Selasa, 24 Februari 2015 | 7:01am

Sasaran didik penjawat awam bebas rasuah

Pelbagai pihak mula berbicara mengenai perlunya peruntukan berkaitan salah laku penjawat awam. Di sesetengah negara ia dikenali sebagai malfeasance in office. Yang terbaharu pandangan dilontarkan Panel Penilaian Operasi Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mengenai keperluan diadakan undang-undang salah laku penjawat awam. Ia adalah langkah positif dan relevan dengan perkembangan semasa.

Peruntukan ini perlu diwujudkan bagi memastikan keberkesanan usaha mencegah rasuah di Malaysia. Ia akan membantu Kerajaan Pusat yang melaksanakan beberapa inisiatif penambahbaikan bagi mencegah rasuah. Undang-undang ini juga akan menaikkan imej negara pada peringkat antarabangsa. Ia akan memperlihatkan keseriusan dan komitmen kerajaan dalam menangani rasuah.

Sudah pasti apabila bercakap mengenai peruntukan salah laku penjawat awam tumpuan akan menghala ke arah model yang diamalkan Hong Kong dan Australia. Malaysia tidak semestinya menggunakan model negara berkenaan bulat-bulat. Ia boleh diubah suai mengikut acuan dan keperluan Malaysia.

Penjawat awam tidak perlu gerun dengan undang-undang ini jika diperkenalkan. Ia tidak bertujuan menganiaya, sebaliknya memandu mereka menjalankan tugas dan tanggungjawab dengan baik dan teratur.

Kita sedia maklum kekangan membawa anggota pentadbiran ke mahkamah dalam sesetengah kes di bawah undang-undang rasuah sedia ada. Contoh paling klasik adalah membabitkan masalah ketirisan dan pembaziran wang negara seperti didedahkan dalam Laporan Ketua Audit Negara.

Apabila Laporan Ketua Audit Negara dibentangkan, ada pihak mempersoalkan prestasi pengurusan kewangan perkhidmatan awam. Pelbagai tanggapan dan tohmahan negatif dikemukakan.

Memperkasa SPRM

Satu peruntukan baharu yang konkrit diperlukan agensi penguatkuasaan dan pencegahan ‎bagi membolehkan usaha pencegahan rasuah dilaksanakan dengan berkesan. Kita perlu serius dan komited membawa reformasi undang-undang yang relevan. Kita perlu memperkasakan SPRM menerusi reformasi undang-undang.

Peruntukan baharu ini bukan sahaja membantu meningkatkan keberkesanan SPRM, malah Jabatan Ketua Audit Negara yang berusaha memperbaiki sistem pengurusan kewangan agensi kerajaan. Peruntukan salah laku penjawat awam juga pasti akan menyumbang ke arah membantu menyelamatkan wang negara dan mengelakkan ketirisan.

Oleh kerana syor ini menimbulkan polemik, diharap semua pihak khususnya ahli politik menyokong saranan mewujudkan peruntukan salah laku penjawat awam.

Mengikut Panel Penilaian Operasi dan dua lagi badan bebas yang memantau SPRM - Jawatankuasa Khas Mengenai Rasuah dan Lembaga Penasihat Pencegahan Rasuah, undang-undang berkaitan salah laku perlu bagi membolehkan isu seperti ketirisan dan pembaziran dalam pengendalian kewangan agensi kerajaan diambil tindakan.

Jika mengambil kira pandangan panel itu, peruntukan ini penting bagi mengambil tindakan terhadap penjawat awam yang tidak berintegriti, amanah dan lewa dalam menjalankan tugas. Dalam kata lain, ia wajar disegerakan bagi membolehkan kita menangani isu berkaitan secara menyeluruh.

Difahamkan polemik sekarang adalah sama ada peruntukan ini perlu atau sebaliknya. Kedua, jika peruntukan ini merangkumi penjawat awam, adakah ia turut merangkumi anggota pentadbiran kerajaan seperti menteri. Sudah pasti hukuman jika disabitkan kesalahan juga menjadi persoalan.

Adakan dialog konstruktif

Adakah peruntukan salah laku penjawat awam perlu dipertimbangkan? Jawapannya wajar. Pertama, sesetengah kes membabitkan salah laku serius, yang bertentangan peraturan perkhidmatan sektor awam sehingga memudaratkan kepentingan rakyat, tidak dapat dibuktikan menerusi undang-undang berkaitan pencegahan rasuah. Justeru, perlukan undang-undang berbeza.

SPRM juga dari semasa ke semasa memberi nasihat yang dipanggil Laporan SPRM (LSPRM). Meskipun SPRM memberi syor dan pandangan dikenakan tindakan setimpal, adakala ia tidak sepadan dengan kesalahan atau pelanggaran yang dilakukan. Difahamkan tiada ikatan perundangan kukuh dalam perkara ini.

Pengenalan undang-undang ini juga akan membantu mengikis persepsi bahawa setiap pelanggaran peraturan awam berkaitan dengan rasuah. Orang ramai sendiri membuat tanggapan umum dan kadangkala beranggapan SPRM tidak mengambil tindakan di bawah Akta SPRM sedangkan tidak semua pelanggaran berakhir dengan dakwaan sebagai kes rasuah. Keadaan ini membawa imej negatif ke atas agensi penguat kuasa pencegahan rasuah itu.

Justeru, jika ada undang-undang yang membolehkan sesetengah kes dibawa ke mahkamah sebagai salah laku ketika menjawat kedudukan awam, sudah pasti ia memudahkan skop tindakan perundangan, pada masa sama meningkatkan kefahaman orang ramai, termasuk anggota pentadbiran awam.

Oleh kerana peruntukan disyorkan ini mencetuskan kegusaran banyak pihak, ada baiknya SPRM mengadakan perbincangan dengan semua pihak berkepentingan. Dialog konstruktif akan membolehkan pemahaman dan penerimaan semua pihak. Semangat peruntukan ini jika dilaksanakan akan membawa lebih banyak manfaat kepada rakyat dan negara dalam jangka panjang.

Penulis ialah Presiden Transparency International Malaysia

Berita Harian X