Isnin, 25 Mei 2015 | 8:17am

Negara maju bagaimana kita mahu?

IBARAT lumba lari berganti-ganti, kini cuma tinggal pusingan terakhir lima tahun untuk kita mencapai sasaran menjadi negara maju menjelang tahun 2020. Ada teman bertanya, apa bezanya jika kita hidup dalam sebuah negara maju?

Apakah sama seperti kehidupan di Britain, Amerika Syarikat, Eropah atau Jepun? Indonesia pun berhasrat menjadi negara maju dan mahu mencapainya menjelang tahun 2025 - 2030. Tidak banyak sebenarnya negara maju.

Ada sekumpulan negara maju yang dipanggil negara perindustrian seperti Australia, Austria, Kanada, Perancis, Jerman, Itali, Jepun, United Kingdom dan Amerika Syarikat. Ada juga yang panggil kumpulan ini negara Utara. Pelbagai kriteria digunakan untuk menentukan sesebuah negara maju, antaranya pendapatan perkapita dan yang mempunyai Pendapatan Negara Kasar perkapita yang mencecah AS$15,000. Tetapi ada lagi kriteria tambahan diperkenalkan iaitu indeks pembangunan sumber manusia yang merangkumi sukatan ekonomi, pendapatan negara dengan langkah lain seperti jangka hayat penduduk serta kemajuan sektor pendidikan. Kriteria ini dipanggil penarafan sangat tinggi (HDI). Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) menyatakan HDI mengambil kira pendapatan atau produktiviti.

Misalnya, tidak seperti Pendapatan Negara Kasar perkapita atau pendapatan perkapita, HDI mengambil kira bagaimana pendapatan diubah kepada 'peluang pendidikan dan kesihatan' dan dengan itu, memasuki tahap pembangunan sumber manusia. Sejak tahun 1990, Norway (2001-2006, 2009-2013), Jepun (1990-91 dan 1993), Kanada (1992 dan 1994-2000) dan Iceland (2007-2008) mempunyai markah HDI tertinggi.

Sebenarnya, semua negara bermula dari sebuah negara miskin dan kemudian apabila merdeka, pendapatan bertambah, maka kehidupan rakyatnya juga sejahtera. Tetapi kekayaan, kesejahteraan dan bagaimana pembangunan dimajukan, berbeza antara negara. Begitu juga Malaysia dan kita membangun mengikut acuan sendiri. Pembangunan kita diolah berdasarkan rancangan lima tahun sekali, sejak Rancangan Malaysia Pertama (RMK1) diperkenalkan pada tahun 1966-1970 iaitu yang pertama memasukkan keperluan Sarawak dan Sabah. Sebelum itu, dikenali sebagai Rancangan Pembangunan Malaya dari tahun 1950-1955, Rancangan Pembangunan Umum (1956-1960) dan Rancangan Pembangunan lima tahun kedua (1961-1965). Rancangan Pembangunan Umum adalah pelan pembangunan pertama oleh kerajaan, dengan fokus pembangunan di kawasan luar bandar dan mempelbagaikan sumber negara. Ini diikuti rancangan lima tahun yang kedua, dengan tumpuan sekali lagi kepada pembangunan luar bandar, dalam usaha merapatkan jurang antara bandar dan luar bandar. Kini negara kita memasuki pelan pembangunan ke-11 iaitu Rancangan Malaysia Ke-11 (RMKe-11), pusingan pecutan terakhir untuk memasuki gelanggang negara maju. Apakah kita sudah bersedia untuk hidup dalam sebuah negara maju? Bagaimana gambaran Malaysia pasca 2020 nanti? Apakah kita sudah memenuhi atau menghampiri antara kriteria menjadi negara maju? Negara maju yang bagaimana kita mahukan? Segala perancangan dalam RMKe-11 seperti diumumkan Datuk Seri Najib Razak, berupaya untuk mencapai wawasan itu dengan syarat tiada tsunami ekonomi dunia untuk lima tahun akan datang.

Berita Harian X