Rabu, 10 September 2014 | 5:08am

Kita antara bangsa merdeka bernasib baik

Kita masih dalam semangat hari kemerdekaan. Tidak boleh tidak dalam semangat kemerdekaan ini kita mengiringi sambutan dengan meningkatkan pengiktirafan kepada Perlembagaan. Pada pengamatan saya, kesedaran rakyat Malaysia untuk lebih mengenali dan mengambil peduli mengenai Perlembagaan hendaklah ditambah baik. Perlembagaan menjadi dokumen terpenting dalam meneruskan dan mengisi serta menjamin kelangsungan kemerdekaan dan kedaulatan negara.

Walaupun Perlembagaan digubal dan diluluskan lebih kurang 57 tahun lalu, ia masih tetap relevan untuk kemakmuran negara. Sedar atau tidak sedar Perlembagaan kita ini bukan sebulatnya dibuat dan diluluskan pada masa kemerdekaan. Perlembagaan 1957 diisi dengan inti pati Perjanjian Persekutuan Tanah Melayu 1948.

Menyebut mengenai Perjanjian Persekutuan Tanah Melayu, dari segi sejarah, ia dibuat atas kegagalan gagasan Malayan Union yang cuba merobohkan struktur Tanah Melayu. Hasil daripada tentangan terhadap Malayan Union itu, British mencadangkan kepada wakil bangsa Melayu dan Raja-Raja Melayu untuk membentuk sebuah perjanjian.

Seterusnya satu deraf cadangan perjanjian diwarkan pada tahun 1946. Perbahasan mengenai pengisian perjanjian terbabit agak menyeluruh di mana pelbagai pihak telah menyuarakan pandangan masing-masing. Keadaan ketika itu bukanlah mudah, ditambah payah dengan adanya kegiatan komunisme.

Walaupun keadaan agak payah serta liku yang tajam, persetujuan telah dicapai dan terbentuklah Perjanjian Persekutuan Tanah Melayu 1948. Berkaitan Perlembagaan Persekutuan yang digubal sempena kemerdekaan Tanah Melayu pada tahun 1957, apa yang ingin saya sampaikan ialah pengisiannya bukan dibahas dalam masa singkat antara tahun 1956 hingga 1957 sahaja. Ia telah lama dibincang dan dibahas, bahkan dibicarakan dalam keadaan panas perkauman.

Pengisian Perlembagaan

Moral di sini ialah Perlembagaan Persekutuan kita dibentuk dan diisi dengan mengambil kira pelbagai dimensi. Secara umumnya, sesebuah Perlembagaan bagi mana-mana negara sekalipun mempunyai kaitan begitu rapat atau boleh dikatakan simbiotik dengan sejarah tempatan, budaya dan amalannya. Selain daripada berkait rapat dengan sejarah, amalan budaya terbabit, faktor geografi, semangat nasionalisme Melayu dan identiti agama berkait dengan bangsa atau kaum membentuk struktur asas dan begitu penting dalam membuat pengisian Perlembagaan Persekutuan.

Bagi memastikan Perlembagaan itu sesuai dan manfaat sepanjang masa, pengisian Perlembagaan mempertimbangkan dimensi sosial, politik, budaya, ekonomi, ketenteraan dan psikologi tempatan. Justeru, semua kita hendaklah mengambil peduli bahawa Perlembagaan mementingkan matlamat perpaduan nasional, integrasi bangsa dan kaum serta etnik. Ia bukan semata-mata dokumen yang dibentuk atas dasar suatu idealisme seperti mana sesetengah dokumen Perlembagaan negara lain. Perlembagaan kita lebih mementingkan perhubungan dan perpaduan serta perasaan muhibah dalam kalangan warganya.

Dengan mengambil kira semua dimensi ini Perlembagaan Persekutuan bukan semata-mata dokumen perundangan, tetapi Perlembagaan dokumen rujukan perpaduan dan kemakmuran negara kerana pada hakikatnya Perlembagaan kita digerakkan dengan memberi keutamaan kepada kestabilan dan keselamatan negara, bukan ideal semata-mata.

Mungkin ada dalam kalangan kita yang merujuk kepada prinsip atau amalan di negara luar, terutama Great Britain untuk kita memahami atau mentafsir Perlembagaan kita. Hujahnya ialah Perlembagaan kita bercirikan Westminster atau berciri British.

Konteks semangat Perlembagaan

Namun, dalam beberapa perkara, selepas kita mengambil perhatian bahawa Perlembagaan kita mempunyai ciri tempatan dan semangat yang membumi dalam tanah air ini, kita hendaklah menerima prinsip terbabit dalam konteks kita, dalam konteks semangat Perlembagaan kita. Bukan semangat dan sejarah mereka. Pendekatan seperti ini diambil oleh Suruhanjaya Reid ketika menggubal Perlembagaan.

Sebagai contoh, Suruhanjaya menghormati pendapat Raja-Raja Melayu. Misalnya dalam hal berkaitan meletakkan Islam sebagai agama negara dalam Perlembagaan Persekutuan. Suruhanjaya Reid dalam draf pertamanya tidak membuat peruntukan berkenaan dan melaporkan bahawa hal itu tidak dimasukkan kerana menganggap ia sebagai specific instruction - arahan khusus - daripada Raja-Raja Melayu.

Ketika memupuk semangat patriotisme, kita hendaklah jelas mengenai hala tuju negara yang dimanifestasikan dalam Perlembagaan. Kita mesti betul-betul jelas. Sesungguhnya kita antara bangsa merdeka bernasib baik kerana mempunyai Perlembagaan yang sudah berjaya menjaga kestabilan, kesejahteraan dan kemakmuran negara tanpa banyak peristiwa berdarah.

Penulis ialah Felo Utama di Pusat Kajian Syariah, Undang-Undang dan Politik Institut Kefahaman Islam Malaysia

Berita Harian X