataan BUK tidak dapat digunakan untuk menembak jatuh pesawat pengintip pada jarak lebih 30,000 kaki di udara. Yang jelas, peluru berpandu BUK yang diperoleh Russia dan Ukraine adalah simpanan senjata ketika Perang Dingin yang masih digunakan untuk tujuan ketenteraan lain termasuk menembak jatuh pesawat pejuang dan kargo tentera.

Berbalik kepada isu penubuhan tribunal, wakil tetap Malaysia ke PBB, Datuk Ramlan Ibrahim, menyatakan 'kami berharap dapat mengangkat resolusi draf itu pada peringkat Majlis Keselamatan PBB Julai ini. Kami berharap yang terbaik'. Malaysia sebagai negara yang tidak berpihak sama ada sebelah Russia atau Ukraine serta Barat, cuba berunding dengan Russia untuk menyokong resolusi ini dan seterusnya komitmen Russia untuk menyelesaikan kes ini.

Belanda pula menyatakan tribunal ini mesti direalisasikan. Perundangan alternatif tidak dapat dilakukan. Ukraine sebagai negara lokasi insiden berkenaan, tidak dapat menguatkuasakan undang-undangnya kerana pihak pemisah tidak mengiktiraf undang-undang Ukraine. Sistem perundangan Belanda juga tidak sesuai digunakan meskipun mempunyai peruntukan sejagat mengadili jenayah perang.

Malaysia sebagai negara milik pesawat MH17 pula terlalu jauh untuk menguatkuasakan undang-undangnya. Pilihan terbaik ialah sebuah tribunal yang diiktiraf PBB. Bagi Belanda, jika Russia tidak mahu menyokong draf penubuhan tribunal itu, pihak Belanda tiada pilihan untuk bersama-sama Kesatuan Eropah dan AS mengenakan sekatan ekonomi yang lebih teruk kepada Russia pada masa akan datang.

Penulis ialah Profesor Madya di Pusat Pengajian Antarabangsa, Universiti Utara Malaysia

Berita Harian X