Rabu, 24 Ogos 2022 | 9:14am
Penderma yang mendapat kebenaran daripada waris boleh mendermakan organ selepas meninggal dunia.- Foto hiasan
Penderma yang mendapat kebenaran daripada waris boleh mendermakan organ selepas meninggal dunia.- Foto hiasan
Organ tertentu boleh digunakan untuk membantu pesakit memerlukan. - Foto hiasan
Organ tertentu boleh digunakan untuk membantu pesakit memerlukan. - Foto hiasan
Dr Hasdy Haron
Dr Hasdy Haron

Organ penyambung nyawa

MENDERMA organ sama ada dengan berikrar untuk organ berkenaan digunakan selepas seseorang meninggal dunia atau mendermakannya ketika masih hidup adalah satu tindakan yang murni.

Ini bermakna individu membantu menyelamatkan nyawa penerima organ yang berdepan risiko kematian kerana organ yang terjejas ketika sudah berada dalam peringkat akhir kegagalan fungsi.

Namun, majoriti pesakit dalam senarai pemindahan organ meninggal dunia semasa sedang menunggu dan berharap untuk mendapat organ baharu.

Punca utama adalah kerana jumlah penderma sebenar tidak mencukupi. Permintaan untuk organ jauh melebihi bekalannya.

Sejak 1997 hingga April lalu, sejumlah 2,641 pemindahan organ pejal dijalankan di Malaysia. Organ pejal adalah organ mempunyai konsistensi tisu pejal dan tidak kosong (contohnya perut dan usus) atau cecair (darah).

Sebahagian besar daripadanya adalah pemindahan buah pinggang, iaitu 2,403 prosedur dijalankan dalam masa 25 tahun ini.

Pemindahan organ lain membabitkan hati (198) dan sistem kardiotorasik (jantung dan paru-paru) (40).

Kebanyakan organ ini didermakan oleh penderma hidup: buah pinggang sebanyak 1,752; hati (92), manakala selebihnya organ didermakan oleh penderma yang sudah meninggal dunia (767).

COVID-19 beri kesan kepada pemindahan organ

Seperti semua bidang penjagaan kesihatan lain, pandemik COVID-19 memberi impak besar kepada pemindahan organ di negara ini.

Bukan sahaja pemindahan daripada penderma masih hidup tergendala kerana bimbang berlaku jangkitan virus SARS-CoV-2 kepada pihak terbabit, jumlah penderma organ yang meninggal dunia juga turun mendadak.

Sebagai contoh, terdapat hanya tujuh penderma organ yang meninggal dunia sepanjang 2021. Ini kemungkinan besar disebabkan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) kerana kebanyakan penderma organ sudah meninggal dunia biasanya mangsa kemalangan jalan raya.

Namun begitu, jumlah pemindahan organ tahun ini melebihi jumlah tahun lalu. Ini berita baik untuk pesakit dalam senarai menunggu pemindahan organ.

Derma pelbagai organ

Sejak Januari hingga April lalu, sebanyak 69 pemindahan organ dijalankan, iaitu 59 daripadanya membabitkan buah pinggang dan 10 lagi pemindahan hati.

Kebanyakan penderma masih hidup dengan 41 orang mendermakan buah pinggang dan seorang mendermakan sebahagian hati, manakala 12 penderma yang sudah meninggal dunia.

Bagaimanapun, setakat April lalu, masih ada lebih 10,455 pesakit dalam senarai menunggu pemindahan organ di Malaysia. Ini membuktikan lebih ramai rakyat Malaysia berikrar mendermakan organ, lebih baik.

Mengenai penderma yang sudah meninggal dunia dan mendapat kebenaran daripada waris adalah dalam kalangan yang mengalami mati otak, namun bahagian tubuh lain masih berfungsi atau bertahan melalui kaedah buatan untuk membolehkan organ mereka diambil bagi tujuan transplantasi.

Penderma itu boleh menderma kepada beberapa orang penerima kerana mereka berpotensi dapat mendermakan banyak organ seperti jantung, paru-paru, hati, pankreas, usus, buah pinggang dan lain-lain.

Menderma organ untuk mereka juga bergantung kepada keadaan tubuh mereka semasa diisytiharkan mati otak.

Hanya organ yang masih utuh dan berfungsi dengan baik akan dipindahkan kepada seseorang penerima.

Mitos rosakkan jasad penderma

Salah satu mitos paling banyak diperkatakan adalah prosedur itu akan merosakkan jasad penderma orang yang meninggal dunia.

Ada juga mitos mengatakan pengambilan organ daripada penderma yang mati otak akan melambatkan proses pengebumian.

Namun, pasukan perubatan yang menjalankan pembedahan pengeluaran organ daripada penderma yang mati otak sentiasa melakukannya dengan penuh cermat supaya jasad penderma tidak rosak.

Prosedur ini juga dijalankan dengan cepat supaya keluarga penderma boleh menuntut dan menyediakan jasad orang yang tersayang untuk dikebumikan dalam tempoh sewajarnya.

Sebagai negara pelbagai budaya dan agama, kita perlu memahami pendermaan dan pemindahan organ diterima dan dibolehkan dalam semua agama di negara ini.

Menurut Islam, hukum pendermaan dan pemindahan organ adalah harus (dibolehkan), menurut Fatwa Kebangsaan pada 1970.

Impak dibawa penderma organ dalam kehidupan seseorang pesakit tiada tolok bandingan kerana ia biasanya membantu menyelamatkan nyawa pesakit dan memberi kualiti hidup yang jauh lebih baik kepada penerima.

Ia juga memberi impak positif terhadap keluarga dan rakan penerima kerana mereka dapat meluangkan masa dengan orang yang tersayang untuk jangka masa lebih lama.

Begitu juga dengan keluarga penderma organ yang sudah meninggal dunia, mereka akan rasa lebih tenang apabila mengetahui orang sayangi dapat menyelamatkan nyawa seseorang dan amal kebajikan terakhir mereka di dunia ini.

Walaupun penderma organ dilarang sama sekali menerima ganjaran atau pampasan untuk pendermaan organ - sama ada dalam bentuk wang tunai atau penggalak lain seperti rumah, kereta, saham atau kenaikan pangkat atau kerjaya dan lain-lain - mereka tetap akan diberikan manfaat tertentu oleh Kementerian Kesihatan.

Ini termasuk rawatan kelas pertama di hospital kerajaan dan rawatan susulan percuma berkaitan pendermaan organ itu.

Prosedur pendermaan juga sudah tentunya percuma untuk penderma organ.

Keputusan menjadi penderma organ mungkin menjadi salah satu tindakan yang paling bermakna dalam hidup anda. Anda tidak perlu mengeluarkan sebarang belanja untuk mendaftarkan diri menjadi penderma organ selepas meninggal dunia.

Oleh itu, berikrarlah untuk mendermakan organ anda. Anda juga perlu memberitahu ahli keluarga mengenai hasrat itu.

* Penulis adalah Pengurus Kanan Klinikal Pendermaan Organ, Pusat Sumber Transplan Nasional Hospital Kuala Lumpur (HKL)

Berita Harian X