Rabu, 24 September 2014 | 4:47pm

Hujah mansuh Akta Hasutan tidak konkrit

MASYARAKAT kita kini secara luarannya agak serasi berkenaan undang-undang. Namun, jujurnya saya belum begitu pasti menganai golongan terbanyak. Undang-undang adalah subjek yang memerlukan pengetahuan khusus.

Persoalan teknikalnya tidak mudah digarap oleh masyarakat terbanyak. Mungkin benar sekiranya dikatakan hanya golongan 'elit' undang-undang di ruang 'urban' dan 'global', terutama peguam, dilihat begitu tinggi oleh khalayak mengenai perbahasan undang-undang.

Dalam perkembangan terbaharu, Akta Hasutan menjadi topik serius. Saya pernah menulis dalam ruangan ini bahawa hujah memansuhkan Akta Hasutan tidak konkrit. Tiada bukti Akta Hasutan ini tidak relevan lagi. Belum terbukti masyarakat kita akan aman sejahtera tanpa undang-undang yang mengawal tindakan luar batasan masyarakat majmuk. Belum pasti juga undang-undang yang akan menggantikannya menepati keperluan kita.

Saya tidak menolak fakta ada kalanya penggunaan Akta Hasutan menzahirkan tanda tanya atau dilihat mengongkong, contohnya golongan akademik atau mereka yang berautoriti, untuk menyampaikan pendapat profesional mereka. Tetapi kita perlu ambil perhatian, Akta Hasutan tidak menafikan hak dianggap tidak bersalah. Justeru, ia tidak bercanggah dengan falsafah pentadbiran keadilan.

Kebebasan suara bukan mutlak

Persoalan mengenai penggunaannya bukan hujah konkrit untuk menolak kerelevanan Akta Hasutan. Pastinya Akta ini diperlukan sekiranya hasutan benar berlaku, umpamanya gerakan pemisahan atau pengapian permusuhan kaum atau agama. Hujah bagi pemansuhan Akta Hasutan, antara lain ialah, ia menyekat kebebasan bersuara. Memang benar kebebasan bersuara penting dalam demokrasi, namun ia bukanlah kebebasan mutlak. Kebebasan ini terikat dengan syarat yang jelas dalam Perlembagaan, termasuk keselamatan negara dan ketenteraman awam.

Dalam konteks ini saya berpendapat hujah pemansuhan Akta Hasutan itu belum lagi konkrit kerana tiada perkara menunjukkan 'kecenderungan menghasut' itu tidak menepati syarat atau satu daripada syarat dalam Perlembagaan. Dengan kata lain, Akta Hasutan ini tidak bercanggah Perlembagaan Persekutuan.

Isu perkenan majlis raja-raja untuk pindaan atau pemansuhan Akta Hasutan adalah persoalan undang-undang yang perlu diperkata, dibahas dan diputuskan di Mahkamah. Ini adalah antara isu undang-undang yang dibawa oleh Majlis Peguam dalam hujah mereka bagi pemansuhan Akta Hasutan. Mereka berhujah, perkenan Majlis Raja-Raja menurut Perkara 159(5) tidak diperlukan. Saya berpendirian ia memerlukan perkenan Majlis Raja-Raja menurut Perkara 159(5) itu.

Pemahaman lebih mendalam

Saya fikir masyarakat memerlukan pemahaman lebih mendalam mengenai isu ini. Bagi maksud itu, undang-undang yang diluluskan sebelum merdeka dinamakan Enakmen. Undang-Undang yang diluluskan ketika darurat dinamakan Ordinan, manakala undang-undang yang diluluskan selepas merdeka (bukan dalam keadaan darurat) dinamakan Akta. Undang-undang, sebelum merdeka (Enakmen) atau yang diluluskan ketika darurat (Ordinan), boleh disemak semula oleh Parlimen. Selepas disemak semula dan diluluskan oleh Parlimen, Enakmen atau Ordinan itu menjadi Akta. Walaupun Akta Hasutan itu asalnya Enakmen (Enakmen 13/1939), kemudiannya Ordinan (Ordinan 14/1948) yang diluluskan sebelum merdeka, ia disemak semula dan diluluskan, menjadi Akta 15/1970 dengan nama Akta Hasutan, beroperasi mulai 14 April 1970.

Persoalannya, adakah Akta Hasutan ini masih undang-undang sebelum Merdeka selepas dijadikan Akta pada tahun 1970? Tambahan pula, pengisian akta itu, terutama Seksyen 3(f) disesuaikan dengan kehendak Perkara 10(4) Perlembagaan. Pada pendapat saya ia adalah akta yang diluluskan selepas merdeka, bukan lagi undang-undang sebelum merdeka.

Sebagai pilihan, kalaupun ia masih undang-undang sebelum merdeka, akta itu hendaklah diselaraskan dengan Perlembagaan menurut Perkara 162. Justeru, pindaan atau pemansuhan Akta Hasutan tertakluk kepada Perkara 159(5) dan hendaklah mendapat perkenan Majlis Raja-Raja. Dalam keadaan semasa, adakah kita pasti 'hasutan' tidak berlaku?

Pengalaman negara lain hendaklah dijadikan teladan dan sempadan. Kita tidak boleh terlalu ideal dalam hal sebegini kerana sesungguhnya tiada nilai universal berkenaan jaminan kestabilan sesebuah negara, termasuklah negara kita. Undang-undang keselamatan perlu dicorak mengikut keperluan kita.

Penulis ialah Felo Utama di Pusat Kajian Syariah, Undang-Undang dan Politik Institut Kefahaman Islam Malaysia

Berita Harian X